[Tapak Tilas] Mengejar Solat dan Berdoa di Taman Syurga
Penulis: Siti Nafidah Anshory
Siapa yang tidak ingin berkunjung ke salah satu taman syurga alias Raudhah? Itulah sebutan Rasulullah saw bagi kawasan antara rumah Aisyah ra dan mimbarnya. Beliau ﷺ bersabda,
مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ
“Tempat yang terletak di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu di antara taman-taman syurga (riyadhul jannah).” (HR Bukhari-Muslim)
Ia merupakan kawasan kecil sahaja. Hanya kira-kira 22×15 m², terletak di zon tenggara Masjid Nabawi. Bertepatan di hadapan makam Rasulullah saw dan dua sahabatnya radhiyallaahu ‘anhuma.
Di sinilah biasanya jemaah haji dan umrah akan berebut tempat. Mereka berharap dapat menunaikan solat sunat atau berdoa dengan khusyuk. Maklumlah, walaupun tidak ada dalil yang sah, Raudhah dipercayai sebagai salah satu tempat yang mustajab.
Suasana Menunggu Menuju Raudhah
Sebelum pandemik, jadual masuk ke Raudhah bagi pengunjung wanita biasanya dibahagikan kepada tiga, iaitu selepas waktu Dhuha sehingga menjelang Zuhur, selepas Zuhur sehingga menjelang Asar, dan selepas Isyak sehingga tengah malam. Manakala bagi lelaki waktunya bebas di luar waktu solat. Tetapi semasa pandemik, jadualnya lebih sempit. Menurut maklumat yang penulis terima, untuk sesi pagi sahaja hanya diberi waktu pada pukul 06.30 sehingga pukul 07.00 waktu tempatan.
Adapun untuk masuk ke Raudhah, jemaah lelaki dan wanita masuk dari pintu yang berbeza. Sebelum pandemik, jemaah wanita biasanya masuk dari pintu masjid bernombor 25 atau 29. Namun, ketika pandemik, akses masuk adalah dari pintu bernombor 24. Sementara untuk lelaki tetap masuk melalui pintu Babussalam (nombor 1).
Situasi pandemik telah membawa banyak perubahan. Jemaah yang sedikit tentunya lebih memudahkan mereka yang ingin berziarah ke Raudhah. Bagi wanita, komitmen sebelum pandemik biasanya lebih panjang dan pastinya memerlukan kesabaran. Ini kerana sebelum memasuki kawasan Raudhah, mereka hendaklah memasuki ruang menunggu di dalam masjid yang disusun mengikut bahasa yang digunakan. Terdapat kumpulan pengunjung yang bertutur dalam bahasa Arab, Melayu, dan Inggeris.
Namun ketika pandemik, deretan jemaah telah bermula memandangkan para jemaah masih berada di luar masjid untuk memeriksa suhu dan lain-lain. Sambil menunggu, setiap kumpulan jemaah biasanya diberi arahan oleh petugas wanita sama ada tentang niat, adab ziarah, mahupun perkara-perkara yang dilarang untuk dilakukan.
Berebut Karpet Hijau di Raudhah
Keadaan di Raudhah sendiri nampaknya mengalami perubahan. Pada waktu biasa, keadaan di kawasan wanita kadang-kadang menyedihkan. Jemaah yang tidak faham akan bersiku-siku tanpa adab. Kebanyakan para jemaah saling berebut dan berlari sehingga ada yang ditolak malah dipijak. Suasananya jauh dari beradab sopan.
Namun semasa pandemik, keadaan kelihatan lebih tenang. Para askar wanita tidak terganggu oleh jemaah wanita yang sukar dikawal. Mereka hanya fokus mengurus waktu masuk dan keluar sahaja. Di kawasan lelaki keadaannya jauh lebih teratur, baik pada waktu biasa, apatah lagi ketika pandemik. Jemaah yang datang bersedia beratur dengan tenang. Sehingga beradab sopan kelihatan lebih dijaga.
Biasanya, mereka menyasarkan karpet berwarna hijau. Karpet hijau inilah yang menandakan kawasan Raudhah, iaitu “taman syurga” yang ada di antara mimbar dan rumah Rasulullah. Tetapi sekarang, karpet hijau tidak lagi boleh menjadi penanda aras. Ini kerana kawasan di luar Raudhah juga dipasang karpet hijau. Akibatnya, pengunjung mesti mengetahui kawasan Raudhah berdasarkan tanda lain yang ada di situ.
Apa yang jelas, di kawasan Raudhah ini pengunjung biasanya saling berebut tempat. Targetnya, selain ingin mendekati kawasan makam untuk menyampaikan salam kepada Rasulullah ﷺ dan kedua-dua sahabat beliau, juga berusaha agar dapat solat dan berdoa dengan doa-doa terbaik mereka.
Mengenali Tiang-Tiang (Usthuwanah) Bersejarah di Kawasan Raudhah
Di kawasan Raudhah ada enam tiang bersejarah, iaitu:
Pertama, ia dinamakan sebagai Tiang Utusan, iaitu tiang yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebagai tempat menerima para utusan yang datang.
Kedua, Tiang Pengawal, iaitu tempat berdirinya para pengawal Rasulullah ﷺ.
Ketiga, Tiang Tempat Tidur, iaitu tiang yang biasa digunakan sebagai tempat Rasulullah ﷺ tidur ketika beriktikaf.
Keempat, Tiang Abu Lubabah, iaitu tiang tempat Abu Lubabah mengikat dirinya kerana menyesal telah membocorkan rahsia kepada Yahudi.
Kelima, Tiang Aisyah, yang ditunjukkan oleh Aisyah ra sebagai tempat Rasulullah ﷺ mengimami solat berjemaah.
Keenam, Tiang Mukhalaqah, iaitu tempat Nabi ﷺ bersandar pada pokok kurma ketika khutbah Jumaat. Selain keenam-enam tiang tadi, mihrab Rasulullah juga terletak di Raudhah. Hanya sahaja, ahli sejarah percaya bahawa bentuk mihrab ini sangat berbeza daripada yang asal. Mihrab dengan bentuk melengkung dan berukir ini dipercayai telah dibuat pada zaman Khalifah Al-Walid II.
Ziarah untuk Tapak Tilas
Mengunjungi Raudhah bukan sekadar mengejar keberkatan kerana kawasan Raudhah sebenarnya penuh dengan sejarah perjuangan Rasulullah ﷺ. Di kawasan inilah beliau ﷺ mula menubuhkan sebuah masyarakat baru yang di asaskan atas akidah Islam. Di mihrabnya, beliau mengimami solat. Di mimbarnya, beliau menyatukan umat. Berhampiran dengan tiang-tiang itu, jelas sekali beliau menjalankan fungsi sebagai ketua negara, pemimpin umat.
Oleh itu, apabila kita menziarahi dan berselawat di Raudhah, maka semakin bertambah kecintaan kita kepada Rasulullah ﷺ. Bukan sahaja pada sosoknya yang mulia, tetapi dalam segala risalah yang telah diperjuangkan sepanjang hayatnya.
Sesungguhnya, hari ini kita hidup dalam zaman yang penuh dengan fitnah. Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ terus mendapat serangan dari musuh-musuh peradabannya, baik secara halus mahupun terang-terangan. Umatnya juga sudah lama kehilangan kemuliaan mereka. Oleh itu, berziarah ke Raudhah akan memberi motivasi tersendiri kepada umat Islam, khususnya kepada pendakwah. Tempat ini akan mengingatkan mereka bahawa terdapat kesetaraan antara perjuangan mereka hari ini dengan perjuangan Rasulullah saw pada 1,400 tahun yang lalu.
Mereka akan berusaha istiqamah menempuh jalan yang beliau ﷺ lalui sebagai bentuk keimanan dan kecintaan mereka. Sambil sentiasa ingat dengan firman Allah SWT,
قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي ۖ وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Katakanlah, “Inilah jalanku. Aku dan orang-orang yang mengikutiku menyeru kepada Allah dengan keterangan yang nyata. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik.” [TMQ Yusuf (12): 108]
Mereka juga akan lebih yakin bahawa pengakhiran dari perjuangan adalah kemenangan, sebagaimana perjuangan dan dakwah Rasulullah ﷺ. Cuma, mereka perlu bersedia menghadapi segala ujian dan tentangan kerana itulah yang beliau ﷺ dan sahabatnya alami pada jalan dakwah dan perjuangan.
Disarikan daripada berbagai sumber.
#tapaktilas #Raudhah #TamanSyurga
#Keberkatan #SejarahIslam #CintaNabi
#perjuanganNabi