Safiyyah binti Huyayy, Wanita Istimewa yang Menjadi Isteri Rasulullah SAW
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Safiyyah binti Huyayy ialah seorang wanita daripada keturunan Yahudi Bani Nadir yang mempunyai kedudukan terhormat, cantik, mulia dan cerdas. Beliau pernah berkahwin dengan dua orang lelaki Yahudi yang kedua-duanya merupakan penyair Yahudi. Suami pertamanya ialah Sallam bin Mishkam al-Qurazi. Namun, perkahwinan tersebut tidak bertahan lama sehingga akhirnya beliau diceraikan. Kemudian, Safiyyah berkahwin semula dengan Kinanah bin al-Rabi‘ bin Abi al-Huqayq. Perkahwinan ini juga tidak bertahan lama kerana suaminya terbunuh dalam Perang Khaibar bersama-sama ayah dan bapa saudaranya. Ketika Perang Khaibar, Safiyyah menjadi tawanan perang bersama-sama wanita yang lain.
Berasal daripada Keluarga Yahudi
Safiyyah binti Huyayy merupakan satu-satunya isteri Nabi Muhammad SAW yang berasal daripada keturunan Yahudi. Ayahnya, Huyayy bin Akhtab, ialah pemimpin Bani Nadir, manakala ibunya, Barrah binti Samawal, ialah puteri Samawal serta adik kepada Rifa‘ah bin Samawal, seorang pembesar Yahudi Bani Quraizah. Salasilah keturunan Safiyyah bersambung kepada Lawi bin Ya‘qub dan Nadir bin Naham bin Yanhum, yang merupakan keturunan Nabi Harun AS, saudara kepada Nabi Musa AS.
Ketika Safiyyah masih kecil, ayahnya dan bapa saudaranya, Abu Yasir bin Akhtab, pemimpin kabilah Bani Nadir dan pembesar Madinah, menjaga dan membesarkannya dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Safiyyah dibesarkan dalam persekitaran keluarga yang berilmu dan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakatnya.
Sejak kecil, Safiyyah dikenali sebagai seorang yang cerdas, mempunyai keperibadian yang menarik dan sangat dihormati dalam kalangan kaumnya. Sebagai puteri kepada seorang pemimpin suku, beliau mendapat pendidikan yang baik, khususnya dalam bidang agama Yahudi dan tradisi sukunya.
Keluarganya Membenci dan Memusuhi Rasulullah SAW
Ayah dan bapa saudara Safiyyah sangat membenci Nabi Muhammad SAW ketika baginda berhijrah ke Madinah. Mereka juga sangat memusuhi Islam dan memilih untuk memerangi Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilihat melalui sikap mereka apabila mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah tiba di Madinah dan menetap di Quba. Huyayy bin Akhtab berkata kepada saudaranya, “Demi Allah, aku akan memusuhinya sepanjang hidupku.”
Permusuhan ayah Safiyyah terserlah dalam pelbagai peristiwa. Antaranya ialah usaha membunuh Rasulullah SAW yang berlaku ketika baginda berada di perkampungan mereka untuk meminta diyat (wang pampasan bagi pembunuhan) yang telah dipersetujui untuk ditanggung oleh orang-orang Yahudi, berdasarkan perjanjian yang terkandung dalam Piagam Madinah.
Pada ketika itu, Rasulullah hampir terbunuh apabila seorang Yahudi cuba menjatuhkan batu dari atas bumbung rumah ke arah baginda. Baginda berada dalam keadaan berbahaya. Namun, dengan maklumat yang disampaikan oleh Jibril, baginda berjaya melepaskan diri daripada ancaman pembunuhan tersebut.
Disebabkan rancangan jahat itu, Rasulullah memberikan kata dua kepada orang-orang Yahudi Bani Nadir supaya keluar dari Madinah. Namun, hasutan orang-orang munafik yang dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Salul menyebabkan mereka menolak arahan tersebut dan bersedia menghadapi apa sahaja keputusan Rasulullah SAW.
Rasulullah kemudiannya memutuskan untuk mengepung perkampungan Bani Nadir. Selepas enam hari dikepung, mereka menyerah kalah, bersetuju untuk melucutkan senjata dan bersedia meninggalkan Madinah. Walau bagaimanapun, Rasulullah menetapkan syarat bahawa mereka hanya boleh membawa diri dan keluarga masing-masing serta bekalan yang mampu dibawa oleh haiwan tunggangan mereka, tetapi tidak dibenarkan membawa senjata.
Mereka pun bersetuju dengan syarat-syarat tersebut, lalu meninggalkan Madinah dengan menaiki 600 ekor unta. Kebanyakan tokoh utama mereka, seperti Huyayy bin Akhtab dan Salam bin Abul Huqayq, berpindah ke Khaibar, manakala sebahagian yang lain berpindah ke Syam. Permusuhan mereka tidak terhenti dengan pengusiran tersebut, malah semakin memuncak. Ketika kaum Muslimin berperang menentang pakatan Quraisy dan Yahudi dalam Perang Ahzab atau Perang Khandaq, Huyayy bin Akhtab sebaliknya menghasut orang-orang Yahudi Bani Quraizah supaya memerangi Rasulullah. Mereka bahkan menghina dan mencaci Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa mereka telah melanggar perjanjian.
Ketika pasukan Rasulullah memperoleh kemenangan dalam Perang Ahzab, baginda meneruskan perjalanan untuk memerangi Bani Quraizah yang telah membatalkan perjanjian. Mereka pun dikepung selama 25 hari sehingga akhirnya menyerah kalah. Berdasarkan pandangan Sa‘ad bin Muaz, kira-kira 600 hingga 700 orang Bani Quraizah telah dipancung. Selain mereka, Huyayy bin Akhtab turut dipancung kerana termasuk dalam kalangan penjahat Perang Ahzab. Dia telah menghasut Bani Quraizah supaya melanggar perjanjian dengan Rasulullah. Menjelang pelaksanaan hukuman pancung, Huyayy berkata kepada Rasulullah, “Demi Allah, aku tidak pernah menyesal kerana memusuhimu.”
Perkahwinan Safiyyah binti Huyayy dengan Rasulullah SAW
Pernikahan Rasulullah dengan Safiyyah binti Huyayy berlaku ketika pasukan kaum Muslimin berjaya menghancurkan benteng Khaibar. Safiyyah binti Huyayy termasuk dalam kalangan tawanan wanita yang diperisteri oleh Rasulullah. Sebahagian kaum Muslimin berkata kepada baginda, “Safiyyah ialah tokoh daripada Bani Quraizah dan Bani Nadir. Dia tidak layak untuk sesiapa pun selain engkau.” Namun, kaum Muslimin tidak mengetahui sama ada Safiyyah akan dijadikan isteri atau hamba. Apabila Rasululla menutup wajah Safiyyah dengan hijab, semua orang mengetahui bahawa baginda mengambilnya sebagai isteri.
Anas RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW memerdekakan Safiyyah dan menjadikan kemerdekaannya sebagai maharnya. Adapun Abu Musa menyatakan bahawa Rasulullah bersabda tentang seseorang yang memerdekakan hamba wanita miliknya, kemudian mengahwininya, “Dia akan memperoleh dua pahala.” [HR Muslim]
Ketika Rasulullah membawa Safiyyah ke Madinah, para wanita Madinah telah bersedia untuk menyambut kedatangan mereka. Mereka berkata, “Semoga Allah menjauhkan wanita Yahudi itu.” Perkahwinan Rasulullah dengan Safiyyah telah menimbulkan reaksi negatif daripada kaum Muslimin. Bahkan, mereka memperlekehkan Rasulullah kerana perkahwinan tersebut, padahal baginda justeru mengahwini anak perempuan kepada orang yang memusuhinya sepanjang hayatnya. Allah SWT berfirman,
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan RasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, serta menyediakan bagi mereka azab yang menghinakan.” [TMQ al-Ahzab: 57]
Reaksi negatif juga datang daripada Aisyah apabila Rasulullah meminta pendapatnya tentang Safiyyah. Aisyah menjawab, “Aku melihatnya sebagai seorang wanita Yahudi.” Rasulullah membantahnya dengan bersabda, “Janganlah engkau berkata demikian, kerana sesungguhnya dia telah memeluk Islam dan baik keislamannya.”
Pada suatu hari, Safiyyah menangis kerana isteri Rasulullah yang lain berkata kepadanya, “Anak perempuan seorang Yahudi!” Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya engkau ialah anak perempuan seorang nabi, bapa saudaramu seorang nabi, dan engkau pula berada di bawah naungan seorang nabi. Jadi, atas alasan apakah dia mengejekmu?” Kemudian, baginda bersabda kepada Hafsah, “Bertakwalah kepada Allah, wahai Hafsah!”
Kata-kata Rasulullah SAW ini menjadi penenang, pelindung dan sumber keamanan bagi Safiyyah. Selepas itu, setiap kali mendengar ejekan daripada isteri Nabi yang lain, beliau akan berkata, “Bagaimanakah kalian boleh menganggap diri kalian lebih baik daripadaku, sedangkan suamiku ialah Muhammad, ayahku ialah Harun, dan bapa saudaraku ialah Musa?”
Safiyyah binti Huyayy, Wanita Istimewa
Keistimewaan Safiyyah ialah kejujurannya. Zaid bin Aslam menceritakan bahawa ketika Rasulullah jatuh sakit yang membawa kepada kewafatan baginda, Safiyyah binti Huyayy berkata, “Wahai Nabi Allah, sesungguhnya aku lebih suka jika penyakitmu itu berpindah ke tubuhku.” Isteri-isteri Rasulullah yang lain saling memberikan isyarat sambil menyindirnya. Rasulullah memandang mereka, lalu bersabda, “Muntahkanlah!” Mereka bertanya, “Apakah yang harus kami muntahkan?” Baginda menjawab, “Sindiran kamu terhadap Safiyyah. Demi Allah, sesungguhnya dia benar-benar jujur kepadaku.”
Safiyyah juga seorang yang pemaaf dan sentiasa berbuat baik. Hal ini terserlah apabila hamba perempuannya mengadukannya kepada Umar yang ketika itu merupakan khalifah. Hamba tersebut berkata, “Sesungguhnya Safiyyah sangat menyukai hari Sabtu dan menjalin hubungan baik dengan orang-orang Yahudi.” Mendengar perkara itu, Umar mengutus seseorang untuk bertanya secara langsung kepada Safiyyah.
Dalam jawapannya, Safiyyah berkata, “Tentang hari Sabtu, aku tidak lagi menyukainya setelah Allah menggantikannya dengan hari Jumaat. Tentang hubunganku dengan orang-orang Yahudi, sesungguhnya aku masih mempunyai kaum kerabat daripada kalangan mereka, maka aku tetap menjalin hubungan baik dengan mereka.”
Kemudian, Safiyyah bertanya kepada hambanya, “Apakah yang mendorongmu melakukan semua itu?” Hamba itu menjawab, “Godaan syaitan.” Safiyyah berkata, “Kalau begitu, pergilah! Engkau kini telah merdeka.”
Safiyyah sebenarnya boleh membalas perbuatan hambanya itu. Namun, beliau sebaliknya menunjukkan sikap pemaaf. Malah, beliau membalas perbuatan tersebut dengan kebaikan. Oleh sebab itu, Ibnu Kathir berkata dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah, “Safiyyah ialah seorang wanita yang sangat menonjol dalam ibadah, kewarakan, kezuhudan, kebaikan dan sedekah. Semoga Allah meredhainya dan menjadikannya redha.”
Dalam pelbagai riwayat, diceritakan bahawa Safiyyah merupakan seorang wanita yang cantik, berbudi luhur dan santun. Terdapat sebuah riwayat yang menyebutkan bahawa ketika hendak meninggalkan Khaibar, Nabi membantu Safiyyah menaiki unta dengan menjadikan paha baginda sebagai tempat berpijak bagi Safiyyah. Namun, sebagai tanda kesopanan dan penghormatan kepada Nabi, Safiyyah menggunakan lututnya di atas paha baginda untuk menaiki unta.
Safiyyah juga banyak menghafaz ayat-ayat al-Quran dan meriwayatkan hadis-hadis kepada kaum wanita di sekelilingnya. Beliau melakukannya sebagai pengamalan terhadap firman Allah SWT: “Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah dan hikmah (sunah Nabi kamu). Sesungguhnya Allah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.” [TMQ al-Ahzab (33): 34]
Pengajaran yang Berharga
Walaupun berasal daripada keturunan Yahudi, malah ayahnya merupakan pemuka Yahudi yang menjadi musuh besar kaum Muslimin, kita melihat bahawa setelah Safiyyah memeluk Islam, keislamannya adalah baik. Beliau taat beribadah, jujur, pemaaf, suka berbuat baik, tetap menjalinkan silaturahim dengan kaum kerabatnya, tekun menuntut ilmu dan menyampaikan semula ilmu tersebut kepada kaum wanita di sekelilingnya. Ini bermakna bahawa kekufuran seseorang pada masa lalu sewajarnya tidak menjadi penghalang bagi seorang mualaf untuk menjadi insan yang taat dengan tahap ketaatan yang tinggi.
Malah, Safiyyah menyampaikan semula ilmu yang dipelajarinya daripada sumbernya kepada masyarakat luas. Hal ini demikian kerana beliau menyedari bahawa perbuatan tersebut merupakan sebahagian daripada ketaatannya. Beliau berusaha mengejar ketertinggalannya dalam aspek ilmu, ibadah, akhlak, cara berpakaian, bermuamalah dan sebagainya. Beliau berusaha mempelajari semua aspek tersebut sehingga dapat menjadi seorang Muslimah sejati sebagaimana yang dituntut oleh Allah ‘Azza wa Jalla, tanpa membezakan sama ada seseorang itu Muslim sejak lahir atau seorang mualaf. Beliau ialah seorang Muslim yang telah baligh dan berakal, maka tertakluk kepadanya tuntutan hukum syarak. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]
Terdapat banyak pengajaran berharga daripada keperibadian Safiyyah sebagai seorang mualaf untuk setiap orang yang telah menjadi Muslim sejak lahir. Sepatutnya, apa yang dilakukan oleh Safiyyah mendorong kita untuk meningkatkan mutu keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Kita tidak sepatutnya malas meningkatkan kualiti diri, keimanan dan ketaatan hanya kerana merasakan bahawa kita telah menjadi Muslim sejak lahir.
Tidak sedikit umat Islam yang masih terjerumus dalam kemusyrikan atau terperangkap dalam gaya hidup permisif yang lahir daripada sistem sekular liberal. Meyakini kewujudan Pencipta merupakan suatu kewajipan, solat merupakan suatu kemestian dan ibadah haji perlu diusahakan. Namun begitu, masih ramai orang yang menolak peraturan Allah, sama ada dalam urusan pergaulan antara lelaki dengan perempuan, kehidupan berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara. Malah, ada yang memilih peraturan Allah mengikut selera mereka sendiri.
Jelaslah bahawa Safiyyah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan segala bentuk ketaatan kepada Allah SWT. Beliau berusaha mengejar ketertinggalannya setelah sekian banyak waktu dalam kehidupannya berlalu dengan sia-sia ketika masih kafir. Maka, tidak hairanlah jika beliau menggunakan setiap waktunya untuk beribadah kepada Allah. Kedekatannya dengan Nabi mendorongnya untuk banyak mempelajari ilmu dan mengamalkannya, sekali gus mengukuhkan pemahaman agamanya sebagai bekalan bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.
Wallahu a‘lam bissawab.
#SrikandiTeladan #Sahabiyah #UmmulMukminin #MuslimahIdeal