[Nafsiyah] Berkunjung, Mengeratkan Ukhwah di Antara Pengemban Dakwah
Salah satu perkara yang perlu kita teladani dari Rasulullah SAW adalah Baginda sering mengunjungi rumah sahabatnya. Baik para sahabat dari golongan orang besar dan para pemimpin mahupun sahabat dari golongan yang lemah dan miskin. Bahkan juga para pembantu rumahtangga.
Sudah menjadi rutin Baginda untuk mengunjungi Ummu Aiman, seorang pendamping keluarga Nabi sejak Baginda masih kecil. Kebiasaan Rasulullah yang mengunjungi rumah-rumah orang soleh juga diteladani oleh para sahabat. Berkunjung merupakan salah satu adab dalam menjalin persaudaraan yang Islam ajarkan. Terdapat anjuran untuk saling ziarah atau saling mengunjungi saudara semuslim apatah lagi di antara pengemban dakwah.
Rasulullah SAW. bersabda, “Pernah ada seseorang pergi mengunjungi saudaranya di daerah lain. Lalu Allah pun mengutus malaikat kepadanya di tengah perjalanannya. Ketika mendatanginya, malaikat tersebut bertanya, ‘Engkau mahu ke mana?’ Dia menjawab, ‘Aku ingin mengunjungi saudaraku di daerah ini.’ Malaikat bertanya lagi, ‘Apakah ada suatu keuntungan yang engkau ingin dapatkan darinya?’ Orang tadi mengatakan, ‘Tidak ada kecuali kerana aku mencintainya kerana Allah SWT.’ Malaikat mengatakan, ‘Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepadamu untuk mengabarkan bahawa Allah Mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu kerana-Nya.'” (HR Muslim)
Masya Allah! Bagi seorang Muslim yang mengunjungi saudaranya kerana-Nya, Allah akan mencintainya. Selain mendapatkan kecintaan dari Allah, mereka yang saling mengunjungi kerana-Nya juga akan meraih posisi mulia di akhirat. Perkara itu bahkan membuatkan para Nabi dan orang soleh cemburu dengan tempat mereka.
Sabda Rasulullah SAW. “Berhak mendapatkan kecintaanKu, orang yang saling mencintai kerana Aku. Berhak mendapatkan kecintaanKu, orang yang saling menasihati kerana Aku, berhak mendapatkan kecintaanKu, orang yang saling mengunjungi kerana Aku. Berhak mendapatkan kecintaanKu, orang yang saling memberi kerana Aku. Mereka akan berada di mimbar-mimbar dari cahaya yang membuatkan para Nabi dan orang-orang soleh cemburu terhadap tempat mereka itu.” (HR Ibnu Hiburan)
Tidakkah para pengemban dakwah menginginkan kedudukan mulia tersebut di akhirat kelak? Ini adalah adab dalam Islam yang membawa kebaikan jika kita melakukannya.
Rasulullah juga mengabarkan kepada kita, “Barangsiapa yang menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya kerana Allah, kelak akan diserukan kepadanya, ‘Engkau telah beruntung dan telah beruntung pula langkahmu dan dibangunkan rumah di syurga.'” (HR at Tirmidzi)
Sungguh kita kagum dengan segala ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang suka melakukan kebaikan. Mengunjungi orang-orang soleh akan semakin menambahkan keimanan kita dan mengingatkan kita pada akhirat. Hasan Al Bashri pernah mengatakan, “Saudara-saudara kami (yang soleh) lebih kami cintai dari isteri dan anak-anak kami. Kerana keluarga kami mengingatkan kami akan dunia, sedangkan saudara-saudara kami mengingatkan kami pada akhirat.” (Quutul Qulub, 2/367).
Saudariku, berkunjung dapat mengeratkan ukhwah di antara pengemban dakwah. Juga menguatkan ikatan hati di antara mereka. Dengan berkunjung akan mengingatkan orang yang lupa dan mengetuk orang yang lalai. Juga akan mampu memberi pengajaran kepada orang yang jahil. Masih banyak lagi kebaikan yang boleh kita ambil dari aktiviti ziarah-menziarahi.
Dengan demikian, sebagai pengemban dakwah, kita sebaiknya sentiasa menghidupkan adab ini di antara mereka. Jika terjadi perselisihan, akan mudah terpadam dengan berkunjung. Bahkan mampu membangun hubungan yang harmoni sesama pengemban dakwah. Sudahkah kita saling mengunjungi?
Sumber: https://muslimahnews.net/2022/11/26/14814/