[Nafsiyah] Pengakhiran Hidup Orang yang Zalim
Orang yang zalim akan sentiasa wujud di setiap zaman. Apabila dia berkuasa, dia menjadi pemerintah diktator (berkuasa mutlak). Setiap keputusanya juga zalim kepada rakyat. Namun begitu, Allah SWT menangguhkan azab dan kematian mereka supaya mereka menjadi lebih zalim dan melampaui batas. Kenapa begitu?
Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:
“Dan jangan sesekali orang-orang kafir menyangka bahawa kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya, supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab siksa yang menghinakan (di akhirat kelak).” [TMQ Ali ‘Imran (3) :178]
Allah SWT juga telah memberi ancaman kepada orang-orang yang zalim dengan mendahulukan hukuman mereka di dunia sebelum kembali ke akhirat. Hal ini kerana hinanya ketidakadilan dan banyak kesan buruk kepada masyarakat.
Rasulullah saw. bersabda, “Tidak ada sesuatupun yang aku taat kepada Allah di dalamnya (amalan itu) lebih cepat pahalanya daripada menyambung silaturahim, dan tidak ada yang lebih cepat azabnya daripada melakukan kezaliman dan memutuskan hubungan silaturahim.” (HR Baihaqi)
Maka, pembalasan bagi orang yang zalim iaitu pengakhiran hayatnya amatlah menyakitkan. Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya Allah akan menangguhkan azab orang-orang yang zalim. Jika Allah telah menghukumnya, maka dia tidak akan melepaskannya.” Kemudian Rasulullah membaca ayat yang berbunyi, “Demikianlah azab Tuhanmu apabila ia menimpa penduduk negeri-negeri yang zalim. Sesungguhnya, azab itu sangat sakit dan keras serangannya”. [TMQ Hud (11) : 102]
Catatan sejarah
Sejarah telah mencatatkan bahawa pengakhiran hidup orang yang zalim adalah hina dan menyedihkan. Firaun mati lemas di Laut Merah. Orang-orang yang zalim dari kaum Aad dan Tsamud juga ditimpa azab yang menyakitkan. Kaum Tsamud telah dibinasakan Allah dengan thaagiah (suara yang sangat nyaring), manakala kaum Aad dibinasakan oleh Allah dengan angin ribut yang sangat sejuk dan kuat selama tujuh malam lapan hari.
Begitu juga dengan Namrud yang mati mengerikan kerana serangan seekor nyamuk. Abu Jahal meninggal dunia dengan keadaan menyedihkan di Badar. Ataturk mati reput membusuk di atas katil. Kekuasaan mereka tidak kekal, manakala kesan kezaliman mereka adalah kekal yang memberi kesan kepada mereka sendiri: mendapatkan dosa jariah atau dosa yang berterusan.
Imam al-Ghazali menulis dalam kitabnya, Ihya ‘Ulumuddin, 2/74, “Sungguh beruntung orang yang jika mati maka, mati juga dosanya. Dan celakalah seseorang yang mati dan dosa-dosanyanya terus mengalir seratus tahun, dua ratus tahun atau lebih, dia disiksa dan dikuburkan kerana dosa yang mengalir dan diminta untuk dipertanggungjawabkan tentangnya sehingga berakhirnya dosa tersebut.”
Ingatlah wahai orang-orang yang zalim. Sesungguhnya, jika anda berkuasa, kuasa anda tidak akan kekal selama-lamanya, ia akan berakhir dengan kesudahan yang menyedihkan.
Segeralah bertaubat jika Allah masih memberi peluang untuk hidup, belum memisahkan nyawa dari jasad. Sesungguhnya tempat yang kekal abadi bagi manusia hanyalah dua, syurga dan neraka. Ingin kemanakah kita akan kembali dan memilih?
Sumber:
#Nafsiyah #OrangZalim #pemimpin