Penulis: Ahmad Mahmud
Adalah sesuatu yang menghairankan jika ada kalangan yang berusaha untuk menegakkan syariat Islam, tetapi tidak mencurahkan usahanya untuk mewujudkan Daulah Islamiyah.
Aneh, ini kerana di kalangan umat Islam selama ini masih terdapat orang yang menganggap kehadiran Daulah Islamiyah dan upaya untuk mewujudkannya sebagai hukum syariat biasa yang tidak perlu diutamakan dari hukum-hukum syariat lainnya.
Aneh juga jika ada di antara umat Islam yang berusaha untuk menerapkan hukum-hukum Islam melalui sistem kufur selain Islam yang ada, berbanding mengorbankan usaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah. Padahal, syariat Islam telah menjadikan Daulah Islamiyah sebagai satu-satunya sandaran bagi penerapan sebahagian besar hukum Islam.
Oleh kerana itu, kita ingin menyatakan bahawa kewajipan yang paling utama dan paling besar di antara berbagai kewajipan kifayah lainnya adalah usaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah, yakni institusi negara yang memerintah rakyatnya dengan syariat yang telah diturunkan Allah. Selama ini, usaha ke arah penegakan Daulah Islamiyah memang sedang dilakukan oleh sekelompok umat Islam. Akan tetapi, menyandarkan pada upaya mereka saja tidak dipandang cukup kerana sampai saat ini Daulah Islamiyah belum berdiri.
Oleh kerananya, fardhu kifayah yang satu ini sesungguhnya menjadi mirip dengan fardhu ain. Dengan kata lain, setiap muslim pada saat itu dituntut agar selalu berusaha sekuat tenaga untuk mewujudkan Daulah Islamiyah.
Setiap muslim sudah selayaknya meneladani Rasulullah saw. secara cermat dan teliti. Hendaknya mereka memperhatikan secara kritis berbagai fardhu ain yang diwajibkan atas dirinya, sembari menjauhi segala hal yang diharamkan Allah atas dirinya. Setelah itu, sudah selayaknya juga setiap muslim memperhatikan berbagai fardhu kifayah yang telah diperintahkan oleh Allah kepada seluruh umat Islam yang ia dituntut pula untuk mewujudkan, melaksanakan, serta mendirikannya sebatas kemampuannya.
Seorang muslim yang telah berupaya melakukan hal seperti ini nescaya akan menyedari bahawa Allah telah memberikan petunjuk kepada dirinya tentang fardhu kifayah yang paling penting dan utama, iaitu usaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah. Hal ini kerana, Daulah Islamiyah merupakan satu-satunya jalan (thariqah) untuk menerapkan kesemua hukum-hukum Islam, baik yang bersifat fardhiyah (individual) atau kifayah (kolektif).
Jika seorang muslim telah berupaya mewujudkan berbagai kewajipan yang dibebankan atas dirinya, termasuk kewajipan kifayah yang paling besar dan penting itu, yakni menegakkan Daulah Islamiyah, bererti dia telah mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari perhitungan (yaum hisab), yakni ketika kelak dia akan ditanya tentang apa yang telah dikerjakannya. Dia juga dalam masa sama telah melaksanakan berbagai fardhu ain, menjauhkan diri dari segala hal yang diharamkan, dan sekaligus melaksanakan fardhu kifayah yang utama yang akan menggugurkan banyak sekali hal yang fardhu yang berkaitan dengannya.
Dengan begitu, seorang muslim bererti telah menangkap realiti dari setiap sudutnya. Dengan yang demikian, bererti dia telah melaksanakan apa yang diwajibkan Islam terhadap dirinya sebagai individu, serta apa yang wajib ditegakkan oleh dirinya di tengah-tengah masyarakat. Tinggal sebahagian kecil lagi fardhu kifayah yang bahagian pelaksanaannya bersifat individual, bukan kolektif; seperti menjawab salam, mendoakan orang yang bersin, dan menyembahyangkan orang mati.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam