Penulis: Ustaz Muhammad Al-Hamdani
Allah SWT berfirman dalam Kitab Suci-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul-Nya apabila Dia menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” [TMQ Al-Anfal(: 24].
Ayat ini merupakan seruan untuk menghidupkan kembali kejayaan dan kehormatan umat ini seperti dahulu sebagaimana Allah SWT dan Rasul-Nya kehendaki untuk menjadi umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia.
Kebaikan ini muncul dari aktiviti amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat dan menunaikan zakat dengan menjalankan Islam secara keseluruhan dan menjadikannya sebagai pedoman hidup.
Rasulullah saw telah menjelaskan bahawa langkah-langkahnya berdasarkan petunjuk dari Allah Tuhan semesta alam, mengikuti segala perintah-Nya dan melaksanakan mengikut tatacara al-Quran serta sesuai metode dakwah pemikiran dan berkelompok. Kemudian, mengumumkan dan meminta sokongan untuk pembentukan negara dan membangkitkan umat. Setelah itu, mengemban dakwah ini ke seluruh umat manusia melalui dakwah dan jihad agar mereka memeluk akidah ini dan melaksanakannya kerana di dalamnya terdapat rahmat Allah Tuhan semesta alam.
Allah Taala berfirman dalam QS Al-Anbiya: 107, “Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”
Juga, janganlah melakukan pemaksaan terhadap orang lain untuk memeluk agama Islam, sebagaimana firman Allah SWT dalam QS Al-Baqarah: 256, “Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat. Barangsiapa ingkar kepada Taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Bangsa Arab dan pelbagai kaum lain yang telah masuk Islam sebenarnya telah keluar dari kegelapan zaman jahiliah dan kesempitan dunia menuju cahaya Islam dan ajaran yang manusiawi serta kesenangan di dunia dan akhirat. Dengan demikian, manusia menjadi mulia di bawah naungan sistem Islam, mendapat keselamatan dalam masyarakat, memperoleh keperluan asas hariannya, saling tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan; serta berhukum dengan syariat Allah, adil dalam me-riayah, dan menerapkannya itu tanpa membeza-bezakan.
Seorang muslim akan berjalan di pelbagai bagai penjuru negeri umat Islam tanpa rasa takut selain hanya kepada Allah, ibarat tidak ada kebimbangan terhadap serigala ke atas kambingnya. Hal ini dibenarkan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Demi Allah, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna sehingga ada seseorang yang menunggang kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadhramaut, tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah, ataupun (tidak ada) kebimbangan terhadap serigala ke atas kambingnya.”
Umat Islam terus hidup dalam naungan sistem dan akidah Islam bersama dengan sistem kepimpinannya serta Khalifah sebagai penjaga bagi ajaran Islam yang menerapkan Islam dan melaksanakannya, juga membuat perhitungan dengan orang-orang kafir, sekutu mereka dan orang munafik selama hampir 13 abad sehingga kejatuhannya pada tahun 1924 melalui tangan Mustafa Kemal.
Oleh itu, ikatan Islam mula terlepas satu demi satu sebagai bukti atas perkataan Rasulullah saw. Dari Abu Umamah al-Bahili dari Nabi saw bahawasanya baginda bersabda, “Tali-tali (ikatan) Islam benar-benar akan terlepas satu demi satu. Ketika satu tali (ikatan)nya lepas, orang pun pasti akan melepaskan tali (ikatan) berikutnya.
Yang pertama sekali lepas adalah pemerintahan, yang terakhir adalah solat.” (HR Ahmad)
Lepasnya ikatan ini tidak akan mungkin terjadi jika tidak didahului oleh faktor dalaman dan luaran. Faktor luarannya nampaknya permusuhan kafir secara kolektif di bawah kepimpinan kafir British, penghasutan kepada idea nasionalisme dan kebangsaan serta pembentukan parti-parti melalui kakitangan yang berasal dari pihak kita.
Manakala faktor dalamannya pula kelemahan pemikiran dan kefahaman terhadap fikih yang menimpa Daulah Uthmaniyyah di penghujung zaman pemerintahannya, kejumudan dan ketidakmampuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul: bagaimana mengurus pertanian, industri, pelaburan dan menyediakan perkhidmatan untuk memenuhi rasa lapar dan keperluan manusia seperti mana perkembangan Barat pada ketika itu. Semua ini tercermin dalam pemikiran dan tingkah laku umat.
Sejak kejatuhan Khilafah, umat hidup dalam keadaan yang kontradiktif(bertentangan), iaitu antara perasaan yang diyakini, pemikiran dan sistem yang diterapkan kepada mereka, serta pemaksaan sempadan dan perpecahan yang memisahkan umat antara satu sama lain.
Seruan nasionalisme dan perselisihan membuat mereka lupa akan kehidupan Islam mereka melalui penguasa yang mengangkat penjajah kafir di atas mereka. Mereka hanya mementingkan urusan tuan mereka yang kafir.
Kerana tidak ada kehidupan bagi umat Islam tanpa Islam, kehidupan umat pun beralih kepada kesulitan dan kembali ke zaman jahiliah setelah mereka hidup dalam kemuliaan Islam. Dengan situasi baru ini, hilangnya kefahaman dan pemikiran Islam semakin meningkat seiring dengan kelemahan fatwa-fatwa, serta pelbagai dalil yang menipu, dikalahkan dan ditindas yang semakin memburukkan lagi keadaan.
Umat semakin dipermalukan dan mula menderita. Mereka mencari jalan keselamatan dan pembebasan daripada apa yang mereka alami. Semua seruan kebangkitan dalam bentuk nasionalisme, patriotisme, kebangsaan, sosialisme, tentang keagamaan yang berpecah dan tidak menyeluruh, telah dilemahkan sehingga Allah menyediakan seseorang yang menyeru kepada pembaharuan agama-Nya.
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya, Allah akan mengutus kepada umat ini setiap penghujung 100 tahun orang yang akan memperbaharui agama mereka.”
Pada awal tahun 1950-an, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani mengumumkan bahawa telah lahir parti politik berideologi Islam, iaitu حزب التحرير. Ini dalam rangka mengembalikan kefahaman agama umat dengan cara yang telah Rasulullah saw jelaskan, dengan mempelajari Islam dan biografi Nabi saw, melalui kajian pemikiran yang sesuai hukum (Islam) bukan kajian sejarah seperti mana yang dilakukan oleh banyak pendakwah yang ingin membangkitkan umat.
Pembelajaran seperti ini mencontohi aktiviti Rasulullah saw sejak awal kehidupan beliau, ketika beliau bersendirian di Gua Hira, merenung dan berfikir tentang kewujudan alam ini; serta yang ada pada manusia, seperti kebiasaan, tradisi, penyembahan pada patung, sehingga beliau saw dipilih oleh Allah sebagai Rasul dan Dia menurunkan wahyu-Nya yang menjawab segala persoalan dan kebimbangannya.
Oleh itu, Allah SWT telah menjaganya bahkan sebelum beliau diutus dan telah mempersiapkan untuk melaksanakan amanah, sehingga menjadi terkenal di kalangan kaumnya dari segi berakhlak mulia dan mengatasi perkara-perkara hina yang lain.
Bagaimana tidak? Ketika itu, mereka bahkan menggelarnya sebagai as-Sadiq al-Amin (yang jujur dan terpercaya). Setelah turunnya wahyu, Rasulullah saw keluar dan menyampaikan kepada manusia bahawa beliau adalah Rasulullah (utusan Allah) dan menyeru mereka untuk beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan ibadah kepada selain-Nya. Dengan demikian, berimanlah sekelompok orang (dari manusia yang beliau seru) dan menyakini perkataannya, kemudian terbentuklah kutlah (kelompok) keimanan.
Dari sini, bermulanya tahapan-tahapan aktiviti kutlah tersebut dalam mencapai perubahan, iaitu:
Tahap pertama, pendidikan dan pemantapan konsep-konsep Islam bagi pengemban dakwah secara sembunyi-sembunyi di Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, berlangsung selama tiga tahun apabila para sahabat disempurnakan sehingga terbentuklah keperibadian Islami dalam diri mereka, baik pemikiran mahupun mentaliti mereka.
Buktinya adalah penganiayaan dan seksaan yang mereka alami di tangan orang-orang kafir Quraisy. Semua itu tidak menghalang keyakinan mereka. Tahapan ini sangat penting dalam urusan dakwah kerana tahap kedua bergantung padanya dan sebarang kesilapan di dalamnya menghalang proses peralihan menuju tahapan yang lain.
Tahap kedua, interaksi, iaitu tahap dakwah secara terang-terangan dari jemaah dan pengisytiharan kelompok sebagai kekuatan intelektual yang berusaha mengubah realiti setelah turunnya firman Allah SWT, “Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” (QS Al-Hijr: 94). Kelompok tersebut telah beralih untuk melakukan aktiviti baru sebagai tambahan kepada aktiviti sebelumnya.
Kemudian, masuknya jemaah ke tengah masyarakat dan berinteraksi dengan mereka melalui pertarungan pemikiran dengan menyerang pemikiran jahiliah, seperti penyembahan berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup dan sebagainya; serta perjuangan politik dengan mencabar pemimpin kafir dan mengejek pemikiran mereka, seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Walid bin Mughirah, dan lain-lain.
Di antara aktiviti pada tahap ini dalam tiga tahun terakhir adalah meminta pertolongan pada orang-orang yang berkuasa dan kuat yang diwakili oleh kerabat dan pemimpin mereka untuk melindungi Rasulullah saw, serta memberinya kekuatan untuk memerintah dengan risalah Allah sehingga mendapat perlindungan Kaum Aus dan Khazraj daripada penduduk Madinah.
Di sini, bermulanya tahapan ketiga, iaitu penerimaan kekuasaan, penerapan hukum Allah, dan pelaksanaan hukum-hukum-Nya. Dengan demikian, umat Islam menjadi kekuatan yang diwakili oleh institusi politik yang membawa umat Islam masuk ke dalam pertarungan fizikal dengan entiti Quraisy iaitu melalui aktiviti tentera dan jihad di jalan Allah dan turunnya ayat-ayat yang memerintahkan berperang.
Tahapan ini berbeza dengan tahapan sebelum Daulah tegak yang terhad kepada serangan pemikiran dan perjuangan politik. Sehingga akhirnya, konflik tersebut diselesaikan setelah Perjanjian Hudaibiyah demi kepentingan Rasulullah saw dan para sahabat iaitu Fathu Mekah sebagai salah satu hasilnya.
Kemudian, Rasulullah saw mulai bergerak mengemban Islam ke luar Mekah. Pada masa yang sama, syariat Islam turun secara bertahap selama ±20 tahun dan menjadi sempurna dalam seluruh aspek kehidupan dengan turunnya firman Allah SWT, “Pada hari ini, telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.”[TMQ Al-Maidah(5): 3]
Setelah Rasulullah saw wafat, para sahabat meneruskan tugas mengemban risalah Islam sehingga dapat menakluki kerajaan Parsi dan Rom. Daulah Islam pun menjadi negara kuasa besar tanpa tandingan.
Inilah satu-satunya aktiviti untuk membangkitkan umat Islam dan melanjutkan kehidupan Islam. Kita wajib melakukannya dengan meneladani sirah Rasulullah saw agar dapat mencapai kemuliaan di dunia dan redda Allah SWT di akhirat.
Tidak ada jalan lain selain itu. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (Muhammad), ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajaknya (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.’ (QS Yusuf: 108)
Ya Allah, kami memohon, anugerahkanlah kami kemuliaan di bawah naungan Khilafah Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Amin.
Sumber:https://muslimahnews.net/2022/07/16/8794/