Cinta kerana Allah, Kunci Keberkatan Keluarga
Penulis: Najmah Saiidah
“Tali iman yang paling kukuh adalah saling tolong-menolong dan setia kerana Allah, saling bermusuhan kerana Allah dan saling membenci kerana Allah SWT.” (HR Thabrani)
Rasa cinta merupakan anugerah daripada Allah SWT, fitrah semulajadi setiap manusia. Ia lahir dari gharizatun nau’ atau naluri untuk melestarikan jenis yang Allah ciptakan dalam diri setiap manusia sejak lahir. Dengan adanya naluri ini, maka wujudnya tarikan kepada lawan jenis, rasa sayang isteri kepada suami dan sebaliknya, ayah atau ibu sayang kepada anak-anaknya, kakak kepada adiknya, dan sebaliknya. Cuma keberadaannya dalam diri setiap manusia tidak boleh dipenuhi seperti yang diinginkan, mesti mengikut syariat.
Islam hanya membenarkan institusi perkahwinan sebagai wadah halal untuk menyalurkan naluri ini. Jika belum bersedia, maka berpuasalah. Jika cinta sebelum perkahwinan menuai dosa, maka cinta setelah perkahwinan akan dipenuhi dengan pahala, kemuliaan dan penuh keberkatan. Ini kerana perkahwinan itu bernilai ibadah. Sudah tentu, semuanya akan direalisasikan sekiranya proses pembentukan keluarga muslim ini berlandaskan cinta kerana Allah. Menjadikan kecintaan kepada Allah SWT di atas segala kecintaan yang lain.
Dimulakan dengan Cinta kerana Allah
Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan peraturan yang sangat lengkap dan sempurna kepada umat-Nya sehingga dalam menjalani kehidupan ini akan dipenuhi dengan keberkatan dan kemaslahatan. Kerana ketika kita menjalankan syariat Islam secara kaffah, kemaslahatan akan terwujud. Termasuk dalam masalah perkahwinan ini, Islam telah memberikan petunjuk kepada umat Islam bahkan sejak memilih pasangan.
Mari kita lihat beberapa hadis Rasulullah saw, “Biasanya, seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana harta kekayaannya, kedudukannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Hendaklah engkau mengahwini wanita yang taat beragama, nescaya engkau akan bahagia dan beruntung.” (Muttafaqun ‘alaih)
“Apabila datang seorang lelaki kepadamu untuk melamar. Dan engkau lihatlah agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Kerana jika tidak, akan terjadi fitnah dan kerosakan di muka bumi.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun dia seorang yang miskin dan dari golongan bawahan?” Nabi menjawab, “Apabila datang kepadamu lelaki yang baik agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia.” Ucapan ini beliau ulangi sehingga tiga kali. (HR Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis tersebut dapat difahami bahawa kita digalakkan memilih pasangan kerana baik dalam agama dan akhlaknya, bukan kerana paras rupa atau hartanya. Ini bermakna apabila telah berasa bersedia untuk berkahwin dan ingin meneruskannya, Allah telah memberi amaran agar memilih orang yang mempunyai keimanan dan kecintaan yang tinggi kepada Allah. Ertinya, Islam memerintahkan untuk memulakan kehidupan perkahwinan kita dengan cinta kerana Allah, cinta yang tumbuh kerana iman.
Cinta kerana Allah akan Membawa kepada Cinta yang Tiada Akhir
Perasaan yang ikhlas kerana Allah akan membawa seseorang kepada cinta yang murni. Redha Allah lebih berharga daripada segalanya-galanya sehinggakan dia akan ikhlas mencintai pasangannya kerana Allah SWT. Umat Islam yang berbuat demikian, kelak akan diberikan hadiah oleh Allah SWT di syurga. Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang saling mencintai, kamar-kamarnya di syurga nanti kelihatan seperti bintang yang muncul dari timur atau bintang barat yang bersinar.” Kemudian ada yang bertanya, “Siapakah mereka itu?” “Mereka itu adalah orang-orang yang mencintai kerana Allah ‘Azzawajalla.”(HR Ahmad)
Cinta yang tumbuh kerana iman, amal soleh, dan akhlak yang mulia, akan sentiasa bersemi dan tumbuh subur. Ia tidak akan pudar kerana sinar matahari, tidak juga luntur kerana hujan dan tidak akan putus walaupun ajal telah menjemput. Doa yang terbaik akan terus mengalir dari lisannya untuk pasangannya ketika jauh atau dekat. Allah telah menjanjikan kepadanya sebagaimana firmannya,
اَلْاَخِلَّاۤءُ يَوْمَىِٕذٍۢ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ اِلَّا الْمُتَّقِيْنَ ۗ
“Orang-orang yang (semasa di dunia) saling mencintai, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Az-Zukhruf(43): 67]
Semakin jelas bahawa saling mencintai kerana Allah, baik dalam amal perbuatan dan akhlak akan membawa kepada cinta yang hakiki. Rasulullah saw bersabda, “Tiga perkara, apabila ketiga-tiganya ada dalam diri seseorang, nescaya dia akan merasakan betapa manisnya iman: Apabila Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding selain dari kedua-duanya, dia mencintai seseorang, tidaklah dia mencintainya kecuali kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkan dirinya, kebenciannya seperti apabila dia hendak dilemparkan ke dalam kobaran api.”(Muttafaqun ‘alaih)
Kemudian bagaimana untuk menjaga cinta ini agar terus terjaga?
Cinta kerana Allah Mesti Terus Dijaga
Perasaan cinta yang berlandaskan cinta kerana Allah tidak datang secara automatik. Oleh itu, pasangan suami isteri wajib menjaga dan memeliharanya agar rumah tangga yang dibina akan terus berkekalan dan harmoni di dunia dan akhirat. Cuma prosesnya tidak mudah, kadangkala akan ada pelbagai rintangan dan halangan. Perjalanan berkeluarga dan membina rumah tangga memang tidak selalunya indah meredah lautan yang tenang dan indah, ada kalanya riak ombak, gelombang, bahkan badai kehidupan datang melanda biduk atau bahtera rumah tangga.
Sudah tentu ini merupakan lumrah yang wajar dialami oleh sesebuah keluarga. Kadang-kadang muncul permasalahan rumah tangga dan keluarga yang agak rumit. Jika tidak disesuaikan dan ditangani dengan tepat, kehancuran perahu rumah tangga menjadi penamat kisah cinta yang pernah dibina. Oleh itu, penting untuk kita menjaga cinta kerana Allah agar terhindar musibah rumah tangga. Kita harus mempunyai perhatian khusus dalam menjaganya.
Terdapat beberapa usaha yang boleh kita lakukan untuk menjaga cinta kerana Allah, di antaranya ialah:
1. Sentiasa mengutamakan redha Allah SWT.
Redha Allah mesti menjadi tujuan setiap keluarga muslim, kerana redha Allah yang akan membawa keluarga kita ke jalan yang lurus. Apabila kita mencintai seseorang kerana Allah, dia akan mengutamakan redha-Nya terlebih dahulu. Redha Allah akan diperolehi dengan menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Dengan begitu, dia akan mendapat keindahan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang membuat murka (membuat marah) Allah untuk meraih keredhaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang sebelumnya meredhainya menjadi murka kepadanya. Namun, barang siapa yang diredhai Allah (walaupun) dalam kemurkaan manusia, maka Allah akan meredhainya dan meredhai kepadanya orang yang pernah dimurkainya sehingga Allah memperindahnya, memperelokkan ucapannya dan perbuatannya dalam pandangan-Nya.” (HR Ath-Thabrani)
2. Sentiasa mendahulukan Allah dalam cintanya.
Dalam mencintai seseorang kerana Allah, maka hendaklah mengutamakan Allah dalam setiap langkah dan tindakannya. Menjadikan peraturan Allah sebagai pijakan dalam setiap gerak-gerinya.
Seorang bapa lebih mengutamakan mencari nafkah yang halal walaupun untuk mendapatkannya memerlukan perjuangan yang bukan mudah. Bapa mengetahui bahawa mencari nafkah yang halal adalah perintah Allah dan akan memberikan keberkatan untuk keluarga. Sebaliknya, nafkah yang haram sangat dibenci oleh Allah.
Demikian halnya seorang isteri, dia sangat ingin bekerja untuk membantu suami tetapi suaminya melarang.
Dia akan mentaati suaminya dan tetap tinggal di rumah kerana dia memahami bahawa Allah memerintahkan untuk taat kepada suami, sekalipun peluang pekerjaan yang akan diperoleh menjanjikan gaji yang besar.
Apabila suami isteri sentiasa mendahulukan Allah, sentiasa mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya, maka rumah tangganya akan sentiasa dipelihara oleh Allah dan sentiasa dalam kebaikan dan keberkatan.
3. Sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.
Keluarga muslim hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah pada setiap kesempatan dan berusaha untuk meningkatkan takarub kita kepada Allah dalam suka dan duka. Hal ini boleh kita lakukan dengan sentiasa memperbanyakkan amalan sunat, amal kebaikan yang lain tentunya tidak boleh kita sia-siakan.
Kita boleh memperbanyakkan membaca al-Quran dan tadarus al-Quran bersama keluarga. Momen ini juga boleh kita manfaatkan untuk belajar Islam bersama dengan mentadaburi ayat-ayat al-Quran dengan ayah atau ibu yang mengetuai pengajian ini secara bergilir-gilir.
Selain itu, setiap ahli keluarga boleh bersaing melakukan amalan-amalan sunat yang lain seperti bersedekah, banyak berzikir, solat dhuha, solat hajat atau solat tahajjud. Ayah dan ibu mempunyai tugas utama untuk memotivasikan ahli keluarga untuk melaksanakan amal kebaikan ini. Lebih-lebih lagi ketika tahajjud, ibu boleh mengejutkan ayah, lalu kedua-duanya membangunkan anak-anak untuk melakukan solat tahajjud bersama-sama.
Dengan memperbanyak amalan sunat maka keluarga kita akan sentiasa dekat dengan Allah. Ini akan memupuk cinta kita kepada Allah SWT, selain itu kita akan dipelihara oleh Allah daripada perbuatan-m yang tidak disukai oleh Allah SWT.
4. Melibatkan Allah dalam suka dan duka.
Keluarga yang berpegang pada syariat Islam, sebenarnya akan dapat menciptakan ketenangan, ketenteraman, keadilan dan rasa aman. Suami isteri hidup berdampingan, saling menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain dan menjalankan bahtera keluarga seperti dua orang sahabat sejati yang sentiasa berkongsi suka dan duka.
Hanya saja, apabila ada masalah menghampiri keluarga, kadang kala membuatkan segalanya menjadi sempit. Namun, jika diingat tujuan awal perkahwinan adalah untuk mencapai redha Allah SWT, maka sikap yang diambil adalah ikhlas, bersabar, dan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan. Ikhlas bahawa musibah ini datang dari Allah merupakan langkah pertama menghadapi permasalahan, kemudian diiringi tawakal dan sabar sehingga dapat mencari jalan keluar terbaik dengan fikiran jernih. Sebagaimana firman Allah SWT,
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Tidak ada suatu pun musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ At-Taghabun(64): 11]
Akan tetapi, kita juga mesti melibatkan Allah ketika dianugerahi kenikmatan oleh Allah SWT. Keluarga muslim hendaklah sentiasa bersyukur kerana dilapangkan rezeki, sentiasa sihat, dikurniakn anak-anak soleh dan solehah, sentiasa perbanyakkan hafazan dan sebagainya. Dengan banyak bersyukur maka kita akan semakin mendekat kepada Allah.
5. Sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan keluarga kita.
Apabila setiap pasangan sentiasa saling mendoakan, lisannya memohon kepada Allah SWT, maka Allah SWT akan menjanjikan dan mengabulkan doa-doa yang dipanjatkan. Sebagaimana hadis Rasulullah, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” (HR Tirmidzi)
Dari hadis ini, kita dapat memahami bahawa dalam Islam, doa seorang isteri menjadi salah satu doa yang paling mustajab atau segera dimakbulkan. Kita hendaklah menghiasi lisan kita dengan doa-doa agar keluarga kita sentiasa harmoni, diberkati, dilimpahi sakinah, penuh kasih sayang dan rahmat.
Doa yang dianjurkan untuk dibaca dalam setiap kesempatan adalah,
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
“Ya Rabb kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Al-Furqan(25): 74]
Kepada siapa lagi kita hendak meminta kecuali hanya kepada Allah. Suami dan anak-anak kita sesungguhnya adalah milik Allah, Allahlah yang menggenggam hati suami dan anak-anak kita. Dia juga yang Maha Kuasa untuk mengubah dan memperbaiki mereka walaupun sudah tentu kita terus berusaha. Hanya kepada Allah kita memohon dan meminta pertolongan.
Demikianlah, betapa indahnya saling mencintai kerana Allah, cinta yang tidak akan pernah luntur ditelan waktu, cinta yang akan sentiasa membawa ketenangan dan keberkatan. Untuk itu, setiap keluarga muslim hendaklah sentiasa berusaha menjaga dan memelihara cintanya kerana Allah agar keluarga kita tetap sentiasa terpelihara dalam kebaikan. Aamiin yaa Mujiib as-saailiin. Wallahualam bissawab
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/08/10/9854/