Penulis: Nabila Ummu Anas
Muawiyah bin Abu Sufyan disenaraikan sebagai pengasas armada laut Islam. Pada masa tersebut, Muawiyah berkhidmat sebagai Wali Syam dan khalifah Islam dipimpin oleh khalifah ketiga iaitu Uthman bin Affan RA.
Pada masa tersebut, Muawiyah mempunyai 50 armada laut yang kuat. Pasukan tentera laut ini akhirnya berjaya menakluki Cyprus (649 M), Rhodes (672 M), dan pulau-pulau lain di sekitar Asia Kecil.
Kewajipan Jihad Menuntut Pembangunan Armada Laut
Kewajipan menyebarkan Islam melalui dakwah dan jihad mendorong Negara Islam melengkapkan dan memperkayakan keupayaan ketenteraannya agar Islam tersebar ke seluruh pelusuk dan wilayah Negara Islam menjadi lebih luas. Lebih-lebih lagi, jika musuh sudah mempunyai kuasa ketenteraan yang melebihi ketenteraan Negara Islam, sasaran untuk menggerunkan musuh mesti dicapai dengan memiliki tentera yang melebihi musuh dari segi kuantitatif dan kualitatif.
Keberadaan tentera sangat penting bagi sesebuah negara, mahupun Negara Islam, baik dari segi jumlah pasukan dan armada yang dimilikinya mahu pun kualiti atau kemampuan tempur.
Pengembangan Islam ke kawasan Syria dan Mesir telah membuka medan jihad baru iaitu arena pertempuran laut. Selain itu, bangsa Rom mempertahankan wilayah mereka di pantai dan pulau-pulau dengan kuasa tentera laut.
Ketika bertempur di darat, tentera kaum muslim terkenal kerana sangat kuat dan handal. Namun, orang Rom sudah mempunyai pasukan yang berkemampuan untuk menyerang orang Islam dari laut, maka keputusan Khalifah Uthman bin Affan RA untuk membentuk Tentera Laut ini amat sesuai. Negara Islam mesti mempersiapkan pasukan yang mampu menggerunkan musuh di mana sahaja mereka berada.
Allah SWT berfirman, “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tida mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.” [TMQ al-Anfal (8) : 60]
Khalifah Bertanggungjawab Menguatkan Tentera
Ketika menjadi Khalifah, Muawiyah bin Abu Sufyan mengembangkan angkatan laut dengan mendirikan beberapa kilang pembuatan kapal di Iskandariah dan Akka. Beliau juga menggunakan tenaga mahir yang memahami selok-belok dunia maritim.
Sebagai sebuah negara yang besar ketika itu, Khilafah Islamiyyah terus memperkukuh armada tenteranya termasuk tentera laut. Ini adalah sebahagian daripada politik luar negeri Khilafah agar musuh Islam tidak memandang rendah Daulah Islam. Malah pada ketika itu, kehadiran tentera laut Khalifah Umayyah amat digeruni oleh orang Rom.
Muawiyah bin Abu Sufyan membina beberapa limbungan kapal. Limbungan kapal itu menghasilkan beberapa kapal besar yang beroperasi di beberapa kawasan berbeza. Armada Syam dan Mesir beroperasi di bahagian timur Laut Mediterranean, armada Tunisia beroperasi di tengah.
Tiada Tandingan
Melalui kekuatan angkatan laut dan strategi ketenteraan yang handal, Muawiyah bin Abu Sufyan berjaya menakluki beberapa kota di Laut Mediterranean, seperti Cyprus, Arwad, hingga Rhodes. Bandar-bandar ini menjadi benteng maritim Islam dalam menghadapi ancaman Tentera Laut Rom.
Bukan itu sahaja, Tentera Laut Daulah Umayyah menjadikan bandar-bandar ini sebagai titik permulaan untuk mengancam pertahanan Rom.
Pada tahun 58 H, Negara Umayyah melakukan gerakan besar-besaran di Laut Tunisia. Tujuan gerakan ini adalah untuk membuka pulau-pulau di wilayah Laut Mediterranean barat, khususnya pulau-pulau Sicily, untuk menghalang kemaraan armada laut Rom.
Bukan sahaja di hemisfera timur, Tentera Laut Umayyah malah berperang besar melawan orang Rom. Ekspedisi ini disokong oleh kekuatan Tentera Darat. Mereka disokong oleh suku Barbar di Maghribi dan Afrika Utara.
Beberapa kali kapal-kapal dinasti Umayyah cuba menakluki pulau Sicily pada tahun 46 H. Serangan ke atas Sicily dimulakan oleh armada perang di Mesir.
Dengan penaklukan Afrika Utara (647-709 M) dan Sepanyol (705-715 M),sekitar 40 tahun kemudian, armada laut Islam di seluruh Laut Mediterranean muncul sebagai yang terkuat dan tidak dapat dikalahkan untuk dua abad berikutnya.
Pasukan ekspedisi dari Afrika Utara menduduki Sicily pada 211 H (837 M). Tentera laut memasuki kawasan pantai Itali dan Selatan Perancis. Wallahualam.
Sumber: Kadi Syekh Muhammad bin Ahmad Kan’an. Daulah Bani Umayah. Al Qowam; Prof. Dr. Ibrahim al-Quraibi. Tarikh Khulafa. Qisthi Press.