[Fikrul Islam] llmu dan Teknologi Bukan Produk Peradaban Barat
Penulis: Ahmad Mahmud
Pendapat yang menyebutkan bahawa kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi yang terdapat di dunia Barat merupakan buah dari demokrasi adalah perkataan yang dilontarkan oleh orang yang tidak mengetahui fakta dan realiti. Alasannya, kerana berbagai bentuk penemuan itu lahir berdasarkan proses penelitian ilmiah yang merupakan perkara-perkara yang boleh dicapai oleh akal manusia mana pun yang telah diberikan Allah. Jadi, hal itu tidak berkaitan dengan pandangan hidup (ideologi).
Fenomena tentang ilmu dan teknologi dapat kita saksikan ada di kalangan orang-orang kapitalis, sosialis, ataupun muslim. Ini kerana, Allah telah memberikan kepada manusia kemampuan akal seperti itu. Ertinya, agama atau mabda tidak berimplikasi apa pun terhadap kemajuan yang diraih sains dan teknologi.
Meskipun demikian, kita perlu membahas, apakah agama atau mabda membolehkan ilmu pengetahuan, dan membolehkan penggunaan akal? Atau malah menindasnya seperti yang dilakukan gereja pada masa lalu?
Mabda Islam tidak hanya membolehkan penggunaan pandangan dan akal di dalam segala perkara, bahkan Islam mewajibkannya dalam rangka mempersiapkan kekuatan yang wajib dimiliki untuk menegakkan kedaulatan mabda.
Barat telah menawarkan kepada kita komoditinya yang rosak, seperti demokrasi, padahal syarak telah melarang kita untuk mengambilnya. Sementara, pada saat yang sama, Barat menghalang-halangi kita untuk memperoleh komoditinya yang lain, iaitu ilmu dan penemuan-penemuannya, kerana hal itu akan memberikan bagi kita jalan untuk memiliki sebab-sebab kekuatan yang kita perlukan. Untuk perkara ini, syarak tidak melarang kita untuk mengambilnya.
Itu menunjukkan bahawa Barat menyedari apa yang dilakukannya. Masalahnya, adakah jemaah-jemaah Islam masih menutup mata tentang perkara ini?
Pemaparan di atas menunjukkan bahawa orang yang mengatakan demokrasi itu berasal dari Islam adalah orang yang tidak memahami Islam dan tidak memahami demokrasi.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #pemikiranislam #teknologi #sains