Tahukah kita, jantung merupakan alat pengepam yang amat menakjubkan. la bekerja terus tanpa henti sejak minggu ke-4 dari kehidupan manusia (di dalam rahim) hingga kematiannya. Jika seseorang berumur 60 tahun, bemakna selama itulah jantungnya tidak pernah berhenti bekerja mengepam darah. Ada tak pengepam di dunia ini yang tahan bekerja selama 60 tahun tanpa henti?
Alat pengepam yang menakjubkan ini mengirimkan darah ke selaput nadi, urat saraf, dan pembuluh darah, yang jika semua itu diletakkan secara berurutan pada sebuah garis lurus, maka panjangnya boleh mencapai 60-100 ribu mil!
Tahukah kita, galaksi bimasakti hanyalah salah satu galaksi di dalam sistem suria kita. Galaksi bimasakti terdiri dari sekitar 200 bilion bintang. Para astronomi menjangkakan bahawa di alam semesta ini terdapat berbilion galaksi, dengan sekitar 1000 trilion planet dan bintang. Setiap bintang atau galaksi berjalan pada orbitnya dengan kecepatan kira-kira 65000 km per saat.
Itulah di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Inilah ayat-ayat kauniah-Nya yang pada akhirnya meneguhkan firman Allah SWT sendiri, “Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dengan main-main.” [TMQ al- Anbiya’ (21): 16]
Sepertimana kata Einstein, Tuhan bukannya sedang bermain dadu semasa menciptakan alam semesta ini. Ini bermakna, Allah SWT bersungguh-sungguh ketika menciptakan seluruh alam semesta ini dan sungguh-sungguh ketika menurunkan ayat-ayat qauliyah-Nya, iaitu al-Quran kalamullah.
Allah SWT berfirman, “Tidakkah kalian memperhatikan al-Quran? Seandainya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentu mereka akan menjumpai banyak percanggahan di dalamnya.” [TMQ Aan-Nisa’ (4): 82]
Ketika Allah sentiasa bersungguh-sungguh dengan ayat-ayat kauniah dan qauliah-Nya, malah kita mendapati manusia sering “bermain-main” dengan kehidupannya; tidak serius dan bersungguh-sungguh menjalankan tugasnya sebagai hamba Allah, iaitu beribadah. Padahal, bukankah ibadah (pengabdian kepada Allah) merupakan raison d’ etre penciptaan manusia?
Allah SWT berfirman, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku.” [TMQ az-Zaariyat (51): 5]
Sebagai muslim, kita patut mencontohi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sentiasa menjalani kehidupan ini dengan serius dan bersungguh-sungguh, tanpa pernah bermain-main; terutama dalam urusan ibadah, dakwah, dan jihad.
Dalam urusan ibadah, Nabi Muhammad SAW adalah teladan sempurna. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat malam. Hingga kakinya bengkak-bengkak disebabkan lamanya berdiri ketika solat. Nabi adalah orang yang paling banyak berpuasa. Nabi juga adalah orang yang paling banyak bertaubat, tidak kurang dari 100 kali dalam sehari. Padahal, baginda adalah orang yang maksum (terpelihara dari dosa) dan dijamin syurga.
Para sahabat pun demikian istimewa ibadahnya. Mereka merupakan orang-orang yang paling banyak mengkhatamkan al-Quran. Menurut Uthman Bin Affan RA, banyak sahabat yang mengkhatamkan al-Quran seminggu sekali. Mereka antara lain ialah Abdullah Bin Mas’ ud, Ubay Bin Kaab, dan Zaid Bin Tsabit. Uthman RA sendiri sering mengkhatamkan al-Quran hanya dalam waktu satu malam. Itu sering dia lakukan semasa solat malam. Semua itu menunjukkan bahawa Nabi SAW dan para sahabat ialah orang-orang yang sentiasa serius dan bersungguh-sungguh dalam urusan ibadah.
Bagaimana dengan dakwah dan jihad mereka? Jangan ditanya. Nabi SAW dan para sahabat merupakan orang-orang yang telah menjadikan dakwah sebagai jalan hidup sekaligus “jalan kematian” mereka. Dengan kata lain, mereka hidup dan mati untuk dakwah dan jihad. Sebahagian besar usia mereka, termasuk harta dan jiwa mereka, diwakafkan di jalan dakwah demi menegakkan kalimat–kalimat Allah SWT.
Amr Bin Jamuh merupakan salah seorang sahabat di antara ribuan sahabat yang mencintai kematian. Dikisahkan, beliau adalah orang yang kerap dihalang untuk berjihad oleh saudara-saudaranya kerana kakinya tempang. Rasul pun telah membolehkannya untuk tidak ikut berjihad kerana keuzurannya itu. Namun, kerana keinginan dan kecintaannya yang luar biasa pada syahadah (mati syahid), dia terus mendesak Rasul SAW agar mengizinkannya berperang. Akhirnya, Rasul SAW pun mengizinkannya. Dengan penuh kegembiraan, Amr pun segera berlari menuju medan perang, berusaha keras dengan gigih melawan musuh, hingga akhirnya terbunuh sebagai syahid.
Itulah sedikit fragmen kesungguhan salafussoleh dalam menjalani kehidupannya. Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita serius dan bersungguh-sungguh dalam hidup ini? Ataukah kita masih mengisi hidup ini dengan bermain-main?
Nauzubillahi min zalik!