[Fikrul Islam] Mengupas Demokrasi (Bahagian 2/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Memang benar, Barat telah memutarbelitkan fakta, memutarbelitkan segala urusan manusia, serta menutupi pandangan orang yang benar. Ini bertujuan agar manusia melihat dengan cara pandang mereka (Barat). Kesannya sudah pasti terwujud di dalam kehidupan yang dikuasai pemikiran umum yang batil kerana adanya logik kekuatan. Seluruh propagandanya bersandarkan pada, “Sesungguhnya yang kuat itulah yang menang, dan yang lemah itulah yang kalah.”
Di sinilah diperlukan adanya peranan jemaah atau parti politik ideologi untuk mengembalikan segala perkara kepada yang asal dan memperbaiki cara pandang serta mencegah kekeliruan. Kenyataan Barat tadi, jika memberikan pengaruh kepada jemaah boleh menyebabkan kehilangan gambaran yang benar. Akibatnya, jemaah tersebut akan melontarkan apa pun yang dilontarkan oleh musuh-musuhnya, yang dijadikan penyelesaian untuknya.
Apabila jemaah memahami hakikat perkara ini, maka ia akan kembali kepada syarak untuk mengetahui bagaimana menyelesaikan masalah sehingga jemaah itu akan tampil bagaikan doktor yang membawa ubat, mampu mengeluarkan mereka dari kezaliman pemikiran Barat kepada keadilan Islam.
Dari pendedahan ini, kami melihat bahawa penguasaan kekuatan Barat adalah kerana Barat membebaskan akalnya dalam bidang ilmu dan teknologi, dan menghalang bangsa-bangsa lain dari mempunyai kekuatan dalam bidang material. Kekayaan Barat yang luar biasa diperolehi melalui penjajahan, menghisap darah bangsa-bangsa lain, serta merampas kekayaan bangsa-bangsa tersebut. Jadi, bukanlah disebabkan oleh demokrasi.
Lalu, apa sebenarnya demokrasi itu? Apa yang dihasilkannya ketika diterapkan? Penerangan berikut akan menjelaskannya.
Idea pemisahan agama dari kehidupan lahir di Barat setelah orang-orang di sana menyirap dengan kemarahan akibat campur tangan gereja dalam urusan manusia. Saat itu, gereja turut campur tangan dengan mengatasnamakan agama, padahal agama mereka tidak menyentuh urusan manusia. Hal ini kerana dalam agama Nasrani, tidak ada (sistem) perundangan yang mengatur kehidupan.
Kalangan agamawan (rijaluddin) tampil membuat undang-undang zalim dengan mengatasnamakan agama. Hal ini mencetuskan dua reaksi. Pertama, yang menyuarakan penolakan terhadap agama secara mutlak. Kedua, yang menyuarakan pengakuan terhadap agama, tetapi harus dipisahkan dari kehidupan.
Di atas idea yang pertama, lahir pemikiran-pemikiran sosial tentang kehidupan, yang runtuh setelah beberapa dekad. Itu pun setelah menyengsarakan manusia melalui penerapannya.
Sedangkan, di atas idea yang kedua, lahir pemikiran tentang hidup yang diterima pakai oleh negara-negara kapitalis. Sistem ini pun sedang melangkah menuju kehancurannya. Ini dibuktikan berdasarkan pemikiran mahupun realiti.
Idea pemisahan agama dari kehidupan telah memberikan hak kepada manusia untuk membuat undang-undang dan menghalang-halangi agama untuk membuat undang-undang. Mereka mengakui keberadaan Tuhan, tetapi menjadikannya pemikiran yang bersifat individual (peribadi), tidak ada hubungannya dengan masyarakat dan tidak ada pengaruh agama di dalamnya.
Idea ini tidak melarang sama ada Tuhan itu Allah, Al-Masih, Buddha, atau individu tertentu. Tidak juga melarang adanya keimanan tanpa agama (atheis). Yang penting, dalam keadaan apa pun, manusia sajalah yang berhak mengatur.
Menurut mereka, idea ini tidak mempunyai jalan tengah, dan tidak memiliki tafsiran lain. Manusia, menurut mereka, adalah pengatur segala urusannya dan mengurusi segala kepentingannya. Bahkan, manusia juga mengatur pemuasan atas seluruh nalurinya. Dari sinilah lahir idea demokrasi, yang bermaksud pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat.
Pemerintahan dari rakyat, bermaksud rakyatlah yang menjadi tuan bagi dirinya sendiri. Ini bermaksud dia yang berhak membuat undang-undang. Dengan kata lain, rakyatlah yang membuat undang-undang.
Pemerintahan oleh rakyat, bermaksud rakyatlah yang menjalankan pemerintahan dengan menerapkan undang-undang yang telah dibuatnya.
Pemerintahan untuk rakyat, bermaksud rakyatlah yang diperintah dengan apa yang telah dipersetujui menjadi undang-undang.
Ketiga-tiga perkara di atas diterjemahkan dalam bentuk tiga jenis kekuasaan:
- Kekuasaan Legislatif, yang membuat undang-undang dan hukum-hukum, berhak mengubahnya, menghapusnya, serta mengawasi penerapannya.
- Kekuasaan Eksekutif, yang menerapkan undang-undang secara umum, atau kehendak rakyat secara umum, atau menerapkan undang-undang dan hukum-hukum yang telah dibuat oleh pihak legislatif.
- Kekuasaan Kehakiman, yang mengadili setiap kes yang dihadapkan kepadanya berdasarkan hukum-hukum dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak legislatif.
Itulah sifat-sifat demokrasi. Dari sini dapat disimpulkan bahawa setiap sistem yang memiliki spesifikasi seperti itu tergolong sebagai sistem demokrasi. Sistem yang tidak memenuhi salah satu perkara dari apa yang telah disebutkan tadi tidak boleh dikatakan sebagai sistem demokrasi, kerana spesifikasi yang paling menonjol dari kesemuanya adalah kedaulatan berada di tangan rakyat atau umat. Perkara ini juga dianggap sebagai asas utama dari pemikiran demokrasi, sekaligus menjadi tulang belakang sistem demokrasi.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam