Kabsyah binti Rafi’ bin Ubaid, Ibunda Dua Syuhada yang Berani dan Penyabar
Penulis: Rif’ah Kholidah Wahyuni
Salah seorang ibu yang namanya diabadikan dalam sejarah ialah Kabsyah binti Rafi’ bin Ubaid. Beliau ialah ibunda kepada dua orang sahabat Rasulullah SAW, iaitu Sa’ad bin Mu’adz (pembawa panji kaum Ansar) dan Amr bin Mu’adz. Kabsyah merupakan salah seorang sahabiah yang terawal memeluk Islam sejak kehadiran dakwah Islam di Madinah. Beliau juga salah seorang wanita yang terawal membaiah Rasulullah SAW bersama Ummu Amir binti Yazid as-Sakan dan Hawwa’ binti Yazid as-Sakan. Mereka memeluk Islam melalui dakwah yang disampaikan oleh Mus’ab bin Umair RA yang diutus oleh Rasulullah SAW menjadi duta dakwah. Sosok Kabsyah binti Rafi’ sentiasa menjadi contoh teladan para ibu kerana memikul cita-cita agama dan mempertaruhkan seluruh anaknya untuk jihad, turun ke medan peperangan di jalan Allah sehingga mencapai syahid demi menegakkan Islam dan meninggikan kalimah Allah. Salah satu kisah yang tercatat dalam sejarah ialah peranannya dalam tiga peperangan, iaitu Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak.
Ketika Perang Badar berlaku, Kabsyah binti Rafi’ RA mendorong dan memberi semangat kepada kedua-dua puteranya, iaitu Sa’ad bin Mu’adz dan ‘Amr bin Mu’adz RA supaya turut berjihad. Beliau sangat gembira apabila kedua-dua anaknya menyertai misi tersebut. Malah, sang ibu berharap agar puteranya dikurniakan syahid di jalan-Nya. Namun, takdir ternyata berbeza. Mereka pulang dengan selamat dan memperoleh kemenangan.
Pada masa Perang Uhud, Kabsyah (Ummu Sa’ad) menghantar kedua-dua puteranya untuk berperang dan membela agama Allah. Beliau keluar untuk memastikan keadaan Rasulullah SAW pada waktu itu. Beliau memerhatikan wajah-wajah pasukan kaum Muslimin yang pulang dari peperangan dan mencari kedua-dua puteranya. Ternyata putera beliau ‘Amr bin Mu’adz RA syahid dalam Perang Uhud. Rasulullah SAW mengucapkan takziah atas syahidnya ‘Amr bin Mu’adz pada usia tiga puluh tahun.
Ummu Sa’ad berkata kepada Rasulullah SAW, “Apabila aku menyaksikan engkau selamat, maka sungguh, musibah ini menjadi ringan.” Kemudian, Rasulullah SAW mendoakan keluarga orang-orang yang syahid pada Perang Uhud. Baginda bersabda, “Wahai Ummu Sa’ad, terimalah berita gembira dan sampaikanlah berita gembira kepada keluarga mereka bahawa anggota keluarga mereka yang syahid, semuanya saling berteman di syurga. Sesungguhnya, syafaat mereka semua untuk keluarganya telah diterima.”
Ummu Sa’ad pun berkata, “Wahai Rasulullah SAW, kami redha. Siapakah yang akan menangisi mereka lagi selepas ini?” Kemudian beliau berkata lagi, “Wahai Rasulullah SAW, berdoalah kepada Allah untuk orang-orang yang mereka tinggalkan.”
Rasulullah SAW lalu berdoa, “Ya Allah, hilangkanlah kesedihan hati mereka, gantikanlah yang hilang daripada mereka, dan perbaikilah keadaan pengganti bagi orang yang mereka tinggalkan.”
Sesungguhnya, Ummu Sa’ad sangat luar biasa dalam menjalankan peranannya sebagai seorang ibu yang tabah dan penyabar. Beliau menerima dan redha terhadap ketentuan Allah SWT. Malah, bukan sahaja dalam Perang Badar dan Perang Uhud, tetapi juga pada Perang Khandak, Ummu Sa’ad membawa puteranya, iaitu Sa’ad bin Mu’adz.
Diriwayatkan daripada Aisyah RA, “Kami berada di dalam benteng Bani Harithah sebelum hijab disyariatkan. Pada masa itu, Ummu Sa’ad turut berada bersama kami. Kemudian, Sa’ad bin Mu’adz lalu dengan memakai baju besi yang terbuka pada bahagian kedua-dua tangannya (dari siku hingga hujung jari). Demi Allah, pada waktu itu, aku sungguh bimbang beliau akan tercedera kerana keadaan tangannya yang terbuka itu. Beliau pun berlalu sambil menyandang lembing di tangannya seraya mendendangkan sebait syair, ‘Hamal (bin Sa’danah) pun berhenti seketika memerhatikan medan perang. Sungguh, indahnya kematian jika ajal telah menjelang.’” Ummu Sa’ad berkata, “Wahai puteraku, bersegeralah menyusul Rasulullah SAW”
Aisyah pun berkata, “Demi Allah, wahai Ummu Sa’ad. Menurutku adalah lebih baik jika baju besi Sa’ad itu menutupi seluruh tangannya hingga ke hujung jarinya.” Sang ibu lalu menjawab, “Allah akan melaksanakan apa yang telah Dia tetapkan.” Sesungguhnya, pada peperangan tersebut, Sa’ad bin Mu’adz terkena lontaran panah. Hal ini menyebabkan kematiannya sebagai syahid di jalan Allah sehingga Ummu Sa’ad menjadi ibu kepada kedua-dua puteranya yang syahid. Beliau sangat sedih dengan pemergian kedua-dua puteranya. Akan tetapi, beliau tetap redha terhadap ketetapan Allah baginya.
Diriwayatkan daripada Ibrahim bin al-Husain, daripada Al-Miswar bin Rifa’ah, beliau berkata, “Ummu Sa’ad datang untuk melihat Sa’ad dalam kuburnya. Kemudian, orang ramai pun memintanya pulang. Namun, Rasulullah SAW bersabda, ‘Biarkanlah beliau.’” Ummu Sa’ad pun maju sehingga dapat melihat Sa’ad di dalam kuburnya sebelum jenazah Sa’ad ditimbus dengan tanah. Ummu Sa’ad berkata, “Aku akan bersabar atas kematianmu kerana Allah.”
Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah berkata, “Pada saat berbaiah, kami diminta berjanji untuk tidak meratap. Namun, tiada seorang pun di kalangan kami yang menepatinya, kecuali lima orang sahaja, antaranya ialah Ummu Mu’adz dan isteri Mu’adz.
Demikianlah sejarah telah mencatatkan untuk kita supaya kita mengambil iktibar daripada kisah seorang ibu yang tabah, berani dan penyabar. Beliau merelakan puteranya di jalan Allah dengan penuh keredhaan kerana kecintaan kepada Allah dan RasulNya sehingga musibah kematian kedua-dua puteranya menjadi ringan baginya. Beliau menerima ketetapan Allah SWT dan tidak menghalangnya daripada khabar gembira yang disampaikan melalui lisan Rasulullah SAW yang mulia. Ummu Sa’ad pun menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa seluruh pasukan yang syahid dalam Perang Uhud berada di syurga sehingga beliau berasa senang kerananya.
Keberanian Ummu Sa’ad yang luar biasa mampu mendorong anaknya untuk berperang dan menyuruhnya bersegera supaya tidak tertinggal oleh Rasulullah SAW sehingga Sa’ad bin Mu’adz pun menjadi sahabat yang berani. Kesabaran Ummu Sa’ad atas kematian puteranya dan penyerahan dirinya kepada Allah membuat beliau tidak memberikan seluruh kesedihannya kepada puteranya. Sesungguhnya, Rasulullah SAW telah bersabda, “Setiap wanita yang menangis pasti berlebihan, kecuali Ummu Sa’ad. Apa yang beliau katakan merupakan kebaikan, jadi beliau tidak akan berdusta.”
Semoga kita dapat meneladani ketabahan, keberanian dan kesabaran yang dicontohkan oleh Ummu Sa’ad ketika menyerahkan seluruh anaknya berjihad di jalan Allah dan menjadi syuhada di jalanNya. Dengan demikian, Allah SWT akan mengumpulkannya di tempat yang penuh dengan rahmatNya kelak.
Rujukan
- Nisa Laha Tarikh, Ummu Isra’ Arafah Bayyumi, Aqwam.
2. Suara ‘Aisyiyah.id
#SrikandiTeladan #Sahabiyah #IbuSolehah #MuslimahIdeal #ThePowerofMother