[Tarikh Khulafa] Al-Walid bin Yazid bin Abdul Malik (125—126 H)
Penulis: Nabila Ummu Anas
Ketika Hisyam bin Abdul Malik wafat di Ar-Rashafah pada Rabiulakhir 125 H, Al-Walid bin Yazid bin Abdul Malik bin Marwan (Al-Walid II) menyembahyangkannya, kemudian dia dibaiat sebagai khalifah selepas bapa saudaranya meninggal dunia pada hari itu juga. Kepemimpinannya hanya berlangsung selama satu tahun. Al-Walid II dibunuh di istananya yang berada di sebuah perkampungan bernama Al-Bukhra pada Khamis 28 Jamadilakhir 126 H dalam sebuah kudeta berdarah yang dipimpin saudara sepupunya Yazid bin Al-Walid bin Abdul Malik.
Meneruskan Projek Kemaslahatan Rakyat
Al-Walid II memulakan pemerintahannya dengan menambah gaji angkatan bersenjata. Hal ini dilakukannya kerana banyaknya harta baitul mal yang ditinggalkan Hisyam bin Abdul Malik, khalifah sebelumnya. Al Walid II juga memanfaatkan harta baitul mal untuk projek-projek kemaslahatan masyarakat.
Ibnu Katsir menuturkan, “Kemudian Al Walid II memperlihatkan sikap dan perilaku yang baik kepada masyarakat pada awal pemerintahannya. Dia memerintahkan pemberian fasiliti kepada orang-orang yang menderita penyakit kronik, cacat, dan buta. Masing-masing berhak mendapatkan pembantu yang melayaninya. Dia juga mengeluarkan dana dari baitul mal untuk aktiviti sosial dan umat Islam yang memerlukan. Dia juga menambahkan gaji warganya, terutama penduduk negeri Syam dan para pendatang. Al-Walid bin Yazid adalah seorang dermawan, layak mendapat penghargaan dan seorang penyair agung. Setiap kali dia dimintai sesuatu, pastilah jawapannya ‘Ya.’.”
Kudeta dan Pembunuhan terhadap Al–Walid II
Pemberontakan terhadap Al-Walid II tidak berpunca daripada kaum Khawarij, kelompok Syiah, ataupun musuh-musuh Bani Umayyah yang lain, melainkan dari kalangan saudara sepupunya sendiri yang dipimpin Yazid bin Al Walid bin Abdul Malik. Di samping itu, fanatisme kesukuan juga memainkan peranan penting dalam kudeta ini. Suku Yaman berdiri di belakang Yazid bin Al-Walid.
Ibnu Katsir meriwayatkan bahawa salah satu yang menjadi bumerang terhadap Al-Walid II sehingga menyebabkan kematiannya adalah tindakannya merosakkan hubungan dengan saudara-saudara sepupunya, yakni anak-anak Hisyam dan Al-Walid yang keduanya adalah putera Abdul Malik.
Ditambah lagi dengan tindakannya merosakkan hubungan dengan kelompok Yaman, padahal mereka adalah perajurit terkuat di Khurasan, yakni ketika Al-Walid II menyerahkan Khalid bin Abdullah Al-Qusari kepada musuhnya, Yusuf bin Umar ats-Tsaqafi, Gabenor Irak yang kemudian terus menerus menghukum Khalid hingga tewas. Oleh kerana itu, kelompok Yaman berbalik melawannya, menyatakan pembangkangan terhadapnya, dan berakhir dengan pembunuhan Al-Walid II.
Ibnu Jarir juga meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Al-Walid II menghukum Sulaiman bin Hisyam saudara sepupunya dengan hukuman sebat seratus kali, mencukur rambut dan janggutnya, kemudian mengasingkannya ke Oman, dan memasukkannya ke penjara di sana. Dia juga memenjarakan Yazid bin Hisyam.
Terbunuhnya Al-Walid II dan Terpecahnya Bani Umayyah
Pembunuhan Khalifah Al-Walid II merupakan insiden awal kebinasaan negara Bani Umayyah. Sebahagian anggota Bani Umayyah menyedari bahaya akibat kudeta terhadap khalifah bagi seluruh Bani Umayyah. Salah seorang di antara mereka adalah Abbas bin Al-Walid, adik Yazid si pemimpin kudeta. Abbas sudah berusaha mencegah abangnya agar tidak melakukan kudeta dan mengingatkan kesan buruknya.
Abbas bin Al-Walid saat itu menjadi Wali Kota Armenia. Dia mengirim surat kepada Sa’id bin Abdul Malik bin Marwan, saudara sepupunya. Dia meminta Sa’id untuk mencegah masyarakat mencabut baiat mereka bagi Khalifah Al-Walid II. Abbas juga menjelaskan kepada Sa’id berbagai kesan negatif kudeta.
Di antara nasihat yang disampaikan Abbas bin Al-Walid, “Aku benar-benar takut kepada Allah jika aku tidak mencegah mereka kerana aku tahu betul perpecahan menyebabkan kerosakan pada agama dan dunia. Aku juga tahu kekuasaan suatu kaum hanya akan hilang ketika mereka tercerai-berai. Apabila persatuan mereka telah terkoyak, maka musuh-musuh mereka rakus melahapnya.”
Namun, usaha Sa’id bin Abdul Malik gagal, sebagaimana gagalnya usaha Abbas bin Al-Walid dalam menghentikan pemberontakan terhadap Khalifah Al-Walid II. Akibatnya Khalifah Al-Walid II dibunuh dan bermulalah episod negara berjalan menuju kehancurannya.
Kesan langsung pembunuhan sang khalifah itu adalah terpecahnya Bani Umayyah sendiri, mereka saling menyerang antara satu sama lain. Perpecahan Bani Umayyah ini menghendaki mereka kehilangan kubu Arab terbesar yang selama ini memiliki peranan besar dalam pendirian Dinasti Umayyah dan menjadi salah satu tiang terpentingnya, iaitu kelompok Arab Yaman di negeri Syam dan Khurasan. Kelompok Yaman ini bukan hanya menarik dukungan mereka terhadap Bani Umayyah, tetapi juga berubah memusuhi mereka.
Sumber: Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah, Pustaka Al-Kautsar
#tarikhkhulafa #baniumayyah #sejarah #KeruntuhanBaniUmayyah