[Tarikh Khulafa] Yazid bin Abdul Malik (101—105 H)
Penulis: Nabila Ummu Anas
Yazid bin Abdul Malik bin Marwan bin Al-Hakam dibaiat sebagai khalifah selepas kewafatan Umar bin Abdul Aziz pada Rejab 101 H. Yazid II dilahirkan di Damaskus dan sebelum menjadi khalifah, dia banyak bergaul dengan para ulama. Hanya saja selepas beliau menduduki kerusi kekuasaan, para penasihatnya yang tidak hanif membiarkan penyimpangan yang dilakukan Yazid II sebagai ketua negara.
Salah Memilih Penasihat
Imam Ibnu Katsir mengatakan, “Ketika menjawat jawatan khalifah, Yazid II bertekad untuk meneladani sikap dan perjalanan hidup Umar bin Abdul Aziz. Namun, para penasihatnya yang buruk tidak membiarkan itu berlaku. Mereka menyebabkan Yazid II memandang baik terhadap kezaliman.”
Hal senada juga disampaikan oleh Harmalah, “Dari Ibnu Wahb dari Abdurrahman bin Zaid bin Aslam, dia bercerita, Ketika Yazid II menjawat jawatan khalifah, dia berkata kepada dirinya sendiri, ‘Berjalanlah sesuai perjalanan hidup Umar.’ Namun, hal ini dilakukan Yazid II hanya selama empat puluh hari. Setelah itu, dia mengundang empat puluh orang penasihat yang menyampaikan kepadanya bahawa para khalifah tidak akan dihisab dan diazab.”
Pernyataan ini dipertegas dengan kisah Umar bin Hubairah, Wali Irak yang diangkat oleh Yazid II ketika dia memanggil Asy-Sya’bi, Ibnu Sirin, dan Hasan al-Bashri. Umar bin Hubairah berkata kepada mereka, “Yazid bin Abdul Malik adalah khalifah Allah yang diangkat atas para hamba-Nya, dia mengambil baiat mereka untuk setia kepadanya dan mewajibkan kita untuk mendengar dan patuh pada perintahnya. Dia telah mengangkatku sebagaimana yang telah kalian lihat. Dia mengirimkan surat kepadaku berisi perintah yang mesti aku laksanakan. Aku pun menuruti perintahnya itu. Bagaimana menurut pendapat kalian?”
Ibnu Sirin dan Asy-Sya’bi mengutarakan jawapan yang mengandungi taqiyah (tidak berterus terang). Lantas Umar bin Hubairah berkata, “Bagaimana pendapatmu wahai Hasan?”
Nasihat Ulama untuk Penguasa
Hasan al-Bashri menjawab, “Wahai Ibnu Hubairah, takutlah terhadap Allah di jalan Yazid dan jangan takut kepada Yazid di jalan Allah, kerana Allah akan melindungimu dari Yazid, sedangkan dia tidak dapat melindungimu dari Allah. Aku khuatir kalau Allah mengutus malaikat-Nya kepadamu lalu menurunkanmu dari singgahsanamu, lalu mengeluarkanmu dari istanamu yang luas menuju lubang kuburmu yang sempit, lantas tidak ada yang dapat menyelamatkanmu kecuali amalmu. Wahai Ibnu Hubairah, aku mengingatkan engkau agar jangan sampai menderhakai Allah, kecuali Allah menjadikan kekuasaan ini sebagai penolong bagi agama Allah dan para hamba-Nya. Maka, jangan sampai engkau meninggalkan agama Allah dan hamba-hamba-Nya dengan kekuasaan Allah itu kerana tiada ketaatan pada mahluk dalam menderhakai Sang Khalik.”
Ulama Mencegah Kezaliman Penguasa
Tanggungjawab ulama sangatlah besar. Apabila mereka soleh, maka mereka dapat memperbaiki para umara (pemimpin). Apabila para umara soleh, maka urusan rakyat menjadi baik.
Andaikan pada setiap waktu dan tempat ada ulama setaraf Hasan al-Bashri yang berani menghadapi penguasa dengan nasihat yang tulus dan menyampaikan kebenaran, sudah tentu tidak ada penguasa yang berbuat zalim terhadap rakyatnya. Ini kerana keberadaan ulama yang soleh seperti itu akan mendorong masyarakat menuntut hak-hak mereka dan membuat mereka tidak tunduk kepada kezaliman. Dalam kondisi seperti ini, para penguasa tidak mempunyai pilihan selain memperhatikan keperluan rakyat.
Tidak dapat dinafikan, sangat besar pengaruh orang-orang di sekitar penguasa terhadap kepemimpinan mereka dalam mentadbir negara. Penguasa adalah manusia biasa yang diperebutkan banyak kepentingan. Apabila ada orang yang sentiasa mengingatkan akan besarnya tugas dan tanggungjawab seorang khalifah serta membuatnya takut akan pertanyaan Allah kepadanya pada yaumul hisab mengenai urusan umat, maka penguasa itu akan berhati-hati dari bermaksiat dan berbuat zalim kepada siapa pun.
Negara Masih Kuat
Orang-orang yang berada di sekitar Yazid II kebanyakan bukan penasihat yang soleh sehingga khalifah tidak memiliki imuniti yang kuat untuk menghalangi dirinya dari gemerlap godaan dunia. Akibatnya, dia tidak mampu bertahan menghadapinya, lantas tunduk pada hawa nafsu, hura-hura, dan kesenangan.
Meskipun perilaku Yazid II seperti itu, tetapi negara masih kuat. Dinasti Umayyah masih memiliki tokoh-tokoh seperti Maslamah bin Abdul Malik, Abbas bin Al-Walid, Marwan bin Muhammad, dan sebagainya. Tokoh-tokoh ini mampu menutupi kekurangan pemimpin mereka dengan ketangkasan dalam berperang, yakni jihad fisabilillah.
Maslamah bin Abdul Malik mampu menghalau pemberontakan Yazid bin Muhallab. Ini merupakan pemberontakan yang paling mengancam keberadaan negara. Dia juga mampu menumpas pemberontakan khawarij yang dipimpin Syaudzab.
Keberadaan para tokoh ini mampu menghalang berbagai bahaya yang mengancam keberadaan negara, baik pemberontakan di dalam negeri mahupun serangan luar terhadap wilayah persempadanan negara. Akhirnya, hal ini mampu memperpanjang usia Dinasti Umayyah sehingga satu perempat abad kemudian atau lebih.
Sumber:
Prof. Dr. Abdusysyafi Muhammad Abdul Lathif, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Umayyah, Pustaka Al-Kautsar
#tarikhkhulafa #yazidII #khalifah #muhasabah