Sebutan “rajul” (bentuk tunggal) atau jamaknya “rijal” (yang bermaksud lelaki) mempunyai makna yang membayangkan tugas mulia dan keazaman tinggi mereka. Seseorang itu disebut “rijal” kerana sifat sebagai seorang kesatria yang melekat padanya.
Dalam al-Quran, penggunaan perkataan “rijal“, “rajul“, atau yang mempunyai kata dasar yang sama, sangat banyak. Jika kita perhatikan, maknanya sinonim dengan kebaikan. Antaranya berkaitan ketaatan, kepimpinan, tanggungjawab nafkah, memakmurkan masjid, orang yang sentiasa berzikir, kepahlawanan, dan sebagainya.
Dalam konteks dakwah, erti kata “rijal” yang terbaik ialah kader. Jika dimaknakan dengan perkataan “kesatria” maka aspek sejarahnya akan lebih terkesan. Namun jika ia dimaknakan sebagai “kader”, maka ia kelihatan lebih aktual dan lebih dekat dengan realiti. Ya, kita memerlukan kader untuk meneruskan tanggungjawab dakwah ini.
Dengan melakukan tadabbur terhadap al-Quran yang menyebut lafaz “rijal/rajul“, maka ciri-ciri kader dakwah antara lain,
Pertama, Kader Dakwah tidak Boleh Sibuk dengan Urusan Dunia
Allah Ta’ala berfirman,
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأبْصَارُ (37) لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (38)
“Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari mengingat Allah, dan (dari) mendirikan solat, dan (dari) menunaikan zakat. Mereka takut akan suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. (Mereka melakukan demikian) supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik daripada apa yang telah mereka lakukan, dan supaya Allah menambahkan kurniaan-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas.” [TMQ an-Nur (24): 37]
Ayat di atas selaras dengan firman-Nya yang lain,
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ}
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu dari mengingat Allah.” [TMQ al-Munafiqun (63): 9]
Allah SWT berfirman bahawa dunia dan gemerlapnya tidak dapat menyibukkan mereka. Mereka mengetahui bahawa pahala yang di sisi Allah lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka daripada harta yang ada di tangan mereka; kerana harta yang ada pada mereka akan habis, sedangkan pahala di sisi Allah adalah kekal. Mereka mengutamakan ketaatan kepada Allah dan perintah Allah serta apa yang Dia suka.
Hasyim telah meriwayatkan daripada Syaiban; dia menceritakan hadis daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia melihat suatu kaum dari kalangan ahli pasar ketika azan untuk menunaikan solat fardhu dikumandangkan. Maka mereka meninggalkan jual beli mereka dan bangun ke tempat solat untuk menunaikan solat.
Maka Abdullah ibn Mas’ud berkata bahawa mereka termasuk golongan yang disebut oleh Allah SWT melalui firman-Nya, “Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) dengan jual beli dari mengingati Allah.” [TMQ An-Nur(24): 37]
Kedua, Kader Dakwah ialah Orang yang Bersegera Memberi Pertolongan dan Menyampaikan Kebenaran
Allah SWT berfirman,
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21)
“Dan datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas dia berkata, ‘Wahai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu, ikutilah orang yang tidak meminta balasan kepadamu; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk’.” [TMQ Yaasin(36) : 20-21]
Ibnu Ishaq dalam riwayatnya yang bersumber daripada Ibnu Abbas, Ka’bul Ahbar, dan Wahb ibnu Munabbih telah berkata bahawa sesungguhnya penduduk negeri tersebut hampir membunuh utusan-utusan mereka, tetapi kemudian seorang lelaki dari pinggir kota datang berlari-lari dengan cepat untuk menolong rasul-rasul itu dari ancaman kaum mereka.
Menurut mereka bertiga, lelaki itu bernama Habib, seorang penenun dan menghidap penyakit. Penyakit yang dideritainya ialah kusta. Dia adalah orang yang banyak bersedekah, separuh dari hasil kerjanya selalu dia sedekahkan, dan dia adalah seorang yang berfikiran lurus.
Umar ibnu al-Hakam berkata bahawa Habib adalah seorang pendeta. Qatadah berkata, dia seorang ahli ibadah yang menghabiskan hidupnya dengan beribadat di salah sebuah gua di pinggir negeri tersebut.
{قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ}
“Dia berkata, ‘Wahai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu’.” [TMQ Yaasin(36): 20]
Dia menasihati kaumnya supaya mengikut rasul-rasul tersebut yang datang kepada mereka untuk memberi peringatan.
{اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا}
“Ikutilah orang yang tidak meminta balasan kepadamu.” [TMQ Yaasin (36): 21]
“Iaitu upah sebagai balasan atas penyampaian risalahnya kepada mereka”.
{وَهُمْ مُهْتَدُونَ}
“Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [TMQ Yaasin(36): 21]
Mereka diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka mereka menyeru kamu supaya menyembah Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.
Ketiga, Kader Dakwah ialah Orang yang Menepati Janji dan Sentiasa Sabar dalam Perjuangan
Allah SWT berfirman,
{مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا (23) لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِنْ شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (24) }
“Di antara orang-orang yang beriman ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka sebahagian daripadanya gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya) sedikit pun, supaya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang benar atas kebenaran mereka, dan menyiksa orang munafik jika Dia menghendaki, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ al-Ahzab (33): 23-24]
Setelah menceritakan tentang orang-orang munafik; mereka telah melanggar perjanjian mereka sendiri yang telah mereka buat dengan Allah, bahawa mereka tidak akan lari dari medan perang. Kemudian Allah menyebut sifat-sifat orang mukmin, iaitu mereka tetap berpegang teguh pada ikrar dan janji mereka.
Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa “nahbahu” bermaksud ajalnya, manakala menurut Imam Bukhari: janjinya. Maksud ini merujuk kepada makna pertama di atas.
{وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا}
“Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janjinya) sedikit pun.” [TMQ al-Ahzab (33): 23]
Maksudnya mereka tidak mengubah janji mereka kepada Allah, dan tidak juga memungkiri atau menggantikannya.
Imam Bukhari telah menuturkan riwayat dari Kharijah ibnu Zaid ibnu Sabit, dari ayahnya yang menceritakan,
“Ketika kami menyalin mushaf, kami kehilangan suatu ayat dari surah Al-Ahzab, padahal aku pernah mendengarnya dari Rasulullah SAW ketika Baginda membacanya. Ayat itu tidak ada pada seorang pun kecuali pada (hafalan) Khuzaimah ibnu Sabit Al-Ansari RA yang penyaksiannya dijadikan oleh Rasulullah SAW sebanding dengan penyaksian dua orang lelaki.”
Ayat tersebut adalah firman Allah SWT,
“Di antara orang-orang yang beriman ada yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.” [TMQ al-Ahzab (33): 23]
Imam Ahmad meriwayatkannya dalam kitab Musnadnya. Begitu juga dengan Imam Tirmidzi dan Imam Nasa’i dalam kitab tafsir bahagian dari kitab sunnah masing-masing melalui hadis Az-Zuhri dengan sanad yang sama. Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini hasan sahih.
Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang mengatakan bahawa sahabat Anas pernah menceritakan bahawa bapa saudaranya (iaitu Anas ibnu Nadr RA yang namanya sama dengannya) tidak pergi bersama Rasulullah SAW dalam Perang Badar, sehingga dia mengalami tekanan jiwa kerananya.
Kemudian Anas ibnu Nadr berkata, “Aku tidak pergi perang bersama Rasulullah SAW pada permulaan peperangan yang diikuti olehnya. Sesungguhnya jika Allah SWT memberiku peluang dalam peperangan yang lain selepas perang ini, aku akan pergi bersama Rasulullah SAW dan sesungguhnya Allah akan menyaksikan apa yang akan aku lakukan dalam peperangan itu.”
Mengenai firman Allah SWT,
{وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا}
“Dan mereka tidak mengubah (janjinya) sedikit pun.” [TMQ al-Ahzab (33): 23]
Mereka sama sekali tidak mengubah janjinya dan tidak mengkhianatinya, bahkan mereka tetap berpegang teguh pada janji mereka kepada Allah. Mereka tidak melanggarnya, tidak seperti yang dilakukan oleh orang-orang munafik, iaitu mereka yang berkata,
{إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ إِنْ يُرِيدُونَ إِلا فِرَارًا}
“Sesungguhnya rumah-rumah kami terbuka (tidak ada penjaga). Dan rumah-rumah itu tidak pernah terbuka, mereka tidak lain hanyalah hendak lari.” [TMQ al-Ahzab (33): 13]
Sehingga firman-Nya,
{وَلَقَدْ كَانُوا عَاهَدُوا اللَّهَ مِنْ قَبْلُ لَا يُوَلُّونَ الأدْبَارَ}
“Dan sesungguhnya mereka sebelum itu telah berjanji kepada Allah bahawa mereka tidak akan berpaling (mundur).” [TMQ al-Ahzab (33): 15]
Justeru, ciri-ciri kader dakwah ialah mereka yang tidak lalai dalam urusan dunia, yang bergegas memberi pertolongan dan menyampaikan kebenaran kepada umat, dan mereka yang menepati janji dan sentiasa sabar dalam perjuangan.
Selain itu, hendaknya menjadi qa’id (pemimpin). Ciri utama seorang pemimpin ialah beraktiviti dengan tujuan tertentu yang jelas.
Sesungguhnya Allah mahu menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan rasa takut dan kegoncangan (perasaan gentar) agar Dia membezakan antara yang berhati buruk dan yang berhati baik, sehingga kelihatan apa yang ada dalam hati mereka dalam bentuk sikap dan perbuatan. Inilah ciri (sajiyyah) yang mesti melekat pada diri kader dakwah.