[Fikrul Islam] Memahami Realiti
Penulis: Ahmad Mahmud
Metod Islam terkait masalah ini dilakukan dengan memahami masalah yang terjadi secara mendalam, kemudian mengambil, memahami, sekaligus mempelajari dalil-dalil syariat yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini. Setelah itu, baru dilakukan proses penggalian (istinbat) hukumnya.
Keberadaan jemaah atau parti dakwah yang berjaya untuk melakukan perubahan masyarakat sangat berkaitan dengan realiti tempatnya berada. Realiti yang dihadapi oleh jemaah atau parti dakwah ini memerlukan diri mereka mengadopsi sejumlah hukum syariat yang relevan dengan usaha perubahan masyarakat.
Untuk memahami realiti ini jelas diperlukan adanya penelitian yang mendalam. Demikian pula untuk memahami syariat; diperlukan adanya penetapan sumber-sumber dalil-dalil syariat serta kaedah-kaedah ushulnya, iaitu rambu-rambu yang digunakan untuk melakukan proses ijtihad atau penggalian istinbat hukum. Proses ijtihad memerlukan adanya mujtahid yang memiliki kapasiti keilmuan yang memadai, yakni yang memiliki kemampuan untuk menerapkan hukum-hukum syariat pada realitinya dan memproses hukum-hukum syariat dari illat-nya.
Dengan demikian, berdirinya jemaah atau parti dakwah mana pun bergantung pada realiti tempatnya lahir. Realiti inilah yang ingin ia ubah sehingga ia menempatkannya sebagai objek pemikiran dan perubahan (mawdhu’ at-tafkir wa at-taghyir). Atas dasar ini, jemaah atau parti dakwah mestilah mempelajari realiti secara mendalam dan cermat serta menentukan permasalahan yang wajib untuk dijadikan solusi baginya.
Permasalahan yang dihadapi jemaah atau parti dakwah sangat banyak sehingga perlu adanya usaha pengisihan: apakah permasalahan itu lahir (derivatif) dari permasalahan lain ataukah permasalahan itu sebaliknya menjadi induk yang melahirkan banyak permasalahan lainnya.
Usaha pemilihan ini dapat dilakukan dengan cara membezakan antara substansi masalah dengan gejala lahiriahnya atau antara penyakit yang sebenarnya dengan gejala yang tampak. Dengan cara ini dapat diketahui penyakit yang sebenarnya dan apa yang hanya merupakan gejala. Setelah penyakit tersebut berjaya didiagnosis, barulah dicarikan ubat atau penawar yang sesuai dengan penyakit itu.
Dari sini jelas bahawa seorang doktor pakar tidak boleh tertipu oleh gejala-gejala lahiriah ketika melakukan diagnosis terhadap suatu penyakit. Jika, misalnya, seseorang menderita sakit di dalam perutnya sehingga mengakibatkan adanya alahan (alergik) pada dirinya, lantas alahan itu mengakibatkan kecederaan pada kulit dan naiknya suhu badan, sedangkan doktor pemeriksa hanya merawat dua gejala itu saja iaitu kecederaan kulit dan suhu panas dengan memberikan ubat yang sesuai, namun tidak merawat sakit perutnya, maka rawatan seumpama ini jelas tidak cukup dan tidak akan berjaya.
Oleh kerana itu, yang pertama kali perlu dilakukan oleh doktor tersebut semestinya merawat masalah sakit perut pesakitnya. Dengan demikian, pesakit akan dapat dirawat dan gejala-gejala yang mengiringi penyakitnya akan hilang dengan sendirinya.
Dari sinilah, seorang doktor yang ahli akan dapat memastikan apakah gejala-gejala suatu penyakit itu akan hilang dengan rawatan berupa ubat atau tanpanya. Ini kerana, sejumlah gejala suatu penyakit kadang-kadang akan hilang dengan sendirinya setelah penyakit dirawat, dan kadang-kadang meninggalkan penyakit yang memang perlu dirawat. Akan tetapi, rawatan terhadap gejala suatu penyakit tetap bersifat sebahagian, tidak akan dapat menyembuhkan penyakit secara keseluruhan.
Demikian juga halnya dengan realiti tempat kita hidup sekarang ini. Kita mengetahui bahawa ada masalah utama yang mengakibatkan lahirnya sejumlah masalah keturunan (berlarutan).
Di antara masalah utama yang menimpa umat Islam sekarang ini adalah jauhnya hukum-hukum Allah dari kehidupan mereka. Masalah ini telah melahirkan banyak masalah cabang lain, seperti kemiskinan yang diakibatkan oleh kerosakan sistem, kebodohan, kebejatan moral, merajalelanya berbagai interaksi sosial, ekonomi, politik budaya yang rosak atau memusnahkan, dan lain-lain. Dalam konteks inilah, Allah Swt. berfirman untuk menjelaskan sebab utamanya,
وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُۥ يَوْمَ ٱلْقِيَٰمَةِ أَعْمَىٰ
“Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (TMQ Taha: 124)
Semua masalah cabang ini muncul kerana adanya masalah utama. Oleh kerana itu, solusi atas sejumlah masalah cabang ini dilakukan dengan cara melaksanakan perubahan mendasar dan berlanjutan terhadap masalah utamanya, selagi belum ada usaha-usaha untuk meneruskan kehidupan Islam.
Akidah inilah yang mengarahkan seluruh aktiviti seorang muslim dalam kehidupannya sesuai dengan perintah dan larangan Allah. Akidah ini pula yang mendorong seorang muslim untuk selalu berusaha menegakkan pemerintahan yang berdasarkan hukum Allah. Selagi pekara ini belum dapat direalisasikan, maka segala sisa-sisa penerapan hukum selain hukum Allah tidak akan mungkin dihapuskan.
Jadi, masalah utama umat Islam saat ini bukanlah masalah pendidikan, dan bukan pula masalah moral atau akhlak atau ekonomi. Topik utama yang perlu dibahas juga bukan bagaimana menyelamatkan hak-hak kaum muslim atau meningkatkan taraf ekonomi sosial, dan militer mereka. Topik utamanya adalah masalah “hakimiyah” dalam dua aspeknya iaitu akidah dan amaliah, sementara “hakimiyah” sendiri hanya untuk Allah semata.
Secara faktanya, umat Islam wajib untuk mengembalikan kepercayaan (tsiqah) mereka pada hukum-hukum Islam. Caranya adalah dengan mengembalikan kepedulian mereka untuk menciptakan sistem yang lahir dari akidah ini dalam kehidupan mereka yang hilang selama ini dari akidah yang terdapat dalam jiwa-jiwa mereka, juga dengan mengembalikan semangat untuk memperoleh syurga dan kerinduan terhadapnya, perasaan takut terhadap neraka jahanam dan usaha menjauhinya, serta perhatian pada permasalahan umat Islam dan manusia seluruhnya sesuai dengan pancaran akidah Islam.
Dengan kesedaran semacam ini, sebuah jemaah atau parti dakwah dapat menentukan penyakit masyarakat yang sebenarnya dan mengetahui dengan pasti bahawa jika penyakit ini telah dirawat, akan hilang pula segala gejala yang ditimbulkannya.
Jelas, betapa pentingnya pemahaman terhadap realiti. Hal inilah yang disebut oleh para ulama ushul sebagai manath (objek hukum). Oleh kerana itu, hendaklah ada usaha untuk menghuraikan fakta (tahqiq al-manath) sebelum dimulakan pengumpulan dalil-dalil syariat.
Memahami sekaligus mendalami realiti yang terjadi acap kali lebih sukar daripada memahami hukum-hukum yang berkaitan dengan realiti tersebut. Memahami realiti memerlukan ketelitian dan kecermatan. Jika kita salah dalam memahami realiti, sedangkan pemahaman itu demikian kita yakini, kemudian kita mencari dalil-dali syariat dalam rangka menyelesaikan realiti tersebut, maka kita pasti akan menggunakan dalil-dalil untuk menyelesaikan realiti, yang telah disalahfahami dalam benak kita, tersebut dan bukan realiti yang sebenarnya. Akibatnya, kita telah menggunakan dalil-dalil tidak pada tempatnya.
Memahami dan mendalami realiti memerlukan proses berfikir. Dalam hal ini, kita tidak boleh menjadikan realiti sebagai tolok ukur pemikiran (mashdar al-fikr). Alasannya, realiti tidak sepatutnya melahirkan satu hukum pun kerana ia hanya untuk difahami apa adanya.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam