“Jika kamu mendapatkan kekecewaan dari manusia, tetaplah mengharapkan sesuatu dari Allah SWT, bukan dari manusia. Dengan ini, engkau tetap berbuat baik pada siapa pun.” Kalimat ini juga berlaku di antara pasangan suami isteri pejuang Islam. Liku-liku rumah tangga yang dijalani pasangan pejuang juga mempengaruhi perjuangan Islam.
Saudariku, sungguh manusia tidak mampu berbuat baik secara terus-menerus. Kadang kala dia melakukan kesalahan. Hal itu juga terjadi pada pasangan suami isteri. Suami bukanlah alat pemuas, begitu juga dengan isteri, kedua-duanya tidak selalu mampu mewujudkan segala harapan dan impian yang diinginkan.
Suami isteri memiliki masalah masing-masing. Kita tidak boleh menggenggam seluruh kehidupan pasangan kita. Suami memiliki sisi sendiri antara dia dan Allah SWT. Begitu juga dengan isteri yang memiliki sisi sendiri antara dia dan Allah SWT.
Berkeluarga tidak menjanjikan kepuasan tetapi pasti memberikan keberkatan. Bukankah di sebalik lelaki yang bersabar, ada kemungkinan dia akan dibukakan pintu syurga? Bukankah di sebalik wanita yang bersabar, lalu meminta maaf pada suaminya meskipun suaminya bersalah, lapan pintu syurga akan memanggil dan rindu kepadanya?
Saudariku, ketika menetapkan tujuan berumah tangga hanya untuk mendapatkan kebaikan dari pasangan kita, perkara itu merupakan tujuan yang sangat kecil nilainya. Akhirnya masalah kecil akan menjadi besar kerana tujuannya sangat kecil. Tujuannya bukan pahala, rahmat, dan pintu-pintu syurga yang menanti. Padahal itu semua merupakan tujuan besar dalam berumah tangga.
Ketika konflik suami isteri terjadi, kita sering lupa tujuan besar dalam berumah tangga. Kita pun sering lupa terkait keimanan yang dimiliki. Akhirnya, kita melakukan kebaikan kerana manusia, bukan kerana ingin meraih keredhaan Allah SWT.
Saudariku, sungguh aktiviti perjuangan juga dipengaruhi oleh sejauh mana hubungan baik dan harmonis antara pasangan dalam rumahtangga. Tidak sedikit “gugurnya” para pejuang Islam kerana ujian rumahtangga dan keluarganya.
Marilah kita usahakan untuk tetap berbuat baik pada pasangan dan mengingatkan kesalahannya dengan makruf, semata-mata kerana redhaNya. Ketika kita mampu bersabar menghadapi umat dan para mad’u dakwah, tentunya kesabaran yang utama kita berikan pada pasangan kita.
Agar tidak muncul kekecewaan yang mendalam kerana kekurangan pasangan, maka tanamkanlah pemikiran, kekurangan suami akan dilengkapi dengan kelebihan isteri. Begitu juga sebaliknya.
Ibnul Jauzi mengatakan, “Tidaklah ada dalam beban syariat ini sesuatu yang lebih susah daripada bersabar menghadapi ketetapan dan tiada sesuatu di dalamnya yang lebih utama daripada bersikap redha terhadapnya.” [Shaidul Kathir, h.107]. Redhalah dengan segala kekurangan dan kelebihan pasangan.
Sungguh hanya Allah SWT yang akan membalas segala pengorbananmu wahai suami atas lelahnya mencari nafkah, berdakwah, serta mendidik dan melindungi keluarga. Sungguh hanya Allah SWT yang akan membalas segala rasa lelah, letih, dan sulitmu duhai isteri kerana mengurus, merawat, mendidik anak-anak, serta menyiapkan generasi tangguh untuk Islam. Hanya kepada Allahlah kita mengharapkan pahala.
Saudariku, ketahuilah bahawa khidmat bakti isteri kepada suami merupakan amalan pembuka kebahagiaan. Ingatlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila seorang wanita mengerjakan solat lima waktu, menjaga kemaluannya, dan mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga dari pintu-pintu syurga yang dia sukai.” [HR Ahmad dan Ibnu Hibban]
Tidak lupa juga kita perlu memperbanyakkan doa agar mampu mengemban amanah sebagai suami dan isteri yang diredhai Allah SWT, membantu perjuangan Islam, dan menyegerakan meraih kemenangan, serta menjadi pasangan pejuang yang bersinergi menolong agamaNya dan sentiasa terus melayakkan diri untuk meraih pertolonganNya. Amin.
httpsss://muslimahnews.net/2022/08/15/10053/