PENAWAR KESEDIHAN
Sahabatku, ketika Allah SWT menguji kita dengan kehilangan orang yang kita sayang, kesusahan dalam menjalani kehidupan, ataupun kehilangan harta yang berharga. Kita perlu mengingati bahawa Hari Kiamat merupakan tempat untuk kita berjumpa kembali. Yakinlah bahawa hati kita pasti akan merasa tenang. Hal ini disebabkan adanya harapan untuk berkumpul dan berjumpa kembali dengan orang yang tersayang. Ada ganjaran syurga yang Allah SWT akan berikan bagi orang-orang yang bersabar.
Ada beberapa perkara yang dapat mengurangkan rasa sedih:
Pertama, beriman kepada akhirat. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai orientasi kehidupannya, kelak Allah SWT akan meletakkan kekayaan di dalam hatinya, Allah SWT akan memudahkan urusannya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina. Sebaliknya, sesiapa yang menjadikan dunia sebagai orientasi kehidupannya, maka Allah SWT akan meletakkan kemiskinan di antara kedua-dua matanya. Allah SWT akan mencerai-beraikan urusannya dan dia tidak akan mendapatkan dunia kecuali yang telah ditakdirkan oleh Allah.” [HR Tirmidzi]
Ibnul Qayyim RA mengatakan, “Jika seseorang menjumpaiNya ketika waktu pagi dan petang dalam keadaan yang lapang dan tidak ada yang difikirkannnya kecuali Allah SWT, maka Allah SWT akan memegang semua hajat dan keinginannya, dan Allah SWT akan bersihkan dirinya dari segala sesuatu yang dapat membebankannya. Allah SWT kosongkan hatinya sehingga hatinya hanya dapat mencintai Allah SWT. Allah SWT basahkan lidahnya hanya untuk berzikir kepadaNya dan Allah SWT akan ringankan badannya sehingga badannya hanya untuk beribadah kepadaNya”
“Tetapi, jika seseorang berada ketika waktu pagi dan petang dalam keadaan dunia yang sedang dia fikirkan, maka Allah SWT akan membebankan dirinya dengan perasaan cemas, hati yang tidak tenang, dan kesusahan di dunia. Allah SWT akan letakkan semuanya pada dirinya sendiri. Allah SWT akan sibukkan hatinya dari mencintai Allah SWT kepada mencintai makhluk yang lain. Allah SWT akan sibukkan lidahnya dari mengingati Allah SWT kepada mengingat makhluk yang lain. Allah SWT juga akan menyibukkan badannya dari taat akan perintah Allah SWT, kepada kesibukan terhadap makhluk yang lain.” [Al-Fawaid, ms. 159]
Setiap muslim yang fokus mempersiapkan kehidupan akhiratnya pasti akan merasa cukup dengan apa yang telah Allah SWT berikan kepadanya, tanpa merasa cemburu atau dengki terhadap orang lain. Bahkan dia tidak akan sedih dengan sedikitnya harta yang telah dia dapati jika dibandingkan dengan harta orang lain.
Dia juga tidak akan merasa cemas ketika orang lain memberikan komen yang buruk terhadap dirinya kerana penilaian manusia tidak akan mempengaruhi penilaian Allah SWT terhadapnya.
Kedua, mengingati kematian. Rasulullah SAW bersabda, “Perbanyakkanlah mengingati kematian. Kerana kematian itu jika diingat oleh orang yang sedang dalam kesusahan hidupnya, maka akan melapangkannya. Jika diingat oleh orang yang sedang lapang, maka akan menyempitkannya.” [HR Al-Bazzar]
Setiap muslim yang senantiasa mengingati tentang kematian akan merasa lebih lapang hatinya ketika diuji. Dia menyedari bahawa perasaan cemas, hati yang tidak tenang dan kesedihan dalam menghadapi ujian tidak akan kekal selama mana dia bertakwa kepada Allah SWT. Semua ujian dunia akan terputus ketika kematian datang.
Sebenarnya, kehidupan setelah kematianlah merupakan kehidupan yang sesungguhnya. Setiap muslim yang senantiasa mengingati kematian tidak akan gembira ketika diberi nikmat kebahagiaan oleh Allah SWT. Kerana dia senantiasa mengingati bahawa seluruh kesenangan akan terputus juga saat kematian tiba.
Ada pun, kebahagiaan yang diperolehinya akan berganti dengan kesedihan yang berlipat saat dia gunakan untuk kemaksiatan. Orang yang senantiasa mengingati kematian akan merasa qa’naah dan akan menggunakan waktunya dengan sebaik mungkin untuk mengumpulkan bekalan di dunia. Kerana dia tidak ingin mengejar sesuatu yang tidak dapat dibawa ketika mati.
Ketiga, berdoa kepada Allah SWT. Seorang muslim perlu selalu berdoa kepada Allah SWT. Mengadu, merendahkan diri, dan meminta agar dijauhkan dari kesedihan hidup. Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, Anas bin Malik RA berkata, “Ketika aku melayani Nabi Muhammad SAW dan baginda singgah di suatu tempat. Aku selalu mendengar baginda berdoa, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari al-hamm (cemas dengan sesuatu yang belum terjadi), al-hazn (sedih dengan sesuatu yang sudah terjadi), ketidakkuatan, kemalasan, kesombongan, ketakutan, hutang yang tidak dapat dibayar dan penindasan daripada orang lain.” [HR Bukhari]
Rasulullah SAW juga berdoa jika ada sesuatu yang menyusahkan baginda, “Wahai Zat Yang Maha Hidup, wahai Zat Yang Berdiri Sendiri, dengan kasih sayang-Mu aku meminta pertolongan.” [HR Tirmidzi]
Semoga kita semua dapat mengendalikan rasa kesedihan dengan tepat, mengubatinya sesuai dengan Islam, tidak terlalu tenggelam dalam rasa kesedihan sehingga lupa untuk memperbanyakkan amal kebaikan. Ketahuilah bahawa rasa sedih itu datangnya dari Allah SWT dan Allah SWT juga yang meminta kita untuk mengganti rasa itu dengan ketenangan. Dekatkanlah diri kepada-Nya, maka hati kita pasti akan menjadi tenang. Wallahul musta’an.