Penulis: Irfan Abu Naveed
Di antara perkara ghaib yang dikhabarkan Rasulullah ﷺ di kemudian hari adalah kembalinya Islam menjadi terasing pada akhir zaman. Hal ini dimaklumkan dalam bentuk uslûb khabarî ibtidâ’î (ungkapan tanpa satu pun penegasan), yang menunjukkan bahawa maklumat tersebut merupakan maklumat baru yang tidak diragukan, tidak diingkari, dari Abu Hurairah RA, Rasulullah ﷺ bersabda,
“Islam pertama kali datang terasing dan akan kembali terasing sebagaimana permulaannya. Kerana itulah beruntunglah mereka yang terasing.” [HR Muslim, Ibn Majah, dan Ahmad]
Kata al-ghurabâ’ menunjukkan bentuk jamak (plural). Ini mengisyaratkan adanya golongan manusia (jemaah) yang akan sentiasa membela Islam pada akhir zaman. Padahal karakteristik utama al-ghurabâ’ adalah mereka yang berpegang teguh pada Islam; sentiasa melakukan perbaikan ketika manusia telah rosak:
“Kerana itu beruntunglah mereka yang terasing, yakni mereka yang memperbaiki sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia setelahku.“ [HR At-Tirmidzi]
Kata kerja yushlihûna dengan subjek jamak dalam ayat ini menjelaskan bahawa kelompok al-ghurabâ’ ini berjemaah, berdakwah secara kolektif. Aktiviti tersebut dilakukan secara dinamik, berkesinambungan. Ini ditandai lafaz yushlihûna yang merupakan al-fi’l al-mudhâri’ yang berfaedah al-hudûts (dinamik). Apa maknanya? Maknanya adalah menyesuaikan kembali sesuatu yang telah menyimpang kepada asalnya, yakni pada Islam. Siapakah mereka? Al-Imam al-Munawi al-Qahiri (w. 1031 H) dalam Faydh al-Qadîr (VI/468) ketika menyebutkan sebahagian golongan al-ghurabâ’ menjelaskan,
“Mereka ialah kaum yang berpegang pada agama mereka tatkala tersebarnya fitnah, bagaikan orang yang memegang bara api. Mereka ialah kaum yang terpisah dari suku-suku. Mereka ialah orang-orang yang mengimani perkara ghaib dan lain sebagainya yang tidak sulit bagi orang-orang yang cerdas mengambil dari sumber hadis-hadis.”
Keterasingan tersebut boleh jadi kerana manusia belum mengenal hakikat kebenaran Islam; muncul di tengah tersebarnya kemungkaran. Imam Abu Hamid al-Ghazali (w. 505 H) dalam Qawâ’id al-‘Aqâ’id (hlm. 101) menyiratkan,
“Manusia (kadang-kadang) menjadi musuh atas apa sahaja yang tidak mereka ketahui.”
Ertinya, tidak difahami dan tidak diamalkan sebagaimana sepatutnya, hingga mereka yang berpegang teguh padanya dianggap pelik (gharîb), bahkan terang-terangan dianggap negatif oleh orang-orang yang terpedaya dengan stigma radikalisme, fundamentalisme (dalam konotasi negatif), dimomokkan agar mereka semakin diketepikan dan diasingkan masyarakat. Untuk mengatasi semua ini diperlukan usaha memperkenalkan kebenaran Islam ke tengah-tengah masyarakat, menjadikan Islam sebagai pandangan masyarakat umum, bahkan bukan hanya dibicarakan melainkan juga diamalkan.
Keterasingan yang ada pun bukanlah lahir dari sikap menerjah tanpa ilmu, tidak peduli terhadap keburukan yang menimpa masyarakat, hingga ‘uzlah dengan menjauhi dari masyarakat. Kenyataannya, Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukan ‘uzlah setelah turunnya risalah. Rasulullah ﷺ justeru ‘terasing’ dari masyarakat jahiliah yang telah menggelarkan baginda sebagai al-amîn (orang yang sangat dipercayai) setelah menyebarkan risalah Islam ke tengah-tengah masyarakat jahiliah.
Pandangan ini relevan dengan keterangan bahawa kalimat fathûbâ li al-ghurabâ’ merupakan kalimat kiasan, yang menisbahkan keberuntungan pada akibat (al-musabbab) “al-ghurabâ’” (menjadi kaum terasing), namun yang dimaksudkan adalah sebab keterasingan itu sendiri; beruntung kerana berpegang teguh pada Islam. Dalam perspektif ilmu balagah ia termasuk kiasan al-majâz al-mursal bi al-’alâqah al-musabbabiyyah; ithlâq al-musabbab wa irâdat al-sabab (yang disebutkan akibat, namun yang dimaksudkan adalah sebabnya).
Keterasingan tersebut bukanlah bukti bahawa Islam tidak benar. Sebabnya, kebenaran tidak ditentukan oleh kemasyhuran, pengikut, dan pengakuan manusia itu sendiri. Kebenaran tetaplah kebenaran meskipun seandainya majoriti manusia menolaknya. Ini kerana kebenaran adalah apa sahaja yang datang dari Allah ’Azza wa Jalla berupa wahyuNya, sebagaimana firmanNya:
“Katakanlah, “Hai manusia, sungguh teIah datang kepada kalian kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kalian. Sebab itu, siapa saja yang mendapat petunjuk, sungguh (petunjuk itu) untuk kebaikan dirinya sendiri. Siapa saja yang sesat, sungguh kesesatannya itu pun akan mencelakakan dirinya sendiri. Aku bukanlah seorang penjaga terhadap diri kalian.” [TMQ Yunus (10): 108]
Kalimat yâ ayyuhan nâs dalam ayat ini mengisyaratkan bahawa kebenaran dari Allah adalah satu-satunya standard kebenaran bagi seluruh umat manusia. Kalimat Qad jâ’akum al-haqq min Rabbikum mengandungi penegasan (tawkîd) bahawa kebenaran datang dari Allah (wahyuNya). Siapa sahaja yang mengambilnya sebagai petunjuk maka dia meraih kebaikan untuk dirinya sendiri. Siapa sahaja yang mengabaikannya maka dia meraih keburukan akibat kesesatannya sendiri. Kebenaran tersebut dibawa oleh Rasulullah ﷺ,
“Wahai manusia, sungguh telah datang Rasul (Muhammad) itu kepada kalian dengan (membawa) kebenaran dari Tuhan kalian. Kerana itu berimanlah kalian. Itulah yang lebih baik bagi kalian. Jika kalian kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) maka sungguh apa yang di langit dan di bumi itu adalah milik Allah. Allah Maha tahu lagi Mahabijaksana.” [TMQ an-Nisa’ (4): 170]
Ayat ini menjelaskan standard kebenaran itu sendiri, sangat definitif, jelas batasannya, berdasarkan kebenaran dari Allah yang dibawa oleh RasulNya kepada umat manusia. Dengan itu kebenaran boleh difahami oleh manusia, bukan berdasarkan apa yang dikehendaki hawa nafsu fulan dan fulan, sebagaimana dikatakan oleh kaum liberal yang rasa bebas berbicara tentang al-Quran semahu mereka, hingga melibas ajaran Islam itu sendiri. Penyair bertutur,
Aku hairan kepada kaum yang tersesat dari jalan kebenaran
Sungguh Allah telah menjelaskan jalan petunjuk
Mereka tidak mengenal kebenaran tatkala ia terang-benderang
Tidak pula melihat fajar tatkala ia terbit
Bagi mereka yang tenggelam dalam kebatilan, hendaklah ingat dengan pesanan bijak dari Amîr al-Mu’minîn, Khalifah Umar bin al Khattab RA, sebagaimana dinukil oleh Al-Hafizh Ibn Katsir dalam Musnad Amîr al-Mu’minîn Abi Hafsh Umar bin al-Khattab RA (II/775). Dikisahkan, Khalifah Umar menulis surat kepada bawahannya, Abu Musa al-Asy’ari RA,
“Sungguh kembali pada kebenaran (kebaikan) lebih baik daripada berlarut-larut dalam kebatilan.”
Beruntunglah al-ghurabâ’. Mereka sentiasa aktif memperbaiki kehidupan yang dirosakkan oleh manusia dengan kemungkaran mereka hingga kehidupan kembali selari dengan Islam. Beruntunglah al-ghurabâ’. Mereka meraih keberuntungan di dunia dan akhirat dengan menjalani kehidupan dalam keredhaanNya, berkah hidupnya di dunia dengan akidah dan syariat, berbahagia selama-lamanya di akhirat di JannahNya. Merekalah permata di tengah-tengah gelapnya dunia. Wallahu’alam.
Sumber: https://al-waie.id/nafsiyah/hakikat-al-ghuraba/