(Tafsir TMQ Al-An‘am Ayat 123)
Penulis: Rohmah Rodhiyah
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا فِي كُلِّ قَرۡيَةٍ أَكَٰبِرَ مُجۡرِمِيهَا لِيَمۡكُرُواْ فِيهَاۖ وَمَا يَمۡكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ ١٢٣
“Dan demikianlah Kami adakan pada tiap-tiap negeri penjahat-penjahat (Orang-orang yang berbuat dosa/maksiat) yang terbesar agar mereka melakukan tipu daya dalam negeri itu. Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” [TMQ Al-An’am(6): 123)
Ibnu Abbas menafsirkan “أَكَٰبِرَ مُجۡرِمِيهَا ” (Orang-orang yang berbuat dosa/maksiat yang terbesar) adalah para pemimpin/orang-orang yang menindas dan orang-orang kaya dalam negeri (Ibn Abbas, Tanwir Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Tafsir TMQ Al an’am ayat 123). Dari sini dapat dijelaskan bahawa “أَكَٰبِرَ مُجۡرِمِيهَا ” (Orang-orang yang berbuat dosa/maksiat yang terbesar) adalah para pemimpin, usahawan yang mempunyai modal yang besar, orang yang mempunyai kuasa melakukan penindasan dan membuat dasar serta kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Imam Al-Qurtubi menafsirkan ” أَكَٰبِرَ مُجۡرِمِيهَا” (Orang-orang yang berbuat dosa/maksiat yang terbesar) adalah pemimpin dan pembesar, dikhususkan kepada mereka, kerana sebenarnya mereka paling mampu/paling tinggi kadar untuk membuat kerosakan (Imam Al Qurtubi, Tafsir Al Qurtubi, TMQ. Al An’am: 123).
Mengapa kejahatan atau perbuatan dosa/maksiat yang dilakukan oleh pemimpin dan orang yang mempunyai kekuasaan dikatakan sebagai kejahatan atau perbuatan dosa/maksiat yang terbesar? Kerana dasar dan kenyataan yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis atau maksiat yang mereka lakukan memberi kesan yang tidak terhad akan tetapi akan memberi kesan yang luas.
Contohnya, seorang pengetua yang melarang bertudung di Universiti Perguruan Islam yang dipimpinnya, maka akan memberi impak yang luas, baik di kampus yang dipimpinnya mahupun kampus yang lain. Malah, ia turut memberi kesan kepada sekolah, institusi dan masyarakat secara amnya. Lebih-lebih lagi yang mengatakan bahawa dia seorang pengetua universiti perguruan Islam, maka kerosakan yang ditimbulkan boleh menjadi semakin meluas dengan kerosakan yang teruk kerana masyarakat menganggap apa yang dilakukan adalah kebenaran. Ini kerana pengetua universiti perguruan Islam dianggap mempunyai kemampuan dalam berbicara tentang agama. Maksudnya ada pembenaran bahawa seolah-olah melarang bertudung itu sesuai dengan ajaran Islam.
Seterusnya berkenaan dengan tipu daya, Imam Al-Qurtubi menafsirkan ” لِيَمۡكُرُواْ”/tipu daya, maksudnya membuat manusia menyimpang dari istiqamah/berpegang teguh terhadap ajaran Islam. Mujahid berkata, “Mereka menjadikan manusia lari dari mengikuti Nabi saw, sebagaimana dilakukan oleh orang-orang dari umat dahulu sebelum mereka terhadap nabi mereka.” (Imam Al Qurtubi, Tafsir Al Qurtubi, TMQ Al-An’am: 123).
Ibnu Abbas menafsirkan ” لِيَمۡكُرُواْ”/tipu daya maksudnya adalah kemaksiatan/kerosakan dan dikatakan (mereka membuat tipu daya dalam negeri itu) agar manusia mendustakan para nabi dalam negeri itu (Ibn Abbas, Tanwir Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Tafsir TMQ Al-An’am ayat 123). Sedangkan, Imam Jalaluddin menafsirkan ” لِيَمۡكُرُواْ ”/tipu daya adalah mereka membuat tipu daya dalam negeri itu, iaitu menghalangi dari keimanan (Imam Jalaluddin, Tafsir Jalalain, TMQ Al-An’am: 123).
Dengan demikian, tipu daya yang mereka lakukan dalam bentuk kemaksiatan/kerosakan adalah semua perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, dengan tujuan menjadikan manusia lari dari mengikuti Nabi saw, menjadikan manusia agar mendustakan para nabi dalam negeri itu, menyimpang dari istiqamah/berpegang teguh terhadap ajaran Islam. Boleh jadi dalam bentuk dasar, perintah, larangan dan kenyataan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Termasuk dalam perbuatan maksiat adalah penyataan agar “Assalamualaikum” diganti dengan “Salam Pancasila”, juga menyarankan umat Islam agar mengalihkan penempatan kitab suci, diganti dengan perlembagaan dalam berbangsa dan bernegara.
Termasuk dalam perbuatan maksiat/membuat kerosakan adalah orang yang menulis dan orang-orang yang meluluskan disertasi(karangan ilmiah) Abdul Azis yang berjudul “Konsep Milk al-Yamīn Muḥammad Syaḥrūr Sebagai Keabsahan Hubungan Seksual Non Marital” yang mengandungi liberalisasi seks dengan dalih milkul yamin itu dibenarkan dalam Islam. Disertasi ini menjadi kontroversi kerana dianggap menyetujui keabsahan hubungan seksual bukan perkahwinan.
Begitu juga dasar-dasar yang bertentangan dengan ajaran Islam dan dasar-dasar yang membuat rakyat semakin sengsara. Contohnya, UU Omnibus Law Cipta Kerja yang memudahkan akses pekerja asing dengan pembatalan Undang-undang No.13/2003 tentang Tenaga Kerja. Undang-undang ini akan mengekalkan jurang keupayaan antara pekerja asing dan tempatan. Lebih-lebih lagi jika terdapat polisi pelabur dari negara asing yang memerlukan tenaga kerjanya berasal dari negara tersebut. Sedangkan ketika ini, pekerja asing paling banyak di Indonesia berasal dari China, berjumlah sekitar 32 ribu orang. Selain itu, Omnibus Law akan menyebabkan kerosakan yang tinggi terhadap aspek perlombongan dan alam sekitar.
Sekali pandang seolah-olah mereka yang melakukan tipu daya itu akan mendapat keuntungan yang besar dan boleh memudaratkan orang lain, padahal pada dasarnya tipu daya tersebut akan menimpa dirinya sendiri. Ini kerana mereka sebenarnya tidak memperdayakan, melainkan diri mereka sendiri, apa yang mereka lakukan dalam bentuk maksiat dan kerosakan/kehancuran akan menghancurkan diri mereka sendiri, mereka sendiri yang merasai akibatnya sedangkan mereka tidak menyedarinya.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas bahawa “وَمَا يَمۡكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ” (Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya) adalah “Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, apa yang telah mereka lakukan itu berupa maksiat dan kerosakan/kehancuran akan mengakibatkan kepada diri mereka sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.” (Ibn Abbas, Tanwir Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Tafsir TMQ Al-An’am ayat 123).
Imam Qurtubi menafsirkan “وَمَا يَمۡكُرُونَ إِلَّا بِأَنفُسِهِمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ” (Dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya) adalah “dan mereka tidak memperdayakan melainkan dirinya sendiri”, maksudnya bahawa tipu daya mereka kembali kepada diri mereka sendiri. Yang demikian itu dari Allah Azza Wajalla membalas setiap tipu daya orang-orang yang membuat tipu daya dengan azab yang pedih. Sedangkan, mereka sekarang tidak menyedarinya kerana tidak mengetahui bahawa sebenarnya tipu daya mereka akan kembali kepada mereka (Imam Al Qurtubi, Tafsir Al Qurtubi, TMQ Al-An’am: 123).
Sumber: Suara Mubalighah