Taat Tanpa Syarat
Penulis: Ummu Aiman
Acapkali timbul dalam perbincangan sesama pengemban dakwah, mengapa begitu sukar untuk memberi lebih tumpuan dalam amanah dakwah? Padahal dengan dakwah, seluruh perintah Allah Azza wa Jalla akan tegak dengan sempurna, sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW, para sahabatnya, dan khulafa ar rasyidin yang mulia.
Jawapan yang kerap terdengar adalah: saya sudah tua, saya sakit, saya tidak memiliki ilmu, saya tidak dapat berbuat apa-apa, saya memiliki ramai anak, terlalu banyak kerja di rumah, habis waktu kerana bekerja, baik untuk membantu ekonomi keluarga mahupun untuk keperluan diri, dan pelbagai alasan lain.
Mereka akhirnya kelihatan semakin jauh untuk berusaha berkorban demi menyempurnakan fardhu kifayah kaum muslim. Sedangkan dengan fardhu inilah ketaatan penuh kepada Allah Rabbulalamiin dalam seluruh aspek kehidupan dapat segera diwujudkan.
Belajar daripada Sahabiah
Ada sekelumit kisah tentang sahabiah yang juga pengasuh Rasulullah SAW ketika baginda masih kecil, Ummu Aiman, RA
حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ عَاصِمٍ الْكِلَابِيُّ حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ الْمُغِيرَةِ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بَعْدَ وَفَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعُمَرَ انْطَلِقْ بِنَا إِلَى أُمِّ أَيْمَنَ نَزُورُهَا كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَزُورُهَا فَلَمَّا انْتَهَيْنَا إِلَيْهَا بَكَتْ فَقَالَا لَهَا مَا يُبْكِيكِ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ لِرَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ مَا أَبْكِي أَنْ لَا أَكُونَ أَعْلَمُ أَنَّ مَا عِنْدَ اللَّهِ خَيْرٌ لِرَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَكِنْ أَبْكِي أَنَّ الْوَحْيَ قَدْ انْقَطَعَ مِنْ السَّمَاءِ فَهَيَّجَتْهُمَا عَلَى الْبُكَاءِ فَجَعَلَا يَبْكِيَانِ مَعَهَا
Telah menceritakan kepada kami Zuhair Bin Harb, telah mengabarkan kepadaku ‘Amru Bin ‘Ashim Al Kilabi, telah menceritakan kepada kami Sulaiman Bin Al Mughirah dari Tsabit dari Anas dia berkata, “Tidak lama setelah Rasulullah SAW wafat, Abu Bakar berkata kepada Umar, ‘Ikutlah bersama kami menuju ke rumah Ummu Aiman untuk mengunjunginya sebagaimana Rasulullah SAW selalu mengunjunginya’ Dan ketika kami telah tiba di tempatnya, Ummu Aiman pun menangis. Lalu mereka berdua berkata kepadanya, ‘mengapa kamu menangisi beliau, bukankah apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasul–Nya SAW?‘ Dia menjawab, ‘Bukanlah saya menangisi baginda, kerana saya tahu bahawa apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik bagi Rasul–Nya, tetapi saya menangis kerana dengan wafatnya baginda bermakna wahyu dari langit telah terputus.‘ Ummu Aiman pun membuat mereka berdua bersedih dan akhirnya mereka berdua pun menangis bersamanya.” (HR Muslim no 4492)
Sesungguhnya riwayat ini memberi kita pengajaran tentang kualiti keimanan seorang Ummu Aiman RA, seorang pengasuh yang begitu mencintai baginda Rasulullah SAW, pada masa kewafatan baginda SAW yang dia tangiskan adalah wahyu yang tidak akan turun lagi dari langit.
Lalu bagaimana dengan kita? Adakah kita mempunyai kepedulian yang sama terhadap wahyu Allah SWT yang sudah turun dengan sempurna? Adakah air mata kita jatuh berjurai ketika wahyu Allah dihinakan, dipinggirkan, dan dipandang rendah?
Adakah kita sungguh-sungguh telah merasakan kepedihan yang mendalam pada saat wahyu Allah tidak dijadikan sebagai sandaran bagi sendi-sendi kehidupan kaum muslim? Sekeras apakah hati kita ketika kita tidak mampu merasakan apa yang dirasakan Ummu Aiman RA yang menangis kerana wahyu Rab-Nya benar-benar terputus?
Sanggup Berkorban Nyawa
Keistimewaan Ummu Aiman tidak hanya itu. Pada Perang Uhud, Ummu Aiman ikut serta bersama para wanita. Tanggungjawabnya ketika itu adalah merawat orang-orang yang terluka dan memperhatikan mereka, serta memberi minum kepada para mujahidin yang kehausan.
Beliau ke sana ke sini membawa air, dan memberi minum kepada mereka yang cedera, kehausan, dan kesusahan.
Ummu Aiman memercikkan tanah ke wajah para tentera yang ingin meninggalkan medan Uhud. Beliau melontarkan alat tenun kepada salah seorang tentera itu lalu mengatakan, “Berikan pedangmu (kepadaku) dan ini (ambillah) alat tenunku untukmu!”
Pada Perang Khaibar, Ummu Aiman bersama dua puluh orang wanita berangkat menuju ke medan perang bersama Rasulullah SAW dan pasukan kaum muslim. Adapun anaknya, Aiman, tidak ikut dalam perang ini kerana kudanya sakit. Walaupun memiliki alasan, ibunya menyifatkannya sebagai pengecut.
Pada Perang Mu’tah, suaminya (Zaid Bin Haritsah radhiyallahu ‘anhu) wafat sebagai syuhada. Ummu Aiman menerima berita tersebut dengan sabar dan mengharap pahala dari Allah. Pada perang Hunain, anaknya (Aiman) juga mati sebagai syuhada. Beliau tetap bersabar dan mengharap pahala dari Allah dengan kematian anaknya. Beliau hanya mengharapkan keredhaan Allah dan keredhaan Rasul-Nya SAW.
Tidak Goyah Saat Menghadapi Ujian
Ummu Aiman termasuk golongan pertama orang yang masuk Islam. Nasibnya seperti sahabat lain yang memeluk Islam iaitu mendapatkan seksaan serta hinaan daripada kaum kafir Quraisy.
Ketika kaum musyrikin semakin keras dalam menyeksa dirinya berserta orang-orang yang masuk Islam bersamanya, Rasulullah SAW mengizinkan mereka untuk hijrah ke negeri Habsyah. Oleh itu, Ummu Aiman merupakan salah seorang wanita yang hijrah untuk menyelamatkan agamanya dari kezaliman dan penyeksaan kaum musyrikin.
Ketika kembali ke Mekah al-Mukarramah, Ummu Aiman tidak lagi menghiraukan dirinya dan bersabar dalam menghadapi cacian, ancaman, dan penyeksaan. Akhirnya, datanglah pertolongan dari Allah SWT. Ummu Aiman hijrah ke Madinah al-Munawwarah Bersama-sama dengan mereka yang berhijrah dengan Nabi Muhammad SAW.
Pada saat hijrah ke Madinah al-Munawwarah itu, Ummu Aiman berpuasa, bangun malam, dan hijrah dengan berjalan kaki. Beliau tidak memiliki sedikit pun bekal makanan ataupun minuman hingga acapkali terseksa oleh dahaga kerana panas yang begitu menyengat di tengah gurun.
Ketika matahari tenggelam dan waktu berbuka tiba, Allah SWT menurunkan karamah yang besar kepadanya dan tidak terlihat oleh seorang pun yang berjalan bersamanya. Pada waktu itu, Allah menurunkan sebuah baldi dari langit berisi air yang diselimuti oleh cahaya putih. Ummu Aiman segera mengambil baldi itu dan meminum isinya hingga kenyang.
Ummu Aiman berkata, “Sesudah itu, aku tidak pernah lagi merasa haus. Aku biasa berpuasa di bawah terik matahari dan tidak berasa dahaga.” (Bassam Muhammad Hamami, Biografi 39 Tokoh Wanita Pengukir Sejarah Islam).
Taat Tanpa Syarat
Ummu Aiman RA telah memberi contoh yang luar biasa dalam menjalani ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT. Tidak ada syarat apa pun yang diajukan dalam perjuangan ketaatan ini.
Tanpa harta, beliau berhijrah. Ketika usia tua, beliau tetap aktif terlibat dalam medan perjuangan dakwah.
Beliau menjadi isteri yang luar biasa, merelakan suami tercinta syahid di perang Mu’tah. Juga menjadi ibu yang hebat kerana memiliki anak yang siap berjuang membela Islam.
Aiman putera tercinta syahid pada perang Hunain, sementara Usamah putera tercinta menjadi pemimpin termuda bagi pasukan yang menghadapi pasukan kuat romawi dan berjaya mengalahkannya hanya dalam waktu 40 hari (termasuk pembahagian ghanimah). Bahkan pengiriman pasukan ini memberi impak besar terhadap kukuhnya Daulah Islamiyah di Madinah, setelah wafatnya Rasulullah SAW.
Sesungguhnya, Ummu Aiman RA telah membuktikan bahawa ketaatan penuh kepada Allah tidak memerlukan syarat apa pun. Oleh kerana itu, taatlah, bekerjalah, dan berikanlah sebanyak mungkin sumbangan untuk kemenangan dakwah Islam. Kerana ketaatan kepada Allah sejatinya akan memberikan jawapan bagi setiap persoalan hidup yang selalu dijadikan syarat (baca: penghalang) untuk mengambil bahagian lebih dalam dakwah li i’laa-I kalimatillah.
Tangisan Yang Mulia
Ketika Khalifah Umar Bin Khattab RA wafat setelah peristiwa penikaman beliau oleh Abu Lu’lu’ah, Ummu Aiman RA menangisi kematiannya sambil berkata, “Hari ini Islam melemah (dengan terpecahnya pintu fitnah).”
Wanita agung lagi mulia ini menangis kerana kekuatan kaum muslim mulai terpecah-belah seiring syahidnya Khalifah Umar Bin Khattab RA. Sesungguhnya tangisan yang sangat bermakna, tangisan dari hati yang terbakar kerana panji Islam melemah.
Wahai Ummu Aiman, wahai ibunda Usamah Bin Zaid pemimpin perang termuda pilihan Rasulullah SAW, wahai isteri Zaid Bin Haritsah pemilik singgahsana emas di syurga-Nya, sesungguhnya titisan air matamu sangat mulia.
Bagaimanakah perasaan anda ketika melihat keadaan umat saat ini, ketika panji Islam melemah, bahkan tercabik-cabik? Bagaimana pula seandainya anda melihat kami para muslimah pengemban dakwah, masih banyak mengeluh, masih banyak memberi alasan, masih terjerat rantai kemalasan dan hawa nafsu duniawi?
Yang paling menyedihkan, kami sering tidak mampu menangis, padahal rintihan kaum muslim terdengar jelas. Bahkan kami tidak mampu menitiskan airmata, walaupun kaum kafir terus merosak agama-Nya di hadapan kami. Wahai muslimah, bagaimanakah keadaan tangisan kita ini?
Sumber: muslimahnewsid