Sayyidah Nafisah: Permata Ilmu, Ahli Ibadah, dan Muhasabah
Penulis: Ustazah Iffah Ainur Rochmah
Ketika berkunjung ke Kaherah, Mesir pada akhir 2013 saya menyaksikan sebuah masyarakat yang mengistimewakan ahli ilmu. Selain di kompleks Al-Azhar asy-Syarifah, ketika mengunjungi makam dan masjid Imam Syafi’i, kesan yang sama makin kuat. Bukan baru terlihat saat ini, bahkan pada 193 H Mesir sudah menyambut suka cita kedatangan Sayyidah Nafisah, dan mencegah beliau daripada kembali ke Hijaz.
Sayang, kunjungan saya ke Mesir pada masa itu belum sempat berziarah ke masjid dan makam Sayyidah Nafisah. Padahal, ada hubungan erat antara Imam Syafi’i dengan tokoh muslimah ini. Sayyidah Nafisah tidak hanya mempunyai ilmu, tapi juga ahli taqarrub dan gemar muhasabah.
Masjid Sayyidah Nafisah terletak di daerah Khalifah, Kaherah lama. Di jalan Al-Asyraf terdapat makam-makam para ahlul bait di antaranya adalah Sayyidah Nafisah, cicit baginda Nabi SAW. Setelah proses pembaikpulihan pada 2023, masjid Sayyidah Nafisah banyak dikunjungi umat dan mudah-mudahan makin membuka pintu mengambil keteladanan daripada sosok beliau.
Gudang Ilmu, Kiblat Masyaikh
Beliau adalah Nafisah binti Hasan al-Anwar bin Zaid bin Hasan bin Ali bin Abi Thalib, lahir di Mekah pada Rabiulawal 145 H. Selain nasab mulia beliau sebagai dzurriyah Baginda SAW, Sayyidah Nafisah telah menampakkan cinta ilmu dan sangat dekat dengan Al-Quran sejak belia. Ketika berusia 5 tahun keluarga beliau pindah ke kota Madinah al-Munawarah.
Ayah beliau Hasan al-Anwar, imam besar ahli ilmu yang mengajarkan sendiri ilmu-ilmu agama dan hafalan Al-Quran kepada beliau. Talaqqi hadis dan sirah juga dilakukannya kepada ayah beliau. Selain itu, Sayyidah Nafisah juga mengkaji ilmu fikih dan hadis dari para masyaikh Masjid Nabawi di sisi Raudah asy-Syarifah.
Beliau sering hadir di majlis Imam Malik, bahkan dianggap salah satu penjaga fikih Imam Malik. Ketika beliau masih remaja, sudah banyak yang menggelarnya sebagai “Nafisah al-Ilmi” yang bermakna permata ilmu.
Sayyidah Nafisah hidup sezaman dengan Imam Syafi’i. Beliau masuk ke Mesir pada bulan Ramadhan 193 H. Sedangkan, Imam Syafi’i datang ke Mesir pada 199 H. Imam Syafi’i berulang kali mengunjungi Sayyidah Nafisah. Beliau mendengarkan hadis-hadis yang dibacakan oleh Sayyidah Nafisah.
Imam Syafi’i biasanya mengunjungi Sayyidah Nafisah dalam perjalanan menuju Masjid Fusthat. Rumah Sayyidah Nafisah beliau sebut sebagai tempat belajar, sedangkan Masjid Fusthat adalah majlis tempat Imam Syafi’i mengajar ilmu kepada masyarakat.
Banyak yang mengisahkan betapa tinggi penghormatan Imam Syafi’i terhadap keluasan ilmu Sayyidah Nafisah. Selain itu, para ulama besar seperti Bisyir bin Al-Harits juga banyak menimba ilmu daripada beliau. Bahkan, kerana begitu masyhur ketakwaan dan tingginya ilmu beliau, membuat Imam Ahmad bin Hanbal juga meminta Sayyidah Nafisah mendoakan keampunan Allah bagi dirinya. Kerana itulah Sayyidah Nafisah dikenal sebagai kiblat masyaikh.
Ahli Ibadah dan Riayah
Luar biasa, Sayyidah Nafisah adalah sosok istimewa yang patut kita sorot sisi peribadinya sebagai teladan. Dikisahkan oleh Zainab binti Yahya, anak saudara yang mendampingi dan melayani beliau selama 40 tahun, bahawa Sayyidah Nafisah menghabiskan malam hari untuk beribadah dan siang hari untuk berpuasa.
Disebabkan banyaknya waktu beliau berpuasa, hampir-hampir tidak ada hari tanpa puasa kecuali pada dua hari raya dan Hari Tasyrik. Ibadah beliau yang juga Istimewa adalah banyaknya membaca Al-Quran hingga khatam ribuan kali sebelum wafat. Diceritakan pula bahawa beliau banyak mentafsirkan ayat dan menangis ketika membaca Al-Quran.
Ketika Zainab ditanyakan mengapa bersikap begitu berat dan keras kepada diri sendiri dalam beribadah, beliau menjawab dengan mantap, “Bagaimana dapat aku bersantai dan meringankan diriku dalam beribadah, sedangkan di hadapanku ada banyak cabaran kehidupan? Tidak ada yang memastikan kesudahan di masa hadapan (syurga atau neraka).”
Begitulah kegigihan seorang muslimah teladan yang tidak mencukupkan diri meraih redha Allah dengan memperbanyak ilmu, tetapi juga memiliki rasa takut yang sangat besar pada murka Allah dan mengharapkan redha-Nya. Beliau terus merayu Allah menerusi ibadah dalam kualiti dan kuantiti yang terbaik yang dapat diikhtiarkan.
Ada pun dari sisi peribadi beliau yang berperanan sebagai isteri dan ibu, kisahnya tidak kalah mengundang kekaguman. Suami beliau, Ishaq al-Mu’tamin bin Ja’far Shadiq sering kali mengungkapkan kebahagiaannya berumahtangga dengan Sayyidah, menceritakan sifat-sifat baik yang dimilikinya dan wajahnya yang berseri ceria, serta kata-kata halusnya. Begitu juga putra-putri beliau Qasim dan Ummi Kultsum yang selalu dididik dengan baik, diajarkan ibadah dan zikir. Beliau termasuk di antara muslimah terkemuka dalam me-riayah keluarga dan rapi dalam mengatur rumahnya.
أفضل النساء في رعاية زوجها وبيتها وأسرتها، ومن أحسنهنَّ إتقاناً لفنِّ إدارة المنزل
Gemar Muhasabah
Sayyidah Nafisah adalah seorang muslimah yang teguh dalam menegakkan al-haq. Masyarakat sangat mengenal karakter kuat beliau yang tidak kenal takut untuk melawan kezaliman.
Sejarawan Ahmad bin Yusuf al-Qirmani dalam bukunya menceritakan bahawa masyarakat menyampaikan keluhan mereka tentang kezaliman penguasa Mesir pada masa tersebut.
Sayyidah Nafisah pun menyiapkan surat sebagai bentuk muhasabah lil hukkam yang diperintahkan syariat dan menunggu di jalan yang dilalui oleh rombongan penguasa. Ketika sang gabenor melihat Sayyidah, dia berhenti lalu turun dari kudanya. Sayyidah terus memberikan surat yang ditulisnya sebagai nasihat sekaligus peringatan agar menghentikan sikap represifnya.
“Anda telah diangkat menjadi penguasa atas rakyat, tetapi anda malah memenjarakan mereka. Anda diberi kemampuan mengatur, tetapi malah membuat mereka menderita. Anda diberi tunjangan harta yang cukup, tetapi malah membuat masyarakat melarat. Ketahuilah bahawa panah yang dilepaskan di waktu sahur (doa pada dini hari) akan tepat di jantung sasarannya. Apalagi dilepaskan dari hati orang yang terzalimi dan orang miskin yang melarat. Mustahil terjadi yang dizalimi mati dan yang zalim dapat tetap hidup. Lakukan apa pun yang anda mahu (jika sudah tiada takut pada Allah). Sedangkan kami, orang-orang yang dizalimi akan mengadukan semuanya kepada Allah,” tulisnya.
Muhasabah tersebut ditutup dengan akhir ayat,
“Dan orang-orang yang zalim kelak akan mengetahui ke mana mereka akan kembali.” (TMQ Asy-Syu’ara [26]: 227).
Peringatan Sayyidah Nafisah yang terus-terang telah menghentak jiwa sang penguasa, sehingga membuatnya memperbaiki dasar kebijakan dan sikapnya terhadap rakyat.
Menghadap Rabb
Sayyidah Nafisah jatuh sakit pada bulan Rejab sehingga beliau wafat pada Ramadhan 208 H. Menghadap Rabb dalam keadaan terbaik yang dimohonkan kepada Allah sepanjang 30 tahun terakhir, yakni ketika beliau berpuasa. Masyarakat Mesir berduka kerana kehilangan permata ilmu, role model rabbatul bait, dan tentu saja teladan dalam bersikap tegas menegakkan al-haq.
Begitulah sosok seorang Sayyidah Nafisah, seorang muslimah permata ilmu, ahli taqarrub yang juga sangat dicintai keluarganya. Semua kisah beliau meneladankan sebuah pola hidup yang khas. Makin tinggi ilmu seorang muslim, makin berhati-hati pula dia dalam bersikap dan mengambil tindakan. Makin banyak ilmu akan berimplikasi pada sikap untuk makin bersungguh-sungguh dalam menjalankan semua peranan yang diamanahkan syariat.
Tidak ada dikotomi antara peranan domestik dan umum. Makin banyak ilmu seorang muslimah, semestinya makin tidak rela melepaskan kesempatan untuk bertaqarrub kepada Allah dan memohon untuk disegerakan pertolongan-Nya. Makin banyak ilmu juga makin membangkitkan kesedaran bahawa syariat yang dipraktikkan oleh negara dan penguasa adalah sasaran keutamaan untuk amar makruf nahi mungkar.
Jika mengajarkan ilmu di dalam majlis-majlis ilmu wajib dilakukan agar semua muslim celik syariat, bukankah muhasabah kepada penguasa dengan menyampaikan nasihat dan kritikan tajam berdasarkan ketetapan Al-Quran adalah lebih wajib? Hal ini kerana para penguasa inilah yang menjadi kunci berlangsung atau terhalangnya pelaksanaan syariat. Wallahualam bissawab.
#KisahRamadhan #Ramadhan #MuslimahPembelajar #Ilmu #PolitikIslam
#SerikandiTeladan #MuslimahIdeal #MasyarakatMuslimIdeal