Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
وَأَيُّمَا أَهْلُ عَرْصَةٍ أَصْبَحَ فِيهِمْ امْرُؤٌ جَائِعٌ فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُمْ ذِمَّةُ اللهُ تَعَالَى
“Penduduk negeri mana pun yang berada di pagi hari, yang di tengah-tengah mereka ada orang yang kelaparan, maka jaminan Allah telah lepas dari mereka.” (HR Ahmad, Al-Hakim, Abu Ya’la, Ath-Thabarani, Ibnu Abi Syaibah, Al-Bazar, Ad-Daraquthni, al-Bushiri dan Abu Nu’aim)
Hadis ini diriwayatkan dari jalur Ashbagh bin Zaid, dari Abu Bisyr, dari Abu az-Zahiriyah, dari Katsir bin Murrah al-Hadhrami dari Ibnu Umar ra. Ulama berbeza pendapat tentang status hadis ini.
Abu Hatim menilai hadis ini sebagai munkar. Ibnu al-Jauzi memasukkan hadis ini di dalam al-Mawdhu’ât. Namun, menurut Ibnu Hajar di dalam Talkhîsh al-Habîr, Ibnu al-Jauzi telah keliru dalam hal ini.
Ibnu Saad menilai Ashbagh bin Zaid sebagau dha’if. Imam Ahmad, an-Nasa’i, Ibnu Ma’in dan lainnya, menilai hadis ini tsiqah. Menurut Ibnu ‘Adi di dalam Al-Kâmil fî Dhu’afâ’, Ashbagh “laytsat bi mahfûzhah” dan tidak ada yang meriwayatkan dari dia selain Yazid bin Harun. Namun, menurut adz-Dzahabi di dalam Mizân al’-I’tidâl, ada sepuluh orang yang meriwayatkan dari dia.
Abu Bisyr, menurut al-Haitsami di Majma’ az-Zawâ’id, di-dhaif-kan oleh Ibnu Ma’in. Namun, menurut Ibnu Hajar al-‘Ashqalani di dalam Lisân al-Mîzân, “Abu Bisyr dari Abu az-Zahiriyah lâ syay’a (tidak apa-apa). Hal itu dikatakan oleh Ibnu Ma’in.”
Tentang Katsir bin Murrah al-Hadhrami, Ibnu Hazm menilai ia majhul. Namun, menurut Ibnu Hajar al-‘Ashqalani di dalam Tahdzîb at-Tahdzîb (3/383): Ibnu Saad menyatakannya di dalam thabaqah kedua termasuk tabiin Syam dan ia tsiqah. Al-‘Ajili berkata, “Ia syami tabi’in yang tsiqah. Ibnu Hibban menyebutkannya di ats-Tsiqât…”
Ibnu Hajar di dalam Al-Qawl al-Musaddad berkata, “Tanbîh, Abu Bisyr ini adalah Ja’far bin Abi Wahsyiyah, termasuk rijâl asy-syaykhayn, dan Abu az-Zahiriyah bernama Hudair bin Kuraib, termasuk perawi Imam Muslim. Riwayat Abu Bisyr darinya termasuk bentuk riwâyat al-aqrân kerana keduanya termasuk shighâr at-tâbi’în (tabiin junior). Adapun Katsir bin Murrah adalah seorang tabi’in yang tsiqah menurut kesepakatan (bi-ittifâq), termasuk perawi al-arba’ah. Jadi di dalam sanad hadis ini terdapat tiga orang tabi’in.”
Jadi yang rajih, hadis ini layak dijadikan hujah. Apalagi, terdapat riwayat lain yang menjadi syawâhid-nya. Anas bin Malik ra. menuturkan bahawa Nabi SAW. pernah bersabda,
مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَانً وَجَارُهُ جَائِعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمْ بِهِ
“Tidak mengimaniku dengan sempurna orang yang bermalam dalam keadaan kenyang, sementara tetangganya kelaparan di sisinya dan ia mengetahuinya.” (HR Ath-Thabarani dan Al-Bazzar)
Ibnu Abbas ra. juga menuturkan bahawa Nabi SAW. bersabda,
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ
“Bukanlah mukmin sempurna orang yang kenyang, sementara tetangganya kelaparan.” (HR Al-Bukhari, Abu Ya’la, Ath-Thabarani, Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Sabda Rasul SAW, “‘arshah” secara bahasa bermaksud tanah lapang yang luas dan tidak ada bangunan di atasnya. Maksudnya adalah suatu daerah atau negeri. Jadi “ahlu ‘arshah” bermaksud penduduk suatu negeri.
“Dzimmah” Allah membawa maksud perjanjian, jaminan, penjagaan dan pemeliharaan-Nya di dunia dan akhirat. Ungkapan “bari’at minhum dzimmatuLlâh” (dzimmah Allah telah lepas dari mereka) maknanya; penduduk negeri itu telah diharamkan atau dihalangi dari penjagaan dan pemeliharaan Allah. Hal itu kerana mereka telah menjerumuskan diri ke dalam kebinasaan atau melakukan sesuatu yang diharamkan atau menyalahi apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka.
Terlepasnya dzimmah Allah itu dikaitkan dengan wujudnya suatu keadaan iaitu dengan adanya atau terus adanya –zhalla fihim (terus ada di tengah-tengah mereka) dalam redaksi Al-Harits, Ath-Thabarani dan Ibnu Abi Syaibah- orang yang lapar di tengah-tengah penduduk negeri.
Hadis ini merupakan ikhbar (pemberitaan). Mafhumnya memberi faidah thalab (tuntutan) untuk memberi makan kepada orang-orang yang lapar. Ia dikaitkan dengan celaan (dzamm) jika penduduk di negeri itu tidak memberi makan. Dengan demikian, ia menjadi thalab jazim (tuntutan tegas). Jadi, memberi makan orang yang lapar adalah fardhu kifayah atas penduduk negeri.
Memberi makan itu konteksnya adalah dengan memenuhi keperluan asas orang lain. Orang yang perlu melaksanakan fardhu kifayah adalah orang yang mampu menanggung nafkah orang lain selain keluarganya. Orang yang mampu itu adalah golongan yang kaya iaitu mereka yang memiliki lebihan harta dari keperluan untuk nafkah dirinya dan orang yang menjadi tanggungannya serta keperluan hidup mereka secara makruf.
Dengan demikian, kaum muslim yang memiliki kemampuan, iaitu orang kaya, perlu melaksanakan fardhu kifayah dalam memenuhi keperluan asas sesama rakyat yang belum terpenuhi.
Cara pelaksanaannya adalah, Khalifah akan menetapkan pungutan wajib atau dharibah -boleh dimaksudkan sebagai pajak/cukai- ke atas setiap muslim yang kaya. Jumlahnya adalah sesuai dengan keperluan, tidak lebih. Kewajipan menjamin pemenuhan keperluan asas rakyat itu tidak langsung beralih ke bahu seluruh kaum muslimin. Tetapi, perkara itu akan berjalan sesuai dengan mekanisme yang ditetapkan oleh syariat.
Pertama sekali, kewajipan itu berada di bahu lelaki (suami). Jika dia tidak ada atau tidak mampu, kewajipan itu terletak pada bahu kerabat lelaki/suami itu. Jika tidak ada kerabat yang mampu atau ada kerabat, tetapi mereka juga kurang berkemampuan, kewajipan itu beralih kepada negara/baitulmal. Ia akan diambil dari pusat zakat. Jika tidak mencukupi, boleh diambil dari harta milik negara dan harta milik umum.
Jika semua mekanisme itu belum mencukupi, barulah ia menjadi fardhu kifayah ke atas seluruh kaum muslim yang kaya. Di situlah, syariat memberikan kekuasaan kepada Khalifah untuk menetapkan pungutan wajib atau dharibah yang jumlahnya bersesuaian dengan keperluan, tidak lebih dan dipungut dari setiap muslim yang kaya.
Dengan semua mekanisme itu, pemenuhan keperluan asas dan asasi untuk setiap individu rakyat akan benar-benar boleh direalisasikan melalui penerapan syariat Islam. Wallahualam bissawab.