[Fikrul Islam] Tentang Tujuh Huruf (al-Huruf as-Sab’ah)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Tujuh huruf (al-huruf as-sab’ah) berbeza dengan qiraah tujuh (al-qira`at as-sab’ah). Rasulullah saw bersabda,
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ أَنْزَلَ عَلَى سَبْعَةٍ أَحْرَفَ، فَاقْرَؤُوْا تَيَسَّرُ مِنْهُ
“Sesungguhnya al-Quran ini diturunkan dalam tujuh huruf, maka bacalah apa yang kalian anggap mudah.” (Sahih Al-Bukhari, VI/185)
Tujuh huruf (al-huruf al-sab’ah) berasal dari perbezaan suku (kabilah) dari segi fat-hah dan imalah (huruf miring (e), pen.). Contohnya kalimat wa hal ataaka hadiitsu muusaa (Surah Thaha [20]: 9). Ada yang membaca dengan meng-imaalah-kan alif dalam kata ataaka hingga menjadi ateka. Juga peng-imaalah-an kata muusaa sehingga menjadi muuse.
Munculnya tujuh huruf ini juga disebabkan perbezaan dalam melafazkan huruf hamzah, sama ada meringankannya (tashiil) sehingga al mu-min dibaca al muumin tanpa adanya hamzah. Juga disebabkan perbezaan dari segi pen-tafkhiim-an (tebal), pen-tarqiiq– an (tipis), dan peng-isymaam-an (penyengau-an, ‘au’) pada sebahagian huruf.
Perbezaan tersebut (tujuh huruf) disebabkan oleh perbezaan lahjaat (dialek) pada setiap suku yang berada di Arab dan perbezaan mereka dalam gaya bertutur. Akan tetapi, semua dialek orang Arab tersebut semuanya dikumpulkan dalam bahasa Quraisy yang mana al-Quran diturunkan dengan bahasa tersebut (Quraisy). Kodifikasi al-Quran (rasm al-Quran), yakni khathth al-Quran telah menampung setiap lahjaat ini.
Contohnya, kata ataaka (اتاك) pada ayat disebut sebelumnya, di dalam al-Quran (mushaf ‘Uthmani) ditulis (اتك). Penulisan sebegini telah mencakup qiraat al-imaalah atau qiraat al-fath.
Tujuh huruf ini hadir dengan lahjaat (dialek) yang pelbagai; dan juga hadir dalam bentuk rasm (bentuk penulisan) al-Quran yang berbeza-beza. Semua itu bertujuan untuk meringankan dan memudahkan umat Islam. Hikmah seperti ini disebutkan dengan jelas dalam hadis, “…maka bacalah apa yang paling mudah darinya”, iaitu apa yang mudah di antara tujuh huruf tersebut (tujuh dialek Arab) menurut lisan kalian, iaitu dialek dari tujuh suku yang ada.
Menurut sumber yang ada, tujuh huruf tersebut adalah dialek dari kabilah Quraisy, Hudzail, Tamiim, Azad, Rabii’ah, Sa’ad bin Abi Bakar, Kinanah dan Qabas. [MNews/Rgl]
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam
#FikrulIslam
#TujuhHuruf
#Dialek
#alQuran