Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Selama ini haji hanya ditunaikan oleh umat Islam sebagai ibadah ritual. Padahal, di sebalik ibadah haji itu banyak pengajaran yang boleh diambil, sekaligus mendedahkan sisi politik yang membawa umat ini mencapai gelaran umat yang terbaik.
Namun, semua itu pastinya tidak nampak pada zahirnya. Kerana aspek-aspek politik, khususnya perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat di sebalik ritual dan simbol haji sudah terkubur dalam lembaran sejarah. Hanya orang yang diberi akal, kepintaran, dan pemikiran yang cemerlang boleh mendedahkan lembaran-lembaran yang sudah terpendam itu.
Apabila kita memasuki kota Mekah, bayangkan kota ini adalah kota kelahiran Nabi Muhammad SAW. Di kota inilah Nabi yang mulia dilahirkan, dididik, dan dibesarkan, sehingga mendapat risalah ketika usianya matang. Tempat kelahirannya pun sehingga kini masih ada, boleh dilihat di bangunan tua, dengan nama Maktabah Makkah al-Mukarramah. Di sana lahir Nabi yang mulia, dari rahim seorang wanita mulia, Sayyidah Aminah binti Wahab. Pada masa kelahirannya, baginda dibantu oleh ibu kepada Abdurrahman bin Auf, as-Syifa.
Ketika baginda dilahirkan, terdapat cahaya yang menyinari ke arah Syam. Tanda bahawa suatu hari nanti risalah dan kekuasaannya akan sampai ke sana. Malah, api abadi yang tidak pernah padam dan disembah oleh orang Majusi, serta-merta padam, ketika kelahirannya. Begitu juga, patung dan arca yang disembah oleh orang-orang Pagan berjatuhan, entah mengapa, pada masa kelahirannya. Bayi manusia yang mulia itu pun dilahirkan dalam keadaan sujud, manakala jari telunjuknya terangkat ke atas, dengan iringan doa. Tiada tangisan yang keluar dari mulut sucinya, seperti bayi pada umumnya. Ini semua adalah tanda kemuliaannya.
Di kota inilah, Rasulullah SAW bersama ibunda Khadijah dan para sahabatnya memulakan dakwah. Allah Taala berfirman, “Telah datang kebenaran (Islam) dan tersungkurlah kebatilan. Sesungguhnya kebatilan pasti akan tersungkur.” [TMQ al-Isra’ (17): 81]
Namun, Islam tidak akan menang dengan sendirinya, Islam mesti dimenangkan. Demikian juga kebatilan tidak akan kalah dengan sendirinya, tetapi mesti dikalahkan.
Maka, Nabi pun berdakwah selama 13 tahun di Mekah untuk memenangkan Islam dan mengalahkan kekufuran. Masjidil Haram, bukit-bukit, gunung-ganang, dan sekelilingnya telah menjadi saksi dakwah dan perjungan baginda bersama para sahabatnya. Ketika kita melakukan Tawaf, terbayang dekat Ka’bah, ketika membaca, “Allahu Akbar, Bismillahi Allahu Akbar” itu wajah-wajah para sahabat ketika berdakwah. Kenapa tidak, dahulu mereka tidak dibenarkan mengucapkan kalimat sebegitu. Mereka juga tidak boleh melakukan tawaf secara bebas. Jika mereka berbuat demikian, sudah pasti mereka akan ditangkap dan disiksa. Jadi, jika kita boleh melakukannya sekarang, ia tidak boleh dipisahkan daripada jasa mereka.
Dahulu, sebelum hijrah, ketika Nabi solat dekat Kaabah, baginda tidak dapat mengelak daripada disiksa dan dianiaya. Pernah ‘Uqbah bin Abi Mu’aith memukul tengkuk Nabi dengan tulang unta sehingga pengsan. Rumah baginda bersama isteri tercinta tidak terlepas daripada serangan keganasan mereka. Kotoran kambing yang mereka sembelih untuk Latta dan Uzza, mereka campakkan ke rumah baginda.
Apabila kita melintasi Hijir Ismail, lurus dengan Hijir Ismail terdapat Darun Nadwah, tempat yang menjadi markas orang-orang kafir merancang strategi mereka untuk menentang dan mengalahkan dakwah Nabi. Tempat itu memang sudah tiada lagi, tetapi bayangan tempat itu tidak dapat dipadamkan dari ingatan kita, ketika kita tahu betapa besar peranannya. Di situlah, ketika Nabi menunaikan Umrah Qadha’, pada tahun ke-7 H, orang-orang kafir berkumpul sambil berharap-harap cemas setelah mendengar berita, rombongan umrah Nabi telah diserang virus Yathrib.
Mereka berharap berita itu benar, sembari terus mendoakan keburukan untuk Nabi dan para sahabat. Namun, Nabi yang genius tahu apa yang ada dalam kepala musuhnya. Nabi pun mengarahkan kepada para sahabat yang menyertainya dalam Umrah Qadha’ untuk tidak menampakkan sakitnya. Nabi memerintahkan mereka memakai pakaian ihram dengan Idhthiba’, di mana selendang atas menutupi bahu dan ketiak sebelah kiri, manakala bahu dan ketiak sebelah kanan terbuka. Mereka juga diperintahkan untuk berlari-lari kecil pada pusingan pertama hingga ketiga, yang dikenali sebagai ar-raml.
Pastinya, sebaik sahaja mereka melaksanakan arahan tersebut, persepsi mereka bahawa umat Islam yang sedang mengerjakan umrah telah dijangkiti virus Yathrib sirna pada masa itu juga. Begitulah, cara Nabi SAW menunjukkan kekuatan umat Islam dan melemahkan mental musuh mereka. Umrah Qadha’ sendiri dilakukan oleh Nabi setelah tahun sebelum itu, rombongan baginda dan para sahabat untuk melakukan Umrah Hudaibiah telah dihalang oleh pasukan Khalid bin Walid, yang akhirnya hatinya malah tertambat pada Islam.
Walaupun gagal ditunaikan, tetapi Umrah Hudaibiah telah berjaya merealisasikan misi luar biasa Nabi dan Negara Islam di Madinah. Kerana misi sebenar Nabi di sebalik umrah yang gagal ini adalah melakukan Perjanjian Damai, yang kemudian dikenali sebagai Shulh Hudaibiyyah. Perjanjian ini berjaya mengikat kaki dan tangan kaum Quraisy, sehingga mereka tidak dapat bergerak. Apabila mereka cuba membentuk pakatan dengan Yahudi Khaibar. Nabi, melalui perjanjian Hudaibiah ini berjaya mengikat kaum Kafir Quraisy untuk tidak menyerang orang Islam, begitu juga sebaliknya.
Melalui perjanjian ini, Nabi juga berjaya membuka pintu Mekah seluas-luasnya untuk dakwah Islam melalui dua saluran sekaligus. Pertama, penduduk Mekah yang datang ke Madinah hendaklah dikembalikan ke Mekah. Mereka boleh menjadi corong propaganda Islam di Mekah dengan menggunakan lisan mereka sendiri. Kedua, orang Islam yang datang dari Madinah ke Mekah tidak boleh pulang semula ke Madinah. Mereka di Mekah bebas berdakwah untuk menyebarkan Islam.
Akhirnya, melalui dua pintu ini, Mekah dalam masa yang singkat berjaya disusun sebaiknya, sehingga semasa Umrah Qadha’, Nabi dan para sahabat dapat melihat sendiri bagaimana sambutan penduduknya. Selepas itu, apa yang dijanjikan oleh Allah dalam Surah al-Fath, yang diturunkan pada tahun ke-6 akhirnya menjadi kenyataan, pada tahun 8H, ketika Mekah benar-benar berjaya ditakluki. Ketika itu, mereka memeluk Islam secara beramai-ramai, kecuali hanya segelintir orang yang masih tetap bertahan.
Perubahan besar ini adalah kerana dakwah. Dakwah dengan visi dan misi memenangkan yang hak dan mengalahkan yang batil. Visi dan misi tersebut dirumuskan dengan jelas, sistematik, dan direalisasikan dengan istiqamah oleh Nabi dan para sahabat. Inilah kesedaran politik tahap tinggi Nabi dan para sahabat. Bukti paling nyata, apabila Perjanjian Hudaibiah ditentang sebegitu rupa, termasuk oleh para sahabat senior, Nabi tetap tidak berganjak dengan pendiriannya. Itu kerana visi, misi, dan kesedaran politik Nabi yang luar biasa, yang tidak boleh dibaca oleh orang sekelas Umar sekalipun.
Ketika kita melaksanakan Sa’i dari Safa ke Marwah, di sana kita dapat menelusuri jejak pembinaan dan pembentukan jemaah dakwah yang pertama, di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Di Safa, Nabi pernah bersabda, “Ya Khalid, najtami’ huna, min haithu bada’a bihi-Llahu wa Rasuluhu”, ungkapan yang kemudian menjadi doa jemaah haji dan umrah, ketika memulakan Sa’i di atas Bukit Safa, “Nabda’u bima bada’a-Llahu bihi wa Rasuluhu.” Malah, dalam kalimah doa yang dibaca di Safa dan Marwah pun terselit misi itu, “Lailaha illa-Llahu wahdah, shadaqa wa’dah, wa nashara ‘abdah, wa ‘a’azza jundahu wa hazama al-ahzaba wahdah.”
Safa dan Marwah telah menjadi saksi perjuangan Nabi dan para sahabat. Malah, di sebelah kanan antara Safa dan Marwah terdapat sebuah lembah yang dikenali sebagai Syi’b Abu Talib. Di lembah inilah, Nabi bersama isteri tercintanya Khadijah, serta Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthallib diboikot oleh kaum kafir Quraisy selama tiga tahun. Mereka semua bertahan di sana selama tiga tahun tanpa akses kepada makanan, dengan harapan mereka akan meninggalkan Nabi, bahkan menentangnya. Tetapi tidak.
Di atas Bukit Safa juga, ketika Allah mula mengutus Rasulullah SAW, baginda berpidato kepada orang-orang kafir, “Ya Ma’syara Quraisy, inna ar-raida la yakzibu ahlah.” (Wahai kaum Quraisy, sesungguhnya seorang pemimpin tidak ada berbohong kepada rakyatnya). Pengisytiharan sikap dan pegangan politik yang agung dan luhur, tentang kejujuran seorang pemimpin.
Ketika kita meninggalkan Mekah menuju ke Mina dan Arafah, kita akan melintasi Jabal Thur, yang monumental. Kerana gunung ini menjadi saksi detik-detik perjalanan hijrah Nabi bersama Abu Bakar. Malah, Jabal Thur telah menyaksikan pengorbanan luar biasa keluarga Abu Bakar as-Siddiq. Ada Asma’, Aisyah, Abdurrahman, dan pembantu Abu Bakar. Mereka semua menjadi pasukan yang berjaya membawa Nabi hingga sampai ke Madinah dengan selamat. Wajar, jika Umar bersumpah, “Wallahi, lalailatu Abi Bakar, khairun min Umar wa alihi.” (Demi Allah, satu malam Abu Bakar lebih baik berbanding Umar dan seluruh keluarganya).
Di Mina, Nabi bermalam pada 8 Zulhijjah untuk membuat persiapan haji (Tarwiyah). Di Mina juga, lebih tepatnya di ‘Aqabah, terdapat saksi sejarah yang masih wujud hingga kini, Masjid Bai’at. Masjid ini dibina pada zaman ‘Abbasiyyah untuk mengabadikan momentum pembai’atan Nabi oleh kaum Ansar. Dua kali mereka memberikan bai’at kepada Nabi. Pertama, seramai 17 orang pada musim haji. Mereka memberikan bai’at untuk memeluk Islam. Kedua, seramai 75 orang, 2 daripadanya adalah wanita. Bai’at kedua ini adalah untuk memberikan kekuasaan (nusrah) kepada Nabi. Masjid ini berdekatan dengan tiang ‘Aqabah di Mina.
Ketika kita ke Arafah, pada 9 Zulhijjah, kita akan melihat Masjid Namirah yang dibina untuk mengabadikan tempat Nabi berkhutbah Wukuf dan menunaikan solat Zuhur dan Asar secara jamak taqdim-qasar. Selepas itu, Nabi bergerak melalui Wadi Uranah untuk mengambil wukuf di Arafah. Kerana, “al-Hajju ‘Arafah” (Hakikat haji adalah wukuf di Arafah). Tempat-tempat ini adalah luar biasa. Di Masjid Namirah itu, Nabi berkhutbah sebagai ketua negara. Mesejnya jelas, “Inna dima’akum, wa amwalakum, wa a’radhakum haramun ‘alaikum..” (Darah, harta dan kehormatan kamu haram kamu lukai, sebagaimana melukai hari Arafah, di bulan dan tanah haram).
Nabi juga menekankan kepentingan menghormati wanita dan melayan mereka dengan baik. Malah, menjadikannya sebagai standard baik dan buruk seorang lelaki. Selain itu, dengan tegas, riba diharamkan selama-lamanya. Dalam pidatonya, Nabi selalu mengakhiri dengan kesaksian para sahabatnya, “Afala uballigukum risalata rabbi?” (Adakah aku sudah menyampaikan risalah tuhanku?), mereka menjawab serentak, “Bala, syahidna.” (sudah tentu, kami telah menjadi saksi).
Setelah itu, di lereng Jabal Rahmah Nabi menerima wahyu yang menitahkan segera berakhirnya tugas baginda. Surah al-Ma’idah ayat 3 diturunkan pada hari Arafah. Ketika ayat ini diturunkan, semua sahabat bergembira kecuali seorang sahabat, yang tidak lain adalah bapa mertua Nabi sendiri, Abu Bakar. Beliau menangis teresak-esak. Para sahabat pun bertanya, “Gerangan apakah yang membuatnya sedih, ketika orang lain menyambutnya dengan sukacita?” Abu Bakar menjawab secara retorik, “Bukankah sesuatu setelah sempurna, bermakna orang yang membawanya akan meninggalkan kita?” Maksudnya, tidak lama lagi, orang yang paling mereka cintai akan segera meninggalkan mereka.
Seolah-olah tidak yakin dengan jawapan Abu Bakar, mereka pun datang untuk memastikan kepada Nabi, dan Nabi pun menjawab, “Apa yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah benar.” Mereka pun terus menangis. Takut kehilangan manusia yang paling mereka cintai lebih daripada apa-apa yang mereka miliki.
Begitulah, tepat pada hari Isnin, Rabiulawal 10 H, Nabi dipanggil menghadap kekasihnya. Langit Madinah pun gelap seketika. Umar pun hendak membunuh sesiapa yang mengatakan Muhammad telah tiada. Lagi-lagi, Abu Bakarlah orang yang berjaya menyedarkan Umar, “Sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad telah tiada. Tetapi, sesiapa yang menyembah Allah, Allah tidak pernah mati selama-lamanya.”
Jasad baginda yang mulia pun dimakamkan di rumah isterinya, Aisyah. Sehingga kita, jemaah haji pun dapat menziarahinya, mengucapkan salam, dan salawat untuknya. “Assalamu’alaika ya Rasulullah, Asyhadu alla ilaha illa-Llah, wa asyhadu annaka rasulullah. Balaghta ar-risalah, wa addaita al-amanah, wa nashahta al-ummah, wa jahadta fillahi haqqa jihadih hatta ataka al-yaqin.” Baginda pun dikembalikan rohnya, dan menjawab salam kita. Begitulah.