SEMANGAT PENTING MAULID NABI
Oleh: Ustaz Wahyudi Ibnu Yusuf
Muqaddimah
Peristiwa Maulid Nabi saw. adalah momentum penting bagi umat Islam untuk mengenang lahirnya sosok manusia termulia penerang kehidupan. Penerang langit dan bumi. Pembawa rahmat bagi semesta.
Baginda lahir bertepatan dengan Pasukan Gajah Raja Abrahah yang dipimpin Panglima Abu Rughal saat ingin menghancurkan Kaabah. Namun, pasukan tersebut gagal dan diluluhlantakkan oleh makhluk kecil yang dipandang lemah, burung Ababil yang menghujani mereka dengan batu kecil panas dan pijar. Saat Rasulullah lahir, api yang menyala ratusan tahun, api sesembahan kaum Majusi tiba-tiba padam. Serta berbagai peristiwa lain yang menjadi tanda sinar fajar kehidupan dan kejayaan Islam.
Tentu kenangan kelahiran beliau bukan sekadar nostalgia masa lalu, reunion spiritual. Justeru momentum ini kita jadikan untuk memperkuat ghirah perjuangan, semangat jihad dalam menegakkan kalimat Allah SWT. Dengan kembali mengenang kelahiran Rasulullah, akan terbayang bagaimana jerih-payah perjuangan beliau dengan para sahabat dalam merintis dan menata peradaban Islam.
Bukan Sekadar Merayakan Hari Kelahiran
Mengenang kelahiran Nabi saw. bukanlah merayakan ulang tahun beliau. Mengenang momentum kelahiran beliau adalah upaya memfokuskan kembali mata batin kita pada sosok manusia yang paling berjasa dalam hidup dan peradaban. Tidak lain agar kita menjadikan beliau sebagai satu-satunya model dan uswah terbaik dalam menapaki ragam sisi kehidupan. Sungguh dalam diri Rasulullah terdapat suri teladan dalam berkeluarga, dalam memimpin masyarakat dan negara, juga dalam ragam aspek kehidupan lainnya. Beliau ibarat batu permata yang indah. Dilihat dari sisi mana saja memunculkan cahaya berkilau yang indah. Allah SWT berfirman:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرا
“Sungguh telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian, (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Akhir dan dia banyak menyebut Allah.” [TMQ al-Ahzab (33): 21].
Baginda Nabi saw. adalah manusia yang terbaik akhlaknya. Aisyah ra. menyebut akhlak beliau adalah al-Quran. Aisyah ra. juga berkata, “Rasulullah adalah orang yang paling mulia akhlaknya. Tidak pernah berlaku keji. Tidak mengucapkan kata-kata kotor. Tidak mencetus pergaduhan di pasar. Tidak pernah membalas dengan keburukan/kejahatan yang sama. Akan tetapi, beliau pemaaf dan pengampun.” (HR Ahmad).
Sosok manusia termulia ini secara jujur juga diakui oleh dunia Barat. Dr. Michael H. Hart, penulis buku The 100, A Ranking of The Most Influential Person in History, menulis, “Pilihanku untuk menempatkan Muhammad di urutan pertama dalam senarai orang yang paling penting dalam sejarah mungkin akan mengejutkan pembaca. Namun, dialah satu-satunya manusia dalam sejarah yang merangkul kejayaan tertinggi dalam bidang agama dan dunia. Dia adalah satu-satunya yang telah menyelesaikan pesan agama dengan sempurna, menggariskan aturan-aturannya dan diimani oleh seluruh bangsa ketika dia hidup. Selain agama, dia juga mendirikan negara sebagai media menyatukan suku-suku dalam satu bangsa, menyatukan bangsa-bangsa dalam satu negara dan meletakkan dasar-dasar kehidupan agama. Dialah yang memulai misi agama dan dunia serta menyempurnakannya.”
Sir George Bernard Shaw, (26 July 1856 – 2 November 1950), Tokoh Ireland, Pengasas London School of Economics, juga berkomentar, “Saya yakin, apabila orang seperti Muhammad memegang kekuasaan tunggal di dunia moden ini, dia akan berjaya mengatasi segala permasalahan sedemikian rupa hingga membawa kedamaian dan kebahagiaan yang diperlukan dunia.”
Thomas Carlyle (4 December 1795 – 5 February 1881), penulis besar dari Scotland, juga berkata, “Kebohongan yang dipropagandakan kaum Barat yang diselimutkan kepada orang ini (Muhammad) hanyalah mempermalukan diri kita sendiri. Sosok jiwa besar yang tenang, seorang yang mahu tidak mahu mesti dijunjung tinggi. Dia diciptakan untuk menerangi dunia. Begitulah perintah Sang Pencipta Dunia. (Thomas Carlyle in his Heroes and Heroworship).
Atas persoalan wanita yang sering menjadi sasaran Barat untuk mendiskreditkan Islam, orientalis Perancis justeru mengatakan dengan jujur perlindungan Islam terhadap martabat wanita. Andre Srfait berkata, “Nabi ini tidak berbicara tentang wanita kecuali dalam kebaikan dan kesantunan. Selalu berusaha memperbaiki nasib hidup wanita. Sebelumnya, wanita tidak berhak menerima harta warisan. Bahkan mereka dipandang sebagai benda yang boleh diwariskan. Seolah-olah mereka adalah harta dan hamba. Lalu Nabi mengubah situasi ini dan memberikan wanita hak waris. Muhammad telah membebaskan wanita Arab. Siapa yang ingin menyelidiki perhatian Nabi terhadap wanita, sila baca khutbahnya di Mekah, yang berpesan supaya berbuat baik kepada wanita. Bacalah hadis-hadisnya yang banyak.”
Buktikan Cintamu
Abu Abdillah al Qurasyi dalam Risalah Qusyairiyah hal.479 menyatakan:
حقيقة المحبة أن تهب كلك لمن أحببت فلا يبقى لك منك شيئ
“Hakikat cinta adalah engkau berikan semua yang ada padamu bagi orang yang engkau cintai, tidak tertinggal sedikit pun untukmu.”
Inilah hakikat cinta pada Allah dan Rasulullah. Ia adalah cinta mutlak yang tak layak dibahagi. Cinta selain keduanya adalah cinta kerana keduanya. Cinta ibu bapa, anak, isteri, perniagaan, tempat tinggal dll mesti kerana Allah dan Rasulullah. Mencintainya hukumnya wajib, berdosa jika dilalaikan apatah lagi diabaikan. Allah Taala berfirman:
قُلْ إِنْ كانَ آباؤُكُمْ وَأَبْناؤُكُمْ وَإِخْوانُكُمْ وَأَزْواجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوالٌ اقْتَرَفْتُمُوها وَتِجارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسادَها وَمَساكِنُ تَرْضَوْنَها أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفاسِقِينَ
Katakanlah (Wahai Muhammad), “Jika nenek moyang kamu, anak-anak kamu, saudara Mara kamu, isteri-isteri (atau suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah tempat tinggal yang kamu suka, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya serta (lebih daripada) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab-Nya).” kerana Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.” [TMQ At Taubah (9): 24]
Ada dua qarinah pada ayat ini yang menegaskan wajibnya cinta kepada Allah dan Rasullah di atas yang lainnya. Pertama, lafaz fatarabbashu hatta ya’tiyallahu bi amrihi maknanya adalah
فنتظروا ماذا يحل بكم من عقابه و نكاله بكم
Maka tunggulah hingga Allah halalkan hukuman bagi kalian (Tafsir Ibnu Katsir juz 2 h. 841)
Kecaman kedua adalah Allah sifati orang yang lebih mencintai selain Allah dan Rasulullah dengan sifat fasiq dan Allah tidak akan beri hidayah. Wal ‘iyadzubillah
Cinta adalah fi’lul qalb (amal hati). Ia tidak dapat dilihat secara langsung. Namun cinta dapat dilihat dengan ‘alamat (tanda) dan atsar (jejaknya). Sebagaimana seseorang yang tidak melihat ada unta namun ada jejaknya, menunjukkan ada unta yang baru melalui tempat itu. Kerana itu Qadhi ‘Iyadh menyatakan:
اعلم أن من أحب شيئا آثره و آثره موافقته و إلا لم يكن صادقا في حبه
“Ketahuilah, bahawa siapa yang mengaku cinta terhadap sesuatu (termasuk seseorang) maka ada tandanya. Tanda tersebut bersesuaian dengan kadar cintanya. Jika tidak ada buktinya maka tak benar dakwaan cintanya.
Masih menurut Qadhi ‘Iyadh, bukti paling nyata dan paling awal atas pengakuan cinta pada Rasulullah adalah:
الاقتداء به و استعمال سنته واتباع أقواله و أفعاله و امتثال أوامره واجتناب نواهيه و التأدب بآدابه
“Meneladani beliau, mengamalkan sunnahnya, mengikuti ucapan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya, menjauhi larangannya dan beradab dengan adab beliau. Sebagaimana firman Allah Taala dalam surah Ali ‘Imran ayat 31.” (Al-Syifa bi Ta’rif bi Huquq al-Musthofa juz 2 hal. 16)
Kerananya imam Syafie juga pernah menyatakan:
# لَوْ كانَ حُبُّكَ صَادِقاً لأَطَعْتَهُ # إنَّ الْمُحِبَّ لِمَنْ يُحِبُّ مُطِيعُ
“Jika cintamu benar, tentu engkau akan mentaati Baginda Nabi. Sesungguhnya orang yang mencintai, akan mentaati orang yang dicintainya.”
Saat Imam Ibnu Katsir menafsir firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 31 menyatakan:
هذه الآية الكريمة حاكمة على كل من ادعى محبة الله، وليس هو على الطريقة المحمدية فإنه كاذب في دعواه في نفس الأمر، حتى يتبع الشرع المحمدي والدين النبوي في جميع أقواله وأحواله
“Ayat yang mulia ini menjadi pemutus bagi siapa saja yang mendakwa cinta pada Allah, namun dia tidak mengikuti jalan hidup (thariqah) Nabi saw. Maka sesungguhnya dia adalah pendusta pada dakwaan cintanya pada perkara ini. Hingga dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa Nabi Muhammad dalam seluruh ucapan dan keadaannya.”
Maka jika ada manusia, lebih-lebih pemimpin negara atau penjawat-penjawat awam yang setiap peringatan maulid Nabi saw mengajak untuk mencintai beliau, namun pada masa yang sama mereka menolak penerapan syariat Islam, menuduh para pejuang Islam dengan tuduhan radikal, menuduh ajaran Islam dengan tuduhan yang keji, mensasar dan memenjarakan ulama dan aktivis Islam termasuk keturunan Nabi saw, mengaku cinta dengan Nabi namun menjadikan orang Yahudi dan para musuh Islam sebagai teman dekat dan mengikuti telunjuk mereka, mengaku mencintai Nabi namun berbuat zalim pada umat Nabi Muhammad, menjual aset strategik pada orang asing, sementara rakyat dibebani dengan berbagai macam cukai.
Sesungguhnya mereka telah berdusta dalam dakwaan cintanya pada Rasulullah. Tidakkah mereka takut dengan doa Nabi:
اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ
“Ya Allah, barangsiapa yang menjadi pemimpin atas umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia, dan barangsiapa yang memimpin umatku, lalu mengasihi mereka, maka kasihanilah dia.” (HR. Muslim)
Tiga Peristiwa Penting pada 12 Rabiulawal
Umumnya kaum Muslim mengetahui bahawa tanggal 12 Rabiulawal adalah kelahiran (maulid) Nabi Muhammad saw. Sesungguhnya ada tiga kejadian besar yang penting dicatat dalam konstelasi politik peradaban Islam. Tanggal 12 Rabiul Awwal adalah momentum kelahiran Rasulullah saw., juga wafatnya beliau, dan pembaiatan Abu Bakar As Shiddiq sebagai Khalifah yang Pertama. Fakta sejarah ini penting diungkap untuk menunjukkan perjalanan sejarah peradaban Islam secara utuh.
Rasulullah saw lahir pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah. Bertepatan dengan tahun 570 atau 571 M. Pada tanggal 12 Rabiulawal pula beliau diwafatkan Allah SWT, yakni pada tahun 11 H atau bertepatan dengan tanggal 8 Jun 632 M.
Wafatnya beliau adalah akhir kenabian kerana tidak ada lagi nabi setelah beliau. Peristiwa wafatnya beliau adalah bersamaan dengan proses pengangkatan Khalifah Abu Bakar as-Shiddiq sebagai pengganti beliau dalam kepemimpinan umat Islam. Sistem kepemimpinan umat Islam yang dikenali dengan Khilafah tidak berhenti dengan wafatnya Baginda Rasulullah. Nabi saw. bersabda:
كَانَت بَنُو إسرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبياءُ, كُلَّما هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبيٌّ, وَإنَّهُ لا نَبِيَّ بَعدي, وسَيَكُونُ بَعدي خُلَفَاءُ فَيَكثُرُونَ
“Bani Israil dulu dipimpin oleh para nabi. Saat salah seorang nabi meninggal, ia digantikan oleh nabi berikutnya. Sungguh tidak ada lagi nabi setelah aku. Yang akan ada adalah para Khalifah yang banyak.” (HR Muttafaq alaih).
Pembaiatan Abu Bakar as-Shiddiq sebagai Khalifah pertama kaum Muslim adalah tonggak pertama syariah Islam dipimpin oleh selain Nabi, yakni Khalifah. Risalah kenabian terputus, namun peradaban Islam terus diteruskan menerangi berbagai belahan dunia. Peradaban Islam dalam naungan Khilafah tersebut menyelimuti tidak kurang dari 1/3 belahan bumi. Kegemilangan demi kegemilangan di berbagai sisi kehidupan diraih peradaban Islam dengan satu kepemimpinan, hingga pada Kekhilafahan yang terakhir, Turki Uthmani. Sistem Kekhilafahan tersebut runtuh pada tanggal 3 Mac 1924 oleh pengkhianat Mustafa Kamal yang mengubah sistem Kekhilafahan menjadi sistem sekular.
Dunia kemudian gelap. Kaum Muslim tercerai berai menjadi lebih dari 50 buah negara dan terjajah. Derita secara fizik dan non fizik kian dirasakan manusia penghuni bumi. Kaum Muslim kalah di berbagai bidang kehidupan. Semoga momentum Maulid Rasul kali ini, penting bagi kita untuk kembali menggelorakan semangat kemulian Islam dengan kembali pada syariah dan khilafah. Aamiin.
#maulidnabi #cintanabi #cintarasulullah #cintaIslam #TegakKhilafah #terapislamkaffah