[Nafsiyah] Wanita dalam Aktiviti Dakwah
Kita wajib mensyukuri atas kenikmatan beribadah dan dalam ketaatan yang datangnya dari Allah Taala. Itulah bentuk cinta Allah kepada hamba-Nya dengan memberi kenikmatan dalam beribadah dan ketaatan. Salah satu kenikmatan beribadah ialah dengan melakukan aktiviti dakwah (menyeru kepada yang hak dan melarang dari yang mungkar).
Institusi sebuah keluarga Muslim akan menjadi hebat jika rumah tangga yang dibina diisi oleh para wanita solehah yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Wanita solehah merupakan salah satu tunjang utama kepada kemenangan Islam. Islam sangat memerlukan wanita yang solehah.
Islam memerlukan wanita solehah yang bersedia berjuang untuk melahirkan generasi pejuang Islam yang hebat. Sentiasa bersedia untuk melakukan aktiviti dakwah di samping melaksanakan kewajipan sebagai seorang isteri dan ibu. Kerana itulah, Allah menetapkan banyak peraturan kepada wanita bagi membentuk akhlak seorang wanita yang solehah dan bersedia menyokong dakwah.
Saudariku, perlu diketahui bahawa rahim wanita solehah yang bersih akan melahirkan generasi yang hebat untuk Islam.
Firman Allah SWT “Dan tanah yang baik, tanam-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah dan tanah yang tidak subur, tanam-tanamannnya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang yang bersyukur.” [TMQ al-A’raf (7): 58]
Kita mengetahui bahawa orang yang pertama menjawab dakwah Rasulullah ﷺ salah seorang wanita, iaitu Saidatina Khadijah ra..Beliau membantu dakwah Rasulullah dengan mengorbankan harta yang dimilikinya. Selain Saidatina Khadijah ra., ialah Saidatina Aisyah ra. yang berperanan menjadi tempat untuk bertanyakan berbagai persoalan keislaman pada saat Rasul masih hidup mahupun setelah wafat.
Ini terbukti bahawa kehadiran wanita solehah dalam aktiviti dakwah sangat penting. Masalah yang berkaitan dakwah kepada wanita, sudah tentu wanita lebih mudah dan fleksibel dalam melaksanakan dakwah kepada sesama wanita. Lebih-lebih lagi, Islam menjadikan ibu sebagai madrasah pertama untuk anak-anak mereka.
Wanita yang solehah bukan kerana suaminya yang soleh, tetapi wanita solehah ialah akhlak yang ada dalam diri setiap wanita Muslim. Kerana itulah, penting bagi seorang wanita untuk menuntut ilmu. Seorang wanita sentiasa belajar, mengajar dan berdakwah kepada Allah dengan segala cara yang sesuai seiring seorang wanita.
Wanita solehah hanya berharap balasan dari Allah Taala. Ia adalah da’iayah di rumahnya sekaligus bertanggungjawab untuk menyebarkan ajaran Islam di luar rumah kepada sesama wanita. Objek dakwah wanita merangkumi pelajar, ustazah dan para ibu.
Seorang wanita yang berdakwah menyedari firman Allah SWT, “Katakanlah (Muhammad), ‘Ini jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik,” [TMQ Yusuf (12): 108]
Ada beberapa perkara yang dilakukan seorang wanita ketika melakukan aktiviti dakwah:
Pertama, berusaha memahami setiap masalah dan mengambil inisiatif dengan pantas. Seorang da’iyah hendaklah mempunyai rancangan, tidak mudah emosi, mengetahui langkah serta peluang. Da’iyah juga melengkapkan diri dengan ilmu retorik dalam menyampaikan dakwah. Bersikap rasional, tidak mengutamakan perasaan apabila melihat potensi positif dan negatif ketika dalam dakwah.
Kedua, boleh menjadi tauladan. Seorang wanita solehah akan istiqamah memakai pakaian muslimah yang syarie sebagai bentuk iffah (memelihara kesucian diri), memelihara diri dari lelaki asing (bukan mahram), dan menjauhi segala bentuk ikhtilat (pergaulan).
Saudariku, begitu besar peranan seorang wanita dalam aktiviti dakwah. Oleh kerana itu, jangan sia-siakan potensi yang Allah kurniakan kepada wanita, iaitu memiliki lebih banyak perkataan daripada lelaki. Dengan kata lain, seorang wanita boleh menyampaikan 20 ribu patah perkataan sehari berbanding lelaki yang hanya boleh menyampaikan 7000 perkataan sahaja. Semoga kemampuan ini menjadi jalan untuk memperoleh pahala dengan melakukan aktiviti dakwah. Wallahualam.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/08/27/10554/