Asma’ binti Umais, Wanita yang Berhijrah Dua Kali
Penulis: Kholidah Wahyuni
Asma’ binti Umais bin Ma’bad bin al-Harits al-Khats’amiyyah termasuk dalam golongan orang-orang yang awal memeluk Islam. Beliau memeluk Islam sebelum Rasulullah SAW mendatangi kediaman Al-Arqam bin Abi al-Arqam. Beliau merupakan isteri kepada Ja’far bin Abi Thalib. Mereka dikurniakan tiga orang anak, iaitu Abdullah, Muhammad, dan ‘Aun.
Asma’ turut berhijrah bersama suaminya. Kemudian, beliau berhijrah sekali lagi bersamanya ke Madinah pada tahun ke-7 H. Salah satu keutamaan yang diabadikan oleh sejarah adalah berita gembira yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepadanya, di mana orang lain hanya berhijrah sebanyak satu kali, manakala Asma’ berhijrah sebanyak dua kali.
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitab sahihnya, “Apabila Asma’ pulang dari Habsyah, Umar berkata kepadanya, ‘Wahai wanita Habsyah, kami lebih utama daripada kalian kerana kami berhijrah ke Madinah lebih awal daripada kalian.’ Asma’ lantas berkata, ‘Demi Allah, engkau tidak benar. Kalian berada bersama-sama dengan Rasulullah SAW yang memberi makan kepada orang yang kelaparan dalam kalangan kalian, serta mengajari orang yang belum tahu dalam kalangan kalian. Sedangkan kami berada di negeri yang jauh dan terasing. Demi Allah, aku akan mengadukan hal ini kepada Rasulullah.’ Asma’ segera mendatangi Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: ‘Orang-orang hanya berhijrah satu kali, sedangkan kalian berhijrah dua kali.’”
Sayidah yang mulia ini meraih kemuliaan kerana berhijrah sebanyak dua kali dengan niat ikhlas kerana Allah dan Rasul-Nya. Bukan sahaja dalam hal hijrah dan jihad, beliau juga mempunyai keutamaan yang luas serta ketabahan luar biasa yang mendorongnya untuk keluar melaksanakan ibadah haji bersama Rasulullah SAW. Padahal, pada ketika itu beliau sedang sarat hamil tua dan ditakdirkan melahirkan anak di wilayah Dzulhulaifah.
Diriwayatkan daripada Jabir RA dalam hadis mengenai ibadah haji Rasulullah SAW, “Apabila sampai di Dzulhulaifah, Asma’ binti Umais melahirkan puteranya, Muhammad bin Abu Bakar. Asma’ lalu mengirimkan utusan untuk bertanya kepada Rasulullah SAW tentang apa yang perlu dilakukannya (kerana melahirkan anak itu). Baginda SAW pun bersabda, ‘Mandi dan pakailah kain pembalutmu, lalu pakailah pakaian ihrammu kembali.’”
Allah SWT juga telah memuliakan Asma’ binti Umais melalui pernikahan. Setelah suaminya, Ja’far bin Abi Thalib, gugur sebagai syahid, Asma’ pernah berkahwin dengan dua orang Khalifah, iaitu Abu Bakar ash-Shiddiq dan Ali bin Abi Thalib. Asma’ telah menjadi seorang isteri yang sangat baik buat kedua-duanya.
Begitu besar cinta Abu Bakar kepada Asma’, sehinggakan beliau berwasiat agar Asma’ yang memandikan jenazahnya apabila beliau meninggal dunia. Asma’ pun memenuhi permintaan tersebut lalu memandikan jenazah suaminya.
Setelah Abu Bakar ash-Shiddiq meninggal dunia, Asma’ berkahwin pula dengan Khalifah Ali bin Abi Thalib, lalu melahirkan anak-anak lelakinya, iaitu Yahya dan ‘Aun.
Kisah lain yang menunjukkan keagungan dan kemuliaan Asma’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Zakaria bin Abi Za’idah. Beliau berkata, “Aku pernah mendengar Amir menceritakan bahawa Ali menikahi Asma’ binti Umais. Kemudian dua orang anaknya, iaitu Muhammad bin Abu Bakar dan Muhammad bin Ja’far, saling berbangga diri. Mereka berkata: ‘Aku lebih mulia daripadamu! Ayahku lebih baik daripada ayahmu!’
Amir menceritakan bahawa Ali lalu berkata kepada Asma’: ‘Selesaikanlah perbalahan mereka berdua.’ Asma’ pun berkata: ‘Aku tidak pernah melihat pemuda daripada bangsa Arab yang lebih baik daripada Ja’far, dan aku juga tidak pernah melihat lelaki tua yang lebih baik daripada Abu Bakar.’
Kemudian Ali berkata: ‘Engkau tidak menyisakan sedikit pun pujian untukku! Seandainya engkau memberikan jawapan yang lain, pasti aku sudah marah kepadamu.’ Asma’ lantas berkata: ‘Sesungguhnya dalam kalangan tiga orang pilihan ini, kebaikanmu berada di bawah kebaikan mereka. Maksudnya, kebaikanmu paling sedikit antara ketiga-tiga orang pilihan ini. Walau bagaimanapun, kalian bertiga tetap merupakan orang-orang pilihan yang mulia.’ Ali pun memujinya dan mengutamakannya berbanding isteri-isterinya yang lain.”
Daripada kisah ini, kita dapat mengambil beberapa pengajaran berharga. Pertama, besarnya daya juang Asma’ dalam mempertahankan agama Allah, sehinggakan beliau sanggup berhijrah sebanyak dua kali, iaitu ke Habsyah dan ke Madinah. Sedangkan kebanyakan orang hanya berhijrah satu kali sahaja.
Kedua, Asma’ binti Umais merupakan seorang wanita yang kuat. Kekuatan tersebut lahir daripada dorongan keimanan yang mendalam kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau sanggup melaksanakan ibadah haji bersama Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan sarat hamil tua, sehinggakan beliau melahirkan anak dalam perjalanan di wilayah Dzulhulaifah. Keadaan hamil tua langsung tidak menjadi penghalang bagi Asma’ untuk memenuhi panggilan Allah SWT.
Ketiga, Asma’ ialah seorang wanita yang cerdas, bijaksana, dan mempunyai pemikiran yang tajam. Beliau mampu meleraikan perdebatan dalam kalangan anak-anaknya tanpa membeza-bezakan mereka mengenai keutamaan ayah masing-masing.
Keempat, walaupun Asma’ pernah berkahwin sebanyak tiga kali dengan kalangan sahabat dan dua daripadanya merupakan Khalifah, Asma’ tetap mampu memuliakan setiap suaminya yang mempunyai pelbagai keutamaan, tanpa merendahkan mana-mana pihak.
Semoga para muslimah pada hari ini dapat meneladani jejak langkah Asma’ binti Umais, seorang wanita mulia, bijaksana, dan pejuang sejati yang mampu meletakkan kemuliaan setiap suaminya hingga mereka redha kepadanya.
#SrikandiTeladan #AsmabintiUmais #HijrahmMuslimah #Hijrah #Sahabiyah