Ummu Sulaim, Ibu yang Tabah dan Melahirkan Sahabat yang Mulia
Penulis: Nabila Ummu Anas
Ummu Sulaim binti Malhan bin Khalid bin Zaid bin Hiram bin Jundub al-Anshariyah adalah ibu dari Anas bin Malik. Apabila suaminya, Malik bin Nadhir, mengetahui Ummu Sulaim masuk Islam, dia sangat marah dan meminta isterinya untuk kembali menyembah berhala. Walaubagaimanapun, Ummu Sulaim tetap dalam pendiriannya.
Setelah memeluk Islam, Ummu Sulaim mengajar Anas bin Malik mengucapkan dua kalimah syahadah. Anaknya patuh, lalu berkata, “La ilaaha illalah, Muhammadur Rasulullah.” Setelah mengetahui hal ini, suaminya menjadi marah lagi. Kemudian dia berkata kepada isterinya, “Jangan sakiti anakku!” Ummu Sulaim menjawab, “Aku tidak menyakitinya.”
Sabar Mendidik Anak
Ummu Sulaim tetap sabar dan bertekad mendidik Anas bin Malik, walaupun tidak disokong oleh suaminya. Sehingga suaminya meninggal, Ummu Sulaim tetap gigih menanamkan rasa cinta kepada Allah dan RasulNya, meskipun Anas sendiri belum pernah bertemu Rasulullah SAW. Bimbingan yang dilakukan ibunya mendorong Anas bertekad apabila dia sudah besar akan pergi menemui Nabi Muhammad SAW.
Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim dan Anas bin Malik bertemu dengannya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, anakku, Anas yang masih kecil ini, jadikanlah dia hambamu. Semoga engkau mendoakannya.” Nabi SAW berkata, “Ya Allah, tambahkanlah harta dan anak-anakmu.” Kemudian, ketika usianya sudah tua, Anas berkata, “Demi Allah, aku mempunyai banyak harta, anak-anak dan cucu-cucuku akan mencapai 100 orang.”
Anas berkata, “Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika aku berumur 10 tahun. Baginda wafat ketika aku berumur 20 tahun. Ibuku selalu menggalakkan aku untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Sesungguhnya, berkhidmat kepada Rasulullah SAW adalah satu kebanggaan di dunia dan kehormatan di akhirat.”
Setiap kali pulang dari rumah Rasulullah SAW, Anas bin Malik menceritakan semua pengalamannya kepada ibunya. Anas pernah berkata, “Demi Allah, aku menjadi pelayan Rasulullah SAW selama sembilan tahun. Tidak pernah sekalipun baginda mengulas apa-apa yang aku lakukan. ‘Kenapa kamu lakukan ini?’ Dan baginda tidak pernah mengulas sesuatu yang tidak aku kerjakan, ‘Mengapa kamu tidak lakukan ini?” [HR Muslim].
Anas pernah berkata, “Jika Rasulullah SAW disambut oleh seorang lelaki lain yang berjabat tangan dengannya, baginda tidak akan melepaskan tangannya hingga lelaki tersebut yang melepaskan tangannya. Baginda juga tidak akan memalingkan wajahnya daripada wajah orang itu sehingga orang itu yang memalingkan wajahnya terlebih dahulu. Baginda tidak pernah memajukan kedua lututnya melebihi teman duduknya.” [HR Abu Daud].
Ummu Sulaim selalu berpesan kepada Anas supaya melakukan hal yang diredhai Rasulullah dan menjauhi semua hal yang membuat baginda marah. Tsabit berkata bahawa Anas bin Malik pernah berkata, “Rasulullah SAW mendatangiku ketika aku sedang bermain-main dengan anak-anak yang lain. Baginda mengucapkan salam kepada kami, lalu baginda mengutuskan aku untuk suatu keperluan, sehingga aku terlambat pulang ke rumah ibuku. Ketika sampai di rumah, ibuku bertanya, Kenapa pulang lambat?” Aku menjawab, “Rasulullah SAW mengutuskan aku untuk suatu keperluan.” Ibuku kembali bertanya “Keperluan apa?” Aku menjawab “Ini rahsia, Ibu.” Ibuku berkata “Jangan diceritakan kepada sesiapa pun.” Anas berkata kepada Tsabit, “Demi Allah, seandainya aku boleh menceritakan kepada seseorang, tentu aku akan bercerita kepadamu.” [HR Muslim].
Mengutamakan Allah dan RasulNya
Ketika masyarakat membicarakan kemuliaan Ummu Sulaim dan Anas bin Malik, Abu Thalhah yang masih musyrik memberanikan diri meminang Ummu Sulaim. Abu Thalhah sanggup memberikan mas kahwin dalam bentuk emas dan perak. Akan tetapi, Ummu Sulaim bukanlah wanita biasa. Dia seorang muslimah sejati yang bijak. Dunia dan segala isinya langsung tidak bernilai di matanya. Dia menjawab permintaan Abu Thalhah, “Orang sepertimu tidak layak ditolak, tetapi kamu seorang kafir, sedangkan aku seorang wanita Muslim. Aku tidak boleh berkahwin denganmu. Aku tidak mahu emas dan perak. Aku mahu kamu masuk Islam.” Abu Talhah bertanya, “Apa yang harus aku lakukan?” Ummu Sulaim menjawab, “Bertemu dengan Rasulullah SAW.”
Kemudian, Abu Thalhah menemui Rasulullah SAW yang sedang bersama sahabatnya. Melihat kedatangan Abu Thalhah, Rasulullah SAW bersabda, “Abu Thalhah datang dengan semangat masuk Islam.” Di depan Rasul, Abu Thalhah menceritakan apa yang dikatakan Ummu Sulaim. Dia pun kemudian masuk Islam dan berkahwin dengan Ummu Sulaim.
Keluarga yang Mendapat Rahmat
Abu Hurairah menuturkan bahawa seorang lelaki pernah menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasul, kami mengalami kebuluran.” Rasul bertanya kepada isteri-isterinya. Ternyata mereka tidak memiliki satu makanan pun. Rasul lalu berkata kepada sahabat-sahabatnya, “Sesiapa yang menjamu orang ini, pasti dia dirahmati Allah.” Seorang lelaki Ansar berdiri, lalu berkata, “Saya sanggup, ya Rasul.” Sahabat ini lalu mengajak tetamu tadi ke rumahnya. Dia berkata kepada isterinya, “Di ruang tamu ada tetamu Rasulullah SAW. Hidangkan semua makanan yang kita ada.” Isterinya menjawab, “Demi Allah, kita hanya mempunyai makanan untuk anak kecil kita.” Suami itu berkata, “Kalau begitu, jika anak kita lapar dan meminta makan malam, cubalah tidurkan dia. Setelah itu, pergilah ke ruang tamu dan jangan lupa tutup lampu. Biarlah malam ini kita mengikat perut kita.” Isteri itu melakukan seperti yang diminta oleh suaminya.
Keesokan harinya, lelaki itu bertemu Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda, “Allah takjub kepada sepasang suami isteri tersebut.” Suami isteri itu adalah Abu Thalhah dan Ummu Sulaim. Allah SWT berfirman, “… Dan mereka (orang-orang Ansar) mengutamakan orang-orang Muhajirin atas diri mereka sendiri. Sekali pun mereka sangat memerlukan. …” [TMQ al-Hasyr (59): 9].
Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku masuk syurga. Aku terdengar suara tapak kaki. Aku bertanya, ‘Siapa ini?’ Para malaikat menjawab, ‘Dia adalah Ghumaisa binti Malhan, ibu Anas bin Malik.” [HR Muslim]
Ummu Sulaim merupakan seorang sahabiyah yang mulia. Dia seorang ibu yang tabah, sabar dan gigih dalam mendidik anaknya, Anas bin Malik. Dia mendidiknya dengan iman dan taqwa sejak Anas kecil sehinggalah dia menjadi sahabat yang banyak meriwayatkan hadis-hadis Rasulullah SAW. Sesungguhnya Ummu Sulaim harus menjadi contoh teladan bagi para ibu masa kini. Kecintaannya kepada Allah dan RasulNya merupakan motivasi yang kuat dalam menyediakan generasi yang berkualiti seperti Anas bin Malik RA. Wallahu a’lam bissawab.
#SrikandiTeladan #KisahSahabiyah #UmmuSulaim #MuslimahIdeal #IbuSolehah