Ada salah satu sifat orang Yahudi yang semestinya tidak dimiliki oleh orang mukmin, yakni mengajak orang lain berbuat kebaikan, tetapi mereka enggan mengamalkan apa yang mereka ucapkan, sedangkan mereka memahami isi Taurat.
Kaum muslim wajib menjauhkan diri mereka dari sifat ini, khususnya buat para pengemban dakwah yang semestinya mengamalkan apa-apa yang di dakwahkannya. Firman Allah Swt., “Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Kitab (Taurat)? Tidakkah kamu mengerti?” [TMQ Al-Baqarah (2): 44]
Syeikh ‘Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di rahimahullah menjelaskan bahawa mereka (orang Yahudi) mengajak orang lain untuk beriman dan berbuat baik, tetapi mereka malah melupakan diri mereka dan meninggalkan apa yang mereka perintahkan, padahal mereka membaca Al-Kitab (Taurat).
Persoalannya, adakah mereka tidak berfikir? maka beliau pun menyampaikan bahawa akal disebut sebagai akal ketika manusia memahami kebaikan dan keburukan, sehingga dengan akalnya, manusia akan bertakwa (melakukan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah Swt.). (Taisir Al-Karimir Rahman, hal. 51)
Hal ini menandakan bahawa manusia perlu mengoptimalkan potensi akalnya dalam berfikir sebelum bertindak. Firman Allah Taala, “Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [TMQ Ash-Shaff (61): 2-3]
Ayat di atas menunjukkan celaan Allah Swt. terhadap mukmin yang perkataannya tidak selari dengan perbuatannya.
Penting juga bagi kita untuk berteman dengan mukmin yang beramal sesuai dengan apa yang dia dakwahkan. Mereka ialah para pengemban dakwah yang menjadi teladan terbaik bagi orang-orang di sekelilingnya. Bersahabat berlandaskan akidah Islam dengan mereka, insyaallah selamat, baik di dunia mahupun di akhirat.
Sabda Rasul saw., “Janganlah engkau bergaul kecuali dengan seorang mukmin.” (HR Abu Daud dan Tirmidzi)
Allah Swt. juga berfirman, “Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya akan menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Az-Zukhruf (43): 67]
Sebaliknya, jauhilah diri kita dari menjalin persahabatan dengan orang-orang yang tidak takut kepada Allah, bermaksiat kepada Allah, serta melakukan berbagai kesyirikan.
Pastikan sahabatmu adalah mukmin yang berakidah benar, taat beribadah dan menjauhi maksiat, berakhlak terpuji dan bertutur kata yang baik, suka menasihati dalam kebaikan, berilmu dan dapat berbagi ilmu dengannya, berpakaian sesuai syariat, menjaga diri dan kehormatan dirinya, serta tidak banyak bersenda gurau.
Saudariku, ada banyak keutamaan bersahabat dengan orang-orang bertakwa (pengemban dakwah), salah satunya adalah terpenuhinya setiap hak kita. Bagaimana tidak? Saat mereka bermuamalah dengan kita, yang dia ingat ialah sabda Rasul saw. untuk menyebarkan salam, memberi senyuman, mengucapkan perkataan ahsan, menjenguk saat sakit, memuliakan tetamu, sentiasa mendoakan, memberi pujian tapi tidak menjadikan kita ujub. Dia tidak akan mempermainkan atau mempermalukan kita saat kita melakukan kesalahan. Mereka juga mudah memaafkan, membantu kita saat lapang mahupun sempit, dan tidak mudah marah.
Selain itu, bersahabat dengan pengemban dakwah memberi pengaruh positif pada keimanan dan ketakwaan kita. Taatnya sahabat yang bertakwa akan menarik kita pada ketaatan yang sama. Nilai kebaikan yang dia sebarkan akan memotivasi kita melakukan kebaikan yang sama pula. Nasihat mereka juga menjadi pengingat saat kita lalai dari mengingati Allah Swt..
Allah Swt. berfirman, “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, (iaitu) Harun, saudaraku, teguhkanlah dengan menjadikan dia kekuatanku dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku, supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau, dan banyak mengingat Engkau.” [TMQ Thaha (20): 25-34]
Sabda Rasul saw., “Kami tidak pernah merasa gembira sebagaimana rasa gembira kami mendengar sabda Nabi saw., ‘Engkau akan bersama dengan orang yang engkau cintai. Kalau begitu aku mencintai Nabi saw., Abu Bakar, dan Umar. Aku berharap dapat bersama mereka kerana kecintaanku pada mereka walaupun aku tidak dapat beramal seperti amalan mereka.’” (HR Bukhari)
Oleh kerana itu, bersahabat dengan pengemban dakwah akan membawa kebaikan dunia dan akhirat. Apalagi menjadikan diri sebagai bahagian dari pengemban dakwah, insyaallah, Allah akan curahkan keberkahan dan menolongnya dalam kehidupan dunia dan akhirat kelak, kerana telah menjadi bahagian dari penolong agama Allah Swt. Masyaallah.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/05/30/6775/