[KOLUM SIYASAH] PRU-15 PEMILIHAN DALAM PERPECAHAN
Akhirnya tarikh yang ditunggu-tunggu telah diumumkan. Rakyat Malaysia akan keluar mengundi sempena Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) pada 19hb November 2022. Sejak mula diumumkan tarikh PRU15, media massa mula sibuk menjalankan tugas untuk meraikan PRU15 dengan menyiarkan pelbagai rancangan dan ruangan untuk mengupas dan membahaskan pendapat tentang PRU15 dan hala tuju politik negara selepas PRU15. Semuanya di dalam usaha untuk membina dan menghangatkan suasana sehingga rakyat akan terpancing untuk menjayakan PRU15 kali ini.
Ada yang mengharapkan PRU15 kali ini dapat mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara serta menyatukan kembali umat Islam tetapi pada hakikatnya, belum pun PRU15 dilaksanakan, kita telah menyaksikan sejarah perpecahan terbesar di kalangan umat Islam di Malaysia. Ia melibatkan banyak parti yang baru ditubuhkan oleh orang melayu yang samada bersaing sesama mereka atau bergabung tatkala suatu kesepakatan manfaat boleh dicapai. Walaupun ada yang mengatakan perpecahan itu adalah atas asas prinsip dan keadilan namun hakikatnya ia tetap perpecahan. Umat Islam akan terus bertelagah sesama sendiri, masyarakat akan kekal terpecah belah dan aspirasi untuk mencapai kestabilan politik mungkin hanya tinggal impian. Sebenarnya, inilah yang diinginkan oleh pihak kuffar Barat – agar umat Islam terus berpecah dan kekal tidak bersatu, menjadi lemah dan mudah diperkotak-katikkan. Hal ini berlaku di hadapan mata kita. Umat Islam bukan sahaja berpecah secara global malah di dalam negara sendiri, kita tidak bersatu.
Islam mewajibkan umatnya bersatu bukan sahaja di dalam hal aqidah, kerohanian dan kebajikan, tetapi juga di dalam politik. Ia hanya akan dapat dicapai apabila seluruh umat Islam kembali menjadikan Islam sebagai satu-satunya asas di dalam kehidupan mereka. Namun, apabila Islam tidak dijadikan asas bagi setiap urusan kehidupan, maka manfaatlah menjadi galang gantinya. Di dalam hal ini, seperti halnya yang berlaku pada PRU yang lepas, para politikus hanya menjadikan manfaat sebagai asas persaingan sesama mereka. Mungkin ada segelintir yang ikhlas dan jujur untuk berkhidmat kepada rakyat namun umumnya, manfaatlah, tidak kira untuk diri sendiri mahupun parti, yang ingin diraih di dalam PRU15 kali ini.