[Tokoh Inspirasi] Kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz
Khalifah Umar bin Abdul Aziz (684-720 M) adalah seorang pemimpin yang soleh, bijaksana, dan dekat dengan rakyatnya. Sosoknya sangat legenda sehingga beliau digelar Khulafa ur-Rasyidin yang ke-lima.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilahirkan di Madinah pada tahun 63 Hijriah. Ayahnya bernama Abdul Aziz, anak kepada Khalifah Marwan bin Al-Hakam yang merupakan sepupu kepada Khalifah Uthman bin Affan ra. Ibunya adalah Laila, cucu kepada Khalifah Umar bin Khathab ra.
Pada zaman kepimpinan Umar bin Abdul Aziz, Khalifah Dinasti Umayyah menghantar seorang petugas pemungut zakat, Yahya bin Said untuk mengutip zakat ke Afrika. “Setelah memungutnya, saya berhasrat untuk memberikannya kepada orang miskin. Namun, saya tidak menjumpai seorang pun,” ujar Yahya. Pada zaman itu, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengeluarkan rakyatnya daripada kemiskinan. Semua rakyatnya hidup dengan kecukupan yang baik. “Akhirnya, saya memutuskan untuk membeli seorang hamba dan kemudian membebaskannya,” kata Yahya bin Said.
Kemakmuran umat pada ketika itu, tidak hanya berlaku di Afrika, malah merata di seluruh penjuru wilayah kekuasaan Islam seperti Iraq dan Basrah. Abu Ubaid meriwayatkan bahawa, Khalifah Umar bin Abdul Aziz menghantar surat kepada Hamid bin Abdurrahman, Gabenor Iraq, agar membayar semua gaji dan hak tetap di wilayah itu. “Saya telah membayar semua gaji dan hak mereka. Namun, di baitul mal wang masih banyak,” kata Gabenor dalam surat jawapannya.
Khalifah Umar kemudian memerintahkan, “Carilah orang yang dikelilingi hutang, tetapi tidak boros. Berilah dia wang untuk membayar hutangnya!” Abdul Hamid kembali membalas surat Khalifah Umar, “Saya sudah membayar hutang mereka, tetapi masih banyak wang dalam baitul mal.”
Khalifah lalu memerintahkan lagi, “Kalau begitu apabila ada orang bujang yang tidak mempunyai harta kemudian dia ingin berkahwin, kahwinkan dia dan bayarkanlah maharnya!” Abdul Hamid kembali membalas surat khalifah, “Saya telah mengahwinkan semua orang yang ingin berkahwin.”
Namun, ternyata dana yang tersimpan dalam baitul mal masih banyak. Khalifah Umar kemudian memberi arahan, “Carilah orang yang biasa membayar jizyah dan kharaj. Jika ada yang kekurangan modal, berilah mereka pinjaman agar mampu mengusahakan tanah mereka. Kami tidak menuntut pemulangannnya kecuali setelah dua tahun atau lebih.”
Sebenarnya, baitul mal telah ditubuhkan secara rasmi pada zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab. Namun, asal usulnya telah mula dikenali sejak zaman Rasulullah SAW. Ketika Nabi Muhammad SAW. menerajui pemerintahan di Madinah, baitul mal masih belum diinstitusikan. Rasulullah SAW. secara adil memperuntukkan pendapatan yang diterima bagi jawatan yang telah ditetapkan. Penginstitusian baitul mal juga masih belum ditetapkan semasa Abu Bakar ash-Shiddiq menjadi Khalifah. Pengurusan dana yang dilaksanakan oleh khalifah pertama masih mengikuti corak yang diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW.
Seiring bertambah luasnya wilayah kekuasaan Islam, pengurusan kewangan juga menjadi lebih kompleks. Atas dasar pertimbangan tersebut, Khalifah Umar bin Khattab memutuskan untuk menginstitusikan baitul mal menjadi institusi rasmi. Lebih-lebih lagi pada zaman Umar, wilayah pemerintahan Islam sudah melebihi semenanjung Arab.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2022/10/12/12734/
#TokohInspirasi
#KhalifahUmarBinAbdulAziz
#PemimpinBijaksana
#PemerintahanIslam
#PengurusanBaitulmal