MAMPUKAH MONARKI BERTAHAN?
Kematian #Queen_Elizabeth_II telah menyaksikan #UK berada dalam tempoh berkabung secara kolektif. Liputan menyeluruh tentang pengebumian dan pemerintahan ratu selama tujuh dekad sedang `dibom’ bertalu-talu kepada rakyat. Terdapat juga limpahan emosi dan ucapan takziah bertali arus dari seluruh dunia. Hal demikian, memandangkan ramai yang melihat Ratu Elizabeth II konsisten sebagai tokoh dalam politik UK. Kerabat Diraja Windsor hari ini merupakan kerabat diraja yang paling lama berkhidmat dan Ratu Elizabeth II merupakan raja yang paling lama bertakhta. Pemerintahannya menjangkau 15 perdana menteri, bermula dengan Winston Churchill dan berakhir dengan Liz Truss, yang dilantik oleh Elizabeth sebagai perdana menteri pada 6 September. Apabila era Elizabeth berakhir, era Raja Charles III bermula; bermakna cabaran terbesar bagi keluarga di raja, – selain daripada banyaknya hal-hal kebiasaan yang memalukan, – bukan sekadar tentang memelihara kesahihannya (monarki), tetapi bagaimana institusi zaman pertengahan kuno ini tetap relevan di dunia moden.
Ratu Elizabeth telah menerima banyak pujian atas komitmennya terhadap tugas dan menjadi ciri kebiasaan kehidupan politik British. Beliau juga nampaknya menjadi seseorang yang memberikan kestabilan apabila berlaku ketidakstabilan atau kegoncangan dalam kehidupan politik British. Namun, apakah tugas Keluarga Diraja?
Bagi sesetengah orang, tugas Keluarga Diraja adalah untuk menyokong sistem yang tidak adil demi mengalihkan perhatian rakyat dari keadaan sebenar kehidupan mereka melalui acara-acara dan ritual. Bagi yang lain pula, monarki adalah simbol bahawa British boleh menyatukan semua di sekelilingnya, serta berperanan memberikan kestabilan dan menjadi panduan kepada kerajaan. Namun bagi sesetengah yang lain, monarki moden adalah satu bentuk kuasa lembut (soft power), yang menawarkan imej negara yang menarik kepada dunia serta menarik minat orang asing, untuk berkunjung sebagai pelancong. Ahli-ahli baru keluarga diraja seperti Kate Middleton dan Meghan Markle (yang merupakan Duchess of Sussex sehinggalah dia melepaskan gelaran dirajanya), telah dilihat oleh banyak orang sebagai kemenangan kuasa lembut untuk Britain. Tugas monarki British bukanlah sebagaimana sejarahnya beratus-ratus tahun terdahulu. Keluarga diraja British telah berjaya bertahan di rantau dan era di mana keistimewaan keturunan adalah perkara masa lalu.
Sejarah Eropah zaman pertengahan terdiri daripada raja-raja yang menguasai sebahagian besar benua dalam persekongkolannya dengan Gereja Kristian selepas kejatuhan Empayar Rom pada abad ke-5. Berikutan serangan dan penempatan Viking pada abad ke-9, Kerajaan Anglo-Saxon Wessex muncul sebagai kerajaan Inggeris yang dominan. `Alfred the Great’ atau Alfred yang Agung telah mendapatkan Wessex, seterusnya mendominasi penguasaan ke atas Mercia barat dan menyandang gelaran ‘Raja Inggeris.’ Cucunya adalah raja pertama yang memerintah sebuah kerajaan kesatuan yang hampir sama dengan perbatasan England sekarang. Raja-raja Anglo-Saxon ini memeluk agama Kristian dan Ketua Biskop Canterbury akan mengumumkan seorang raja dengan minyak suci, mengangkat raja ke atas orang lain. Bermula pada saat itu sehingga ke pertengahan abad ke-17, Raja-raja British menjadi pemerintah tertinggi. Menjelang akhir abad ke-18, pengabaian monarki British di Amerika dan revolusi berdarah di Perancis pada tahun 1789 telah memberikan nama buruk kepada para monarki. Demokrasi, pemerintahan melalui perwakilan dan negara-negara bangsa semuanya marah. Dunia berubah dan monarki dilihat sebagai perkara masa lalu yang kejam. Pada awal abad ke-20 kebanyakan monarki dan dinasti utama di dunia telah digulingkan. Qajar di Iran, Qing di China, Habsburgs di Austria dan Hohenzollerns di Jerman semuanya berakhir. Monarki British sebaliknya menyesuaikan diri dan membina semula citra diri mereka sendiri. Ratu Victoria berasal dari Keluarga diRaja Jerman, Saxe-Coburg dan Gotha. Manakala anak sulungnya, Raja Edward VII, mengambil nama kediaman musim panas keluarga mereka di pinggir bandar barat London – Windsor, pada tahun 1917, disebabkan sentimen anti-Jerman semasa Perang Dunia I.
Kemerosotan Britain sebagai kuasa global selepas Perang Dunia ke-2 telah memberikan Keluarga Diraja alasan baharu untuk kesinambungannya. Pegawai-pegawai British telah menggunakan upacara pertabalan gilang gemilang di sekitar Keluarga Diraja sebagai cara untuk memasarkan Britain di seluruh dunia dan secara teori Ratu adalah ketua negara kepada beberapa negara dan wilayah. Keluarga Diraja muncul untuk membentuk kuasa lembut British dalam era di mana kuasa keras Britain semakin merosot. Peranan Raja-Raja memerlukan perjalanan tetap ke Komanwel dan seterusnya memberi pingat, gelaran Empayar British dan menghadiri upacara serta acara sukan sebagai simbol kuasa British. Tatkala pasca Perang Dunia ke-2 memperlihat era kelompok yang dikaitkan dengan simbolisme kebangsaan diraja, namun ternyata ia telah diatasi oleh generasi baru yang melihat monarki sebagai institusi zaman pertengahan.
Kerajaan British berturut-turut telah menggunakan Keluarga Diraja sebagai simbol negara, meskipun pendapat umum semakin berkembang untuk menghapuskan monarki. Ini kerana monarki bertentangan dengan banyak aspek kehidupan moden. Monarki disebabkan kelahiran (melaui kekerabatan dan keturunan) memiliki kedudukan istimewa di negara ini, kerana mereka tidak pernah dipilih. Walaupun ramai yang melihat keluarga diraja sebagai sumber kebanggaan, namun skandal demi skandal telah menjejaskan reputasi mereka.
Perceraian, skandal, penghindaran cukai, pelepasan tugas-tugas diraja oleh Meghan Markle dan Putera Harry, dan tuduhan serangan seksual serta rogol terhadap Putera Andrew: semuanya telah merosakkan reputasi Keluarga Diraja dengan serius. Walaupun sokongan orang ramai terhadap Ratu Elizabeth mencecah 60%, namun dukungan untuk raja-raja lain adalah rendah dan menurun. Hal ini sekaligus meletakkan keluarga Windsor dalam kedudukan yang tidak menentu dengan pemergian Ratu Elizabeth II.
Ratu Elizabeth telah berjaya memastikan agar monarki relevan kerana dia menyesuaikan dirinya dan menetapkan peranan terhadap setiap ahli diraja. Manakala monarki lain pula sama ada dimansuhkan atau digulingkan dengan dahsyat. Ahli politik Britain serta kelompok kelas pemerintah Britain turut melihat Keluarga Diraja melalui lensa ekonomi dan kuasa lembut yang membawa kredibiliti dan pelancong ke UK. Ratu Elizabeth juga berjaya meneruskan tradisi zaman pertengahan yang membawa imej kebanggaan, perpaduan dan identiti kebangsaan untuk UK. Namun, dengan pemergian sang Ratu, dan Raja Charles pula mengambil peranan kedaulatan, nampaknya monarki British menghadapi tugas besar untuk memastikan institusi zaman pertengahan dan warisan ini kekal relevan.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Adnan Khan