Penulis: Najmah Saiidah
رَّبَّنَآ إِنِّىٓ أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِى بِوَادٍ غَيْرِ ذِى زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ ٱلْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهْوِىٓ إِلَيْهِمْ وَٱرْزُقْهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (TMQ Ibrahim: 37)
Ayat ini mengingatkan kita kepada peristiwa luar biasa yang Allah anugerahkan kepada keluarga Nabi Ibrahim as.. Ya, Ibrahim meninggalkan putra dan isteri yang dicintainya demi menyambut seruan Allah (TMQ Ibrahim: 37-40). Sebuah episod pengorbanan yang dalam dan sangat mengkagumkan.
Lebih dari 80 tahun Ibrahim menantikan kehadiran keturunan, tetapi ketika hadir di pangkuannya, dia perlu meninggalkannya, justru membawa anaknya ke lembah itu. Seakan-akan dia hanya datang menitipkan mereka kepada alam. Namun demikian, mereka tunduk pada perintah Allah dan meyakini kebenaran janji-Nya. Betapa agung kedudukan mereka di sisi Allah Swt..
Disebutkan dalam riwayat, ketika Ibrahim as. akan meninggalkan keduanya, bonda Hajar dalam keadaan menyusukan anaknya. Ketika Ibrahim meninggalkan keduanya dan memalingkan wajah, Hajar bangkit dan memegang baju Ibrahim. “Wahai Ibrahim, mahu ke mana? Engkau akan meninggalkan kami di sini padahal tidak ada bekal apa pun yang mencukupi kami?” Ibrahim tidak menjawab. Hajar bertanya, “Apakah Allah yang menyuruhmu ?” Ibrahim menjawab, “Ya.” Hajar berkata, “Kalau begitu pergilah, pasti Allah tidak akan mensia-siakan kita.”
Sungguh, suatu sikap yang tidak mampu diri ini menandinginya. Sebuah bentuk tawakal yang luar biasa. Hanya bersandar pada Allah dan yakin Allah tidak akan membiarkan hamba-hamba yang taat kepada-Nya. Ditinggalkan di sebuah gurun pasir yang gersang, dengan perbekalan yang seadanya, tanpa siapa pun yang menjaga, hanya berdua dengan anak yang masih kecil, masih menyusu pada ibunya. Namun, Hajar memiliki keyakinan seratus peratus bahawa Allah akan menjaganya, tiada keraguan sedikit pun kepada Allah.
Hajar seperti tidak berdaya, di sekelilingnya hanya terhampar padang pasir yang tandus. Akan tetapi, tanpa putus asa dia pun berjalan mencari tempat yang lebih tinggi untuk melihat-lihat, adakah mata air untuk melepas dahaga sang anak dan dirinya. Bonda Hajar pergi ke bukit Safa, lalu turun dari Safa kemudian menuju bukit berikutnya, Marwah, hingga tujuh kali. Bermula di bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah.
Putus sudah harapan Hajar kepada makhluk, hanya berharap kepada Allah seraya memanjatkan doa. Tiba-tiba dia mendengar suara, “Engkau telah panjatkan doa memohon pertolongan.” Seketika air yang penuh berkah memancar. Hajar mengumpulkan air dan memagarinya dengan pasir hingga air menggenang setinggi betis. Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya ketika Jibril menggerakkan (agar air menggenang), semoga Allah merahmati Hajar, kalau saja tidak menghimpunnya, hanya akan menjadi mata air biasa.”
Peristiwa ini senantiasa lekat dalam ingatan kita tentang keteladanan bonda Hajar, ibunda Nabi Ismail yang luar biasa tangguh, penuh dengan keimanan dan ketaatan kepada Allah, yang membawa kepada ketaatannya kepada suami tercinta serta pengorbanan yang luar biasa.
Isteri yang Taat dan Ikhlas
Bonda Hajar, isteri nabi Ibrahim, perlu ikhlas ditinggalkan suaminya, hanya berdua di tengah padang pasir bersama dengan anak yang masih bayi. Akan tetapi, kerana dia faham bahawa ini adalah perintah Allah, dia yakin Allah pasti akan menjaga dan melindungi. Sesungguhnya, hanya perempuan pilihan sajalah yang mampu melalui apa yang dihadapi oleh bonda Hajar. Beliau pun berjaya lulus dari berbagai rintangan dan ujian yang dihadapinya.
Sebagai isteri, bonda Hajar adalah sosok isteri yang patuh pada suami dan taat kepada Allah. Walaupun terasa berat menerima keputusan Ibrahim untuk taat pada perintah Allah agar menyembelih satu-satunya putra mereka, tetapi demi kepatuhannya kepada sang suami dan ketaatannya pada Allah, bonda Hajar ikhlas tanpa bantahan sekecil apa pun. Inilah teladan seorang ibu dan isteri solehah.
Sungguh, pengorbanan tidak tertandingi keluarga mulia ini boleh diteladani oleh seluruh umat Islam sepanjang masa. Begitu juga oleh makhluk lemah bernama perempuan. Setiap muslimah hendaklah bercermin pada bonda Hajar. Becermin pada ketaatannya, cintanya, dan pengorbanannya yang luar biasa.
Ibu yang Penuh Kasih Sayang dan Penuh Tanggungjawab
Selain sebagai isteri yang solehah, bonda Hajar memainkan peranannya sebagai ibu yang penuh tanggungjawab dalam mendidik anaknya, ibu yang tangguh, pantang menyerah, dan tidak kenal putus asa. Ketika bayi Ismail meronta kehausan, Hajar berlari-lari mencari air. Dari Safa ke Marwah, berulang-ulang untuk mencari air demi memenuhi keperluan anaknya. Peristiwa itu kemudian diabadikan dalam ibadah sa’i ketika haji dan umrah. Rasulullah saw. bersabda, “…kerananya orang-orang melakukan sa’i antara Safa dan Marwah”.
Bonda Hajar juga menyerang iblis dengan lontaran batu ketika iblis cuba untuk merosakkan jiwa anaknya agar menolak keputusan Ibrahim menyembelih Ismail atas perintah Allah. Lontaran batu itu juga menjadi ibadah lontar jumrah dalam ibadah haji. Hal ini menunjukkan bahawa bonda Hajar melindungi fizikal dan jiwa anaknya.
Sebagai perempuan, bonda Hajar adalah peribadi yang amat tangguh, yang cintanya pada Allah teramat dalam. Sebagai ibu, Siti Hajar adalah perempuan yang begitu menakjubkan. Kasih sayangnya yang sungguh besar pada sang buah hati, tak sedikit pun menghalanginya untuk tetap menempatkan Al Khaliq sebagai yang pertama di hatinya.
Ketika ditinggal berdua saja dengan permata hati yang masih bayi, di sebuah gurun tandus tak berpenghuni, bonda Hajar redha dan ikhlas menjalani. Dia tahu ayah putranya meninggalkan mereka adalah kerana perintah Allah, maka dia mendengar dan taat. Mentaati Allah sekaligus suami yang amat dicinta.
Ketika Ismail, anak yang teramat menyenangkan hati, diambil untuk “dikorbankan” atas perintah Allah, bonda Hajar pun redha, sabar, dan penuh ketaatan. Hati beliau begitu putih bersih, tidak ada prasangka apa pun pada Allah, yang ada hanyalah sebuah keyakinan bahawa Allah adalah Maha Pemberi Yang Terbaik. Hanya yang terbaik yang akan Allah berikan pada para hamba-Nya baik berupa ujian kesenangan mahupun kesusahan.
Ibunda Hajar memang ibu yang luar biasa. Beliau menanamkan kecintaan kepada Allah di hati Ismail, menanamkan hati yang senantiasa bertawakal, bersandar hanya kepada Allah, sebagaimana pengalaman ibundanya yang luar biasa dalam hal tawakal. Ketika itu usia Ismail menginjak remaja, sekitar tiga belas tahun. Saat itulah Nabi Ibrahim, sang ayah, bermimpi menyembelih Ismail. Setelah yakin bahawa mimpi tersebut adalah perintah Allah Swt., Ibrahim menghampiri anaknya dengan membawa tali dan pisau, kemudian mengajaknya pergi ke sebuah bukit.
Nabi Ibrahim pun menyampaikan mimpinya kepada Ismail. Kemudian beliau bertanya, “Bagaimana menurutmu, wahai Ismail?” Ismail menjawab, “Ayahanda, kalau engkau hendak menyembelihku, ikatlah aku dengan ketat agar darahku tidak mengenaimu, sehingga pahalaku berkurang. Ini kerana kematian itu amat berat sekali, aku tidak mampu memastikan apakah diriku akan meronta-ronta atau tidak. Maka aku mohon tajamkanlah pisaumu wahai ayah agar kematianku singkat. Saat ayah membaringkan aku, hadapkan aku ke tanah kerana aku khuatir ketika engkau memandang wajahku, engkau akan merasa hiba sehingga menghalangimu untuk melaksanakan perintah Allah. Kemudian berikanlah pakaianku kepada ibunda jika ayah berkenan, mudah-mudahan itu mampu menghiburnya.”
Sungguh, jawapan Ismail tersebut, menunjukan bagaimana rasa tawakal dan keikhlasan dalam menjalankan perintah Allah. Sifat yang demikian tidak lain tidak bukan merupakan hasil dari asuhan ibundanya dan didikan ayah bondanya.
Beliau menanamkan rasa cinta kepada Allah semenjak kecil. Mengajarkan akhlak yang mulia untuk berbakti kepada orang tua, juga sifat tawakal, bersandar, dan menyerahkan segala urusan kepada Allah semata. Dan meminta pertolongan hanya kepada Allah, sebagaimana yang Nabi Ibrahim ucapkan saat mendengar jawapan dari Ismail. Ibrahim berkata, “Memohonlah pertolongan Allah, wahai anakku. Sesungguhnya engkau sedang menjalankan perintah Allah.”
Khatimah
Demikianlah teladan yang boleh kita pelajari dari kisah bBonda Hajar. Sungguh luar biasa sifat tawakal yang ada dalam diri bonda Hajar. Walaupun terbit rasa bimbang di dalam dadanya, dia senantiasa menyerahkan segala urusan itu kembali kepada Allah. Seorang muslimah yang taat dan senantiasa bertawakal kepada Allah, serta tangguh.
Bonda Hajar adalah seorang isteri yang taat kepada suami kerana Allah, dan seorang ibu yang gigih yang mampu mendidik anaknya agar mencintai Allah. Semua dilakukan hanya demi redha Allah semata. Semoga kita semua hari ini boleh menjadi seperti bonda Hajar yang taat kepada Allah, taat kepada suami, dan mampu mencetak generasi penerus yang juga taat kepada Allah Swt..
Belajar dari rangkaian ujian kehidupan Bonda Hajar, semoga akan membuat kita menjadi semakin solehah, kuat, dan tangguh. Bukankah ujian hidup yang kita hadapi tak seberapa dibandingkan dengan cubaan yang Allah berikan pada bonda Hajar?
Duhai diri, belajarlah dengan sesungguhnya belajar, bukan hanya belajar untuk mengetahui kisahnya semata. Belajar bukan hanya tentang konsep dan teori semata. Namun, belajar yang sempurna, disertai perubahan sikap dan perilaku. Belajar untuk kemudian diimplementasikan dalam kehidupan nyata. Wallahualam bissawab.