HUKUM MENGHADIRI WALIMAH TANPA DIUNDANG
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Ustaz, bolehkah seseorang datang ke walimah tanpa diundang?
Jawapan :
Haram hukumnya seorang muslim datang ke walimah seperti walimah nikah (walîmatul ‘urs) atau walimah-walimah lainnya seperti walîmatul khitân, walîmatus safar, dan berbagai hajatan lainnya yang pada pokoknya termasuk dalam undangan makan-makan (walîmah) jika dia tidak diundang. Hal ini kerana orang yang datang tanpa undangan itu telah memakan makanan milik pihak pengundang tanpa izinnya. Kecuali jika pihak pengundang itu redha dan mengizinkan, maka hukumnya tidak mengapa.
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami dalam kitab Tuhfatul Muhtâj fi Syarh al-Minhâj berkata :
وَعُلِمَ مِمَّا تَقَرَّرَ أَنَّهُ يَحْرُمُ اَلْتَّطَفُّلُ وَهُوَ الدُّخولُ إِلَى مَحَلِّ الغَيْرِ لِتَنَاوُلِ طَعامِهِ بِغَيْرِ إِذْنِهِ وَلَا عُلِمَ رِضَاه أَوْ ظَنُّهُ بِقَرينَةٍ مُعْتَبَرَةٍ بَلْ يُفَسَّقُ بِهَذَا إِنْ تَكَرَّرَ مِنْهُ
“Telah diketahui dari pengetahuan yang sudah tetap, bahawa haram hukumnya melakukan at-tathofful (menyusup), iaitu masuk ke tempat orang lain untuk memakan makanan yang ada di tempat itu tanpa izin pemiliknya dalam keadaan tak diketahui keredhaan pemiliknya atau tak diketahui dugaan (agakan/jangkaan) keredhaan dia berdasarkan petunjuk (qarînah) yang diakui. Bahkan penyusup itu difasikkan dengan perbuatan itu jika dia melakukan perbuatan ini secara berulang-ulang.” (Ibnu Hajar Al-Haitami, Tuhfatul Muhtâj fî Syarh al-Minhâj, Juz 9, hlm. 472).
Perbuatan mendatangi undangan walimah tanpa diundang dalam Bahasa Arab disebut dengan istilah at-tathafful (اَلْتَّطَفُّلُ) yang secara bahasa bermakna “penyusupan”, dan orangnya disebut ath-thufaili (اَلطُّفَيْلِيّ) atau “penyusup” atau “penceroboh” (Inggeris : intruder) dinisbatkan (dikaitkan) dengan orang yang bernama Ath-Thufail bin Bani Abdullah bin Al-Ghathafân, orang dari kota Kufah (Iraq) yang sering datang untuk makan-makan di suatu walimah padahal dia tidak diundang. (Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bârî Syarah Shahîh Al-Bukhârî, Juz 9, hlm. 470; Rawwâs Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat Al-Fuqohâ`, hlm. 262).
Keharaman mendatangi undangan walimah tanpa undangan ini didasarkan pada beberapa hadis Nabi SAW. Dalam kitab Sunan Abu Dawud, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda :
مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ ، فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسولَهُ ، وَمَن دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ ، دَخَلَ سَارِقًا ، وَخَرَجَ مُغِيْرًا
“Barangsiapa yang diundang (untuk menghadiri walimah) namun dia tidak datang, maka sungguh dia telah derhaka (tidak taat) kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang masuk (ke suatu walimah) tanpa undangan, sungguh dia telah masuk sebagai pencuri, dan keluar sebagai perampas.” (HR Abu Dawud, no. 3741).
Namun hadis ini dinilai lemah (dhaif) oleh para ulama kerana dalam sanad hadis ini terdapat seorang periwayat hadis yang bernama Abbân bin Thâriq, yang dinilai sebagai periwayat hadis yang tidak diketahui identitinya (syaikh majhûl). (Imam Syaukani, Nailul Authâr, hlm. 1296).
Namun walaupun hadis tersebut lemah, makna yang terkandung dalam hadis ini, iaitu adanya “larangan mendatangi walimah tanpa undangan”merupakan makna yang sahih yang dapat disandarkan pada hadis-hadis lain yang sahih.
Dalam Shahih Al-Bukhâri terdapat hadis dari Abu Mas’ûd Al-Anshâri RA berikut ini :
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ كَانَ مِنْ الْأَنْصَارِ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو شُعَيْبٍ وَكَانَ لَهُ غُلَامٌ لَحَّامٌ فَقَالَ اصْنَعْ لِي طَعَامًا أَدْعُو رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَامِسَ خَمْسَةٍ فَدَعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَامِسَ خَمْسَةٍ فَتَبِعَهُمْ رَجُلٌ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّكَ دَعَوْتَنَا خَامِسَ خَمْسَةٍ وَهَذَا رَجُلٌ قَدْ تَبِعَنَا فَإِنْ شِئْتَ أَذِنْتَ لَهُ وَإِنْ شِئْتَ تَرَكْتَهُ قَالَ بَلْ أَذِنْتُ لَهُ
Dari Abu Mas’ûd Al-Anshâri RA, dia berkata,”Ada seorang lelaki yang bernama Abu Syu’aib dari kalangan Ansar, dia mempunyai seorang budak yang pandai memasak daging, lalu dia berkata kepada budaknya,’Buatlah makanan, aku ingin mengundang Rasulullah SAW dengan menyiapkan lima bahagian.’ Dia lalu mengundang Rasulullah SAW dengan menyiapkan lima bahagian tersebut. Lalu ada seorang lelaki yang mengikuti Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun bersabda,’Engkau mengundang kami dengan lima bahagian, padahal ini ada seorang lelaki (lain) yang ingin ikut bersama saya. Sekarang terserah kamu, kamu memberi izin kepada dia atau tidak.’ Abu Syu’aib menjawab,’Aku memberinya izin.’ (HR Bukhari, no. 5014).
Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menjelaskan hadis tersebut dengan berkata :
وَأَنَّ مَنْ تَطَفُّلَ فِي الدَّعْوَةِ كَانَ لِصَاحِبِ الدَّعْوَةِ الِاخْتيارُ فِي حِرْمانِهِ فَإِنْ دَخَلَ بِغَيْرِ إِذْنِهِ كَانَ لَهُ إِخْراجُهُ
“(Dalam hadis ini terdapat dalil) bahawa barangsiapa yang menyusup dalam suatu undangan walimah, maka pihak pengundang berhak memilih untuk mencegah penyusup itu. Jika penyusup itu kemudian masuk tanpa izin pihak pengundang, maka pihak pengundang berhak mengusirnya.” (Imam Ibnu Hajar Al-‘Asqalani, Fathul Bârî Syarah Shahîh Al-Bukhârî, Juz 9, hlm. 470).
Berdasarkan penjelasan dalil-dalil tersebut, jelaslah bahawa haram hukumnya seseorang masuk ke tempat walimah untuk memakan makanan tanpa izin pihak pengundang. Kecuali pengundangnya kemudian redha berdasarkan petunjuk-petunjuk (qarînah) yang ada. Misalnya pengundangnya mengetahui kehadiran penyusup itu dan diam saja tanpa menunjukkan kemarahan kerana yang datang itu ternyata saudaranya, atau sahabatnya. Atau pihak pengundang hanya tersenyum, atau dengan jelas pengundang berkata kepada orang itu,”Silakan, silakan,” dan sebagainya yang intinya menjadi petunjuk (qarînah) yang menunjukkan keredhaan pengundang. Wallâhu a’lam.
KH M. Shiddiq Al-Jawi
28 Ogos 2022
#fikih #fikihnikah #walimah