[Fikrul Islam] Meluruskan Tadarruj
Penulis: Ahmad Mahmud
Berdasarkan penulisan sebelum ini, maka kita pun bertanya, “Apa yang dimaksud dengan tadarruj? Adakah mencakup apa saja di dalam teori orang-orang yang membolehkannya? Lalu, apakah alasan-alasannya? Bagaimana pandangan syarak terhadap hal tersebut?”
Tadarruj bererti melaksanakan hukum syarak yang dituntut melalui tahapan-tahapan, bukan sekaligus. Para penganutnya menyebutnya sebagai masa transisi (marhaliyah). Pertama sekali seorang muslim menerapkan atau menyerukan hukum selain hukum syarak, tetapi hukum itu lebih dekat kepada hukum syarak dibandingkan yang telah diterapkan sebelumnya, menurut pandangan orang yang membolehkan tadarruj.
Kemudian secara bertahap menyeru atau menerapkan hukum selain syarak yang lebih dekat lagi dibandingkan dengan hukum sebelumnya, menurut pandangan orang yang membolehkan tadarruj. Setelah itu menyeru atau menerapkan hukum selain syarak yang lebih dekat lagi hingga mengantarkannya kepada hukum syarak yang dituntut.
Tadarruj juga bererti menerapkan hukum syarak dengan membiarkan penerapan hukum selain syarak untuk sementara waktu hingga tiba saatnya penerapan hukum syarak secara sempuma.
Tadarruj tidak terkait dengan tahapan-tahapan tertentu. Juga tidak tunduk kepada kaedah-kaedah yang mengikat, menurut orang-orang yang membolehkannya. Kadang-kadang satu hukum boleh mengambil satu tahap, dua, tiga, atau malah lebih. Tadarruj sangat dipengaruhi oleh situasi dan keadaan dalam menentukan jumlah tahapan. Kadang banyak, kadang sedikit. Waktu yang diperlukan setiap tahap kadang memakan waktu lama, kadang sekejap.
Istilah tadarruj kadang-kadang mencakup juga pemikiran-pemikiran yang berkaitan dengan akidah, seperti, “Sesungguhnya sosialisme itu bahagian dari Islam,” atau “Sesungguhnya demokrasi adalah bahagian dari Islam.” Terkadang mencakup juga hukum-hukum syarak, seperti keadaan seorang wanita yang mengenakan pakaian yang panjangnya sedikit di bawah lutut sehingga pada tahap berikutnya boleh melaksanakan hukum syarak yang dituntut.
Kadangkala tadarruj berkaitan dengan sistem, seperti tuntutan agar turut serta di dalam sistem pemerintahan, meskipun hal itu haram secara syarie sesuai dengan pengakuan para pendukung tadarruj itu sendiri. Namun, menurut mereka bukan tuntutan itu yang menjadi tujuan sebenarnya. Bergabungnya mereka dengan pemerintahan kufur itu dalam rangka menuju pemerintahan Islam yang merupakan keutamaan dan kewajipan pada tahap berikutnya.
Tadarruj juga boleh bererti usaha-usaha untuk mewujudkan sebahagian hukum Islam dengan membiarkan hukum-hukum lain dengan harapan akan makin banyak hukum Islam yang diterapkan, kemudian menjadi majoriti, dan seterusnya.
Kadang-kadang tadarruj berkaitan dengan dakwah tatkala perkara tersebut dipropagandakan. Orang yang meyakini tadarruj bertegas dengan cara-caranya ini dan berusaha mengajak orang lain untuk mengikutinya.
Kadang-kadang kita mendapati bahawa orang yang melontarkan idea ini adalah orang yang bertakwa, yang jika berkaitan dengan dirinya sendiri, dia tidak menerima adanya tahapan-tahapan, tetapi jika berkaitan dengan orang lain, dia menerima adanya tadarruj kerana dia mahu agar orang lain dapat menjalankan hukum syarak, di samping agar mereka tidak menolak dakwah kepada hukum-hukum Islam. Jadi, menurutnya, keadaan mereka yang menjalankan sebahagian dari hukum-hukum adalah lebih baik dari pada tidak melaksanakannya sama sekali.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #tadarruj