[Kolum Siyasah] UMNO dan Majlis Ulama’-nya
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan penubuhan Majlis Ulama UMNO (MUU) yang diketuai oleh salah seorang veteran parti tersebut, Datuk Dusuki Ahmad [Utusan Online, 14/1/2023]. Berdasarkan rekod, usul penubuhan Majlis Ulama UMNO ini telah dibangkitkan pada perhimpunan agung parti tersebut 12 tahun lalu.
Dari satu sudut, secara zahirnya tindakan UMNO menubuhkan majlis ulama’ dilihat sebagai sebuah penghargaan atas peranan dan kedudukan ulama’. Namun hakikatnya, apakah majlis ini benar-benar mampu menasihati pemimpin UMNO dan mencorak hala tuju parti berasaskan kaum yang sudah sekian lama sinonim dengan pemikiran sekular ini?
Atau MUU akan hanya menjadi sebuah badan yang dilihat mempunyai wibawa dalam bidang agama untuk memberikan hujah yang disadurkan dalil-dalil, semata-mata demi mewajarkan tindakan dan kehendak tampuk kepimpinan parti?
Penubuhan MUU ini, bersama-sama penubuhan Institut UMNO dan langkah-langkah lain yang diambil oleh tampuk kepimpinan parti tidak lain hanyalah merupakan usaha untuk menjamin keberlangsungan UMNO sebagai sebuah parti yang relevan dalam masyarakat.
Bahkan tidak mustahil penubuhannya ini mungkin sahaja bertujuan untuk meneutralkan persepsi negatif terhadap ‘permuafakatan’ baharu UMNO bersama DAP – sebuah parti yang selama ini menjadi momokan bagi menarik sokongan pengundi Melayu.
Sesungguhnya ulama’ memainkan peranan yang sangat penting dalam ummah. Bahkan para ulama’ yang benar-benar mukhlis mendapat pujian daripada Rasulullah (saw) melalui lisan mulia baginda;
“Sesungguhnya perumpamaan para ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit” [HR Ahmad].
Maka, tidak sewajarnya kedudukan para ulama’ diletakkan sebegitu rendah seandainya mereka dijadikan alat oleh pucuk pimpinan dan penguasa bagi mendapatkan keabsahan bersadurkan agama dalam menjustifikasikan tindak-tanduk mereka.
Rasulullah (saw) pernah memberi peringatan kepada mereka yang bersekongkol dengan penguasa dalam melakukan kezaliman dan pendustaan. Sabda baginda (saw):
“Akan ada setelahku para pemimpin, yang barangsiapa mendatangi mereka, lalu membenarkan mereka dalam kedustaan mereka, menolong mereka atas kezaliman mereka, maka ia bukan termasuk
golonganku, dan aku tidak termasuk golongannya, dan ia tidak akan mencapai telagaku…” [HR Tirmidzi dari Ka’ab bin ‘Ujrah (ra)].
Para ulama’ sewajarnya kembali menempatkan status mereka sejajar dengan tuntutan syarak, ikhlas dalam memuhasabah kemungkaran para penguasa, serta menjadi pembimbing umat dalam menjalani kehidupan yang berpandukan syariah. Hanya dengan berbuat demikian, barulah melayakkan mereka menjadi pewaris para Nabi sebagai mana sabda Rasulullah (saw);
“Ulama itu adalah pewaris para nabi” [HR Abu Daud dan Baihaqi].
Sumber: mykhilafah
#isusemasa #lokal #kolumsiyasah #umno #majlisulama