Penulis: Nabila Ummu Anas
Ketika Marwan bin Al-Hakam bergerak ke Mesir setelah pertempuran Marj Rahith, Abdul Malik bin Marwan dijadikan sebagai wakil sang ayah di Damaskus (ibu kota Negara Islam). Sekembalinya Marwan dari Mesir, beliau meninggal dunia pada Ramadhan ke 65 H. Maka, Abdul Malik bin Marwan dibaiat menjadi Khalifah kaum muslimin pada hari kematian ayahnya.
Berbagai sumber sejarah yang membahas biografi Abdul Malik bin Marwan sepakat mengatakan bahawa beliau termasuk dalam golongan tokoh yang paling cerdas, teguh, berani dan rela berkorban. Abdul Malik berjaya membuktikan kepiawaiannya dalam mengelola dan mengatur negara sehingga berjaya menyatukan umat dalam kesatuan Negara Islam.
Perpecahan Umat Islam
Pada saat Abdul Malik bin Marwan dibaiat sebagai khalifah, umat Islam terbahagi menjadi beberapa kubu :
Kubu Abdul Malik bin Marwan yang kekuasaan utamanya terbentang dari negeri Syam sehingga ke Mesir.
Kubu Abdullah bin Az-Zubair yang menguasai negeri Hijaz sehingga Irak dan berpusat di Mekah.
Kubu Khawarij Al-Azariqah dengan pimpinannya, Nafi’ bin Al-Azraq yang mendirikan sebuah negara di Al-Ahwaz.
Kubu Khawarij An-Najadat yang dipimpin oleh Najdah bin Amir Al-Hanafi dengan mendirikan sebuah negara di Al-Yamamah. Wilayahnya terbentang sehingga ke negeri Yaman, termasuklah Hadramaut sehingga ke Thaif.
Kelompok Syiah yang hampir mendirikan sebuah negara di Irak, yang dipimpin Al-Mukhtar bin Abu Ubaid ats-Tsaqafi.
Fenomena yang paling menampakkan perpecahan dunia Islam itu adalah berkibarnya empat bendera dalam ibadah haji pada tahun ke 78 H iaitu bendera Abdul Malik, bendera Muhammad bin Al-Hanafiah, bendera Najdah bin Amir dan bendera Abdullah bin Az-Zubair.
Situasi dan keadaan itu pastinya sangat membimbangkan. Abdul Malik bin Marwan berusaha untuk memperbaiki dan memulihkan persatuan umat Islam seperti sediakala.
Usaha Menyatukan Umat dalam Satu Negara
Abdul Malik bin Marwan benar-benar memahami konflik ini. Beliau mahir dalam berinteraksi dengan kubu-kubu tersebut dan akhirnya berjaya menumpaskan mereka semua.
Abdul Malik bin Marwan melihat kekuasaan Al-Mukhtar bin Abu Ubaid semakin menguat di Irak terutamanya setelah dia berjaya mengalahkan pasukan Abdul Malik dan membunuh panglimanya, Ubaidillah bin Ziyad dalam pertempuran Al-Khazir pada tahun ke 67 H, tetapi beliau tidak terburu-buru membalas tindakan Al-Mukhtar.
Strategi beliau adalah dengan membiarkan kubu Abdullah bin Az-Zubair yang menyerang Al-Mukhtar kerana wilayah kekuasaan Al-Mukhtar berbenturan dengan kekuasaan Abdullah bin Az-Zubair. Akhirnya, kubu Al-Mukhtar berjaya ditumpaskan.
Setelah itu, Abdul Malik bin Marwan memimpin sendiri pasukannya menuju ke Irak untuk menumpaskan kubu Abdullah bin Az-Zubair. Beliau berjaya mengalahkan Mush’ab bin Az-Zubair dan membunuhnya pada tahun ke 72 H. Kemudian, Abdul Malik bin Marwan menghantar Al-Hajjaj bin Yusuf ats Tsaqafi ke Mekah untuk menumpaskan Abdullah bin Az-Zubair. Pasukan Al-Hajjaj menuai kejayaan pada tahun 73 H.
Terhadap kubu kaum Khawarij, Abdul Malik bin Marwan menghantar sebuah pasukan yang dipimpin Al-Muhallab bin Abu Shufrah yang merupakan salah seorang tokoh yang sudah sangat berpengalaman melawan Khawarij. Kerana itu, dengan mudah beliau dapat mengalahkan dan mematahkan kekuatan mereka serta menjauhkan ancaman bahaya dari kaum Khawarij terhadap negara dan umat Islam.
Seterusnya, yang mengganggu kestabilan pemerintahan Abdul Malik adalah pemberontakan Abdurrahman bin Al-Asy’ats. Walaupun pemberontakan ini berbahaya, Abdul Malik berjaya menumpaskannya berkat kebolehan dan kewaspadaan panglimanya Al-Hajjaj bin Yusuf ats-Tsaqafi setelah melalui sejumlah pertempuran sengit.
Khalifah yang Cerdas dan Tegas
Setelah bekerja keras dengan penuh kesabaran, akhirnya Abdul Malik bin Marwan berjaya memulihkan kesatuan dan kekuatan umat Islam, serta menumbangkan musuh-musuh umat Islam satu per satu.
Seandainya Abdul Malik tidak bertindak tegas dan komited, tentu saja dia tidak sanggup memulihkan persatuan umat dan kesatuan Negara Islam. Politik memerlukan kecerdasan berfikir, logik akal dan bukannya emosi. Ini kerana, keadaan darurat perlu segera diatasi sebagaimana sepatutnya. Kerana itulah Abdul Malik layak mendapatkan gelaran Muwahhidud Daulatil Islamiyah (Pemersatu Negara Islam).
Demikianlah, berkat ketabahan, kesabaran dan kerja keras, Abdul Malik bin Marwan berjaya meraih kejayaan untuk memperkuatkan sendi-sendi Negara Islam di bawah kepemimpinannya. Wallahualam.
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah. Pustaka Al-Kautsar.