[Soal-Jawab] Hukum Menimbulkan Ketakutan kepada Masyarakat
Oleh: Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, apa hukumnya menimbulkan ketakutan di tengah-tengah masyarakat?
Jawapan:
Dengan mengkaji fakta dan nas-nas syarak yang terkait, tindakan menimbulkan ketakutan pada masyarakat menurut kami hukumnya boleh jadi haram dan boleh jadi harus.
Menimbulkan ketakutan yang diharamkan adalah jika yang menjadi sasaran adalah masyarakat awam dan tidak terkait dengan perang antara kaum muslim dan kaum kafir. Ini dapat dilakukan melalui keganasan secara mental (non-fizikal), misalnya seseorang menelefon sebuah hotel dan memberitahu dalam hotel itu terdapat bom yang akan meletup. Atau dengan seseorang melakukan tindakan kekerasan (fizikal), misalnya mengebom atau membakar aset milik peribadi seperti hotel dan kafe, atau aset milik awam, seperti jambatan, tol, dan sebagainya. Atau dengan seseorang melakukan kejahatan seperti pembunuhan, rompakan, penculikan dan sebagainya.
Tindakan yang dapat menimbulkan ketakutan masyarakat seperti ini diharamkan secara syarie, di mana dalilnya jelas dapat dilihat dari Al-Quran dan Sunnah.
Dalil Al-Quran adalah ayat-ayat yang melarang membuat kerosakan di muka bumi (ifsad fil ardh). Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanaman dan binatang ternak, dan Allah SWT tidak menyukai kerosakan (fasad).” [TMQ al-Baqarah (2): 205].
Ayat ini secara umum bermaksud melarang segala tindakan yang akan menimbulkan kerosakan di muka bumi [Tafsir Ibnu Kathir, 3/9], maka menimbulkan ketakutan pada masyarakat haram hukumnya kerana termasuk dalam tindakan yang menimbulkan kerosakan di muka bumi (ifsad fil ardh). [‘Isham bin Hisyam Al-Jafri, Al-Irhad al-Asbab wa Al-‘Ilaj, hlm. ].
Adapun dalil dari As- Sunnah, adalah riwayat Abdurrahman bin Abi Laila RA. bahawa sebuah rombongan sahabat pernah pergi bersama Nabi SAW. Lalu ketika seorang dari mereka tidur, ada di antara kalangan mereka yang mengambil tali milik sahabat yang sedang tidur ketika itu sehingga dia ketakutan. Maka Nabi SAW bersabda,”Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan muslim yang lain.” [HR Abu Daud, No. 4351] [Imam Syaukani, Nailul Authar, 9/119].
Imam Syaukani mengatakan bahawa ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa kita tidak di benarkan menakut-nakutkan seorang muslim walaupun sekadar berpura-pura atau secara bergurau. [Nailul Authar, 9/121].
Namun, menimbulkan ketakutan di tengah-tengah masyarakat hukumnya boleh jadi harus, iaitu jika terkait dengan perang (jihad) antara kaum muslim dan masyarakat musuh yang non-muslim. Tindakan ini disebut irhabul ‘aduwwi, iaitu menggentarkan atau menakut-nakutkan musuh dengan cara mendemonstrasikan persiapan kekuatan militer (i’daad al-quwwah) umat Islam. Misalnya, dengan cara melakukan percubaan senjata nuklear, peluncuran roket, latihan perang yang dibuat secara besar-besaran dan sebagainya. Tindakan ini hukumnya harus (boleh) secara syarie. [Abdullah bin Al-Kailani Al-Awshif, Al-Irhab wa Al-‘Unfu wa at-Tatharruf fi DhauAl-Quran dan As-Sunnah, hal. 11].
Dalil yang menunjukkan ianya diharuskan terdapat dalam firman Allah SWT, yang bermaksud, “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah SWT, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ al-Anfaal (8): 60].
Bahkan hukumnya bukan sekadar harus, tetapi wajib. Imam Ibnu Hazm menyimpulkan hukum dari ayat di atas dengan berkata,”Wajib hukumnya atas kita untuk menimbulkan kegentaran kepada mereka.” [Ibnu Hazm, Al-Muhalla, 7/350]. Wallahu’alam.