[Tarikh Khulafa] Kesejahteraan Wanita pada Masa Khalifah Umar bin Khattab ra.
Penulis: Nabila Ummu Anas
Hidup sejahtera, terpenuhi seluruh keperluan merupakan dambaan setiap orang. Begitu juga wanita, kesejahteraan adalah yang mereka rindukan. Namun, hari ini, kesejahteraan seolah berada di puncak nun jauh di sana. Setiap orang perlu berjuang sendiri, membanting tulang agar dapat meraihnya. Tidak terkecuali bagi kaum hawa, mereka juga perlu berusaha keras dan “berdaya” secara ekonomi agar sampai pada tahap wanita sejahtera.
Berbeza situasinya ketika Islam diterapkan dalam institusi negara. Pihak yang bertanggung jawab mengurusi urusan rakyat, termasuk pemenuhan keperluan hidup mereka hingga mencapai darjat sejahtera adalah Khilafah. Para khalifah mengamalkan hadis Nabi saw., “Imam (ketua negara) itu laksana penggembala dan dia bertanggung jawab terhadap (urusan) rakyatnya.” (HR Bukhari)
Khilafah Menjamin Nafkah Wanita
Khalifah Umar bin Khattab ra. pernah menulis surat kepada Abu Musa al-Asy’ari, “Amma ba’du, sesungguhnya para pengurus (urusan umat) yang paling bahagia di sisi Allah adalah orang yang membahagiakan rakyat (yang diurus)-nya. Sebaliknya, para pengurus yang paling sengsara adalah orang yang paling menyusahkan rakyat (yang diurus)-nya. Berhati-hatilah kamu agar tidak menyimpang, sehingga para penguasa di bawahmu juga akan menyimpang….” (Abu Yusuf, Al-Kharaj).
Umar bin Khattab ra. adalah khalifah yang sentiasa turun padang. Beliau melihat secara langsung keadaan rakyatnya, adakah rakyatnya mendapatkan kehidupan yang sesuai atau tidak. Beliau memastikan keperluan hidup rakyat orang per orang, lelaki dan wanita terpenuhi secara sesuai.
Suatu ketika Khalifah Umar bin Khattab ra. sedang berjalan di pinggir kota Madinah dan mendapati ada anak-anak menangis kelaparan menunggu masakan yang belum masak. Ternyata ibunya yang janda sedang menanak batu. Umar pun bersegera ke Baitul Mal untuk mengambil sekarung gandum dan memikulnya sendiri ke rumah keluarga tersebut.
Tidak hanya menghantarkan gandum, tetapi Khalifah Umar bin Khattab ra. juga memasakkan keluarga tersebut dan menyediakan makanan untuk mereka. Akhirnya, keluarga itu pun dapat tidur lena kerana sudah kenyang. Ini adalah kerana wujudnya rasa tanggung jawab ketua negara terhadap rakyatnya.
Sebagai pemimpin, Umar ra. takut kepada Allah jika dirinya lalai dan ada rakyatnya yang menderita kelaparan. Khalifah Umar bin Khattab ra. tidak mengeluarkan kebijakan dengan memberi pinjaman kepada janda tersebut atau memberikan lapangan pekerjaan kepadanya sehingga kemudian dengan usahanya dia dapat membeli bahan makanan untuk keluarganya.
Khalifah Umar ra. sangat faham bahawa dalam Islam, wanita tidak ada kewajipan untuk menafkahi keluarga, termasuk dirinya sendiri. Nafkah wanita ditanggung walinya jika walinya ada dan mampu. Dalam Islam, negara juga akan memastikan para wali yang mampu, menjalankan kewajipannya dalam menafkahi kaum wanita. Namun, jika walinya tidak ada atau tidak memiliki kemampuan, wanita akan mendapatkan nafkah dari negara.
Khalifah Umar ra. Membatalkan Kebijakan Pembatasan Mahar
Suatu hari Khalifah Umar bin Khattab ra. mendapat laporan bahawa kaum wanita menetapkan mahar yang terlalu mahal dan menentukan batas-batasnya. Memandangkan hal itu akan memberi kesan buruk terhadap masyarakat, sang Khalifah kemudian menghentikan perilaku tersebut.
Amirul mukminin naik ke atas mimbar dan berpidato di hadapan rakyatnya, “Wahai orang-orang, jangan kalian banyak-banyak dalam memberikan mahar kepada isteri kerana mahar Rasulullah saw. dan para sahabatnya sebanyak 400 dirham atau di bawah itu. Seandainya memperbanyak mahar bernilai takwa di sisi Allah dan mulia, jangan melampaui mereka. Aku tidak pernah melihat ada lelaki yang menyerahkan mahar melebihi 400 dirham.”
Usai berpidato, seketika, seorang wanita berdiri dan memprotes Khalifah Umar, “Wahai Amirul mukminin, tidakkah engkau mengetahui firman Allah Taala, ‘Dan jika kamu ingin mengganti isterimu dengan isteri yang lain, sedangkan kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil kembali dari padanya walau sedikit pun. Adakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata?’ [TMQ An-Nisa’ (4): 20],” ucap seorang wanita Quraisy dengan yakin.
Khalifah Umar bin Khattab ra. pun berkata, “Wanita itu benar dan Umar salah. Ya Allah, ampunilah aku. Setiap orang lebih pintar dari Umar.” Mahar merupakan hak wanita yang telah ditetapkan berdasarkan nas syariat. Islam telah menjadikan mahar sebagai harta kepemilikan wanita yang diperolehnya tanpa kompensasi harta dan tenaga. Allah SWT. berfirman, “Berikanlah mahar kepada wanita yang kalian nikahi sebagai suatu pemberian yang penuh kerelaan.” [TMQ An Nisa’ (4): 4]
Umar bin Khattab ra. sebagai khalifah tidak malu mengakui kebenaran yang disampaikan wanita tersebut dan bersegera mengubah kebijakannya kerana berdasarkan nas Al-Quran, dapat saja seorang wanita memiliki harta yang banyak dari maharnya.
#isterisolehah #KhalifahUmar #KemuliaanWanita