INI ADALAH REJAB
Oleh: KH Hafidz Abudurrahman
Saat ini banyak kaum Muslim yang tidak tahu, bahawa Rejab adalah bulan suci. Bulan haram, yang wajib dimuliakan dan dihormati. Kemuliaan dan kehormatan bulan ini telah ditetapkan oleh Allah sendiri. Dalam al-Quran, Allah menyatakan:
﴿إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ﴾
“Sesungguhnya bilangan bulan menurut Allah SWT ada dua belas bulan dalam catatan Allah pada hari, ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Di antaranya terdapat empat bulan haram [suci]. Itulah agama yang lurus. Maka, janganlah kalian menzalimi diri kalian di bulan-bulan itu.” [TMQ at-Taubah (9): 36]
Makna empat bulan suci di dalam ayat ini dijelaskan oleh Nabi SAW.
إنَّ الزَّماَنَ قَدْ اِسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اِثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُوْ الْقَعْدَةِ، وَذُوْ الْحِجَّةِ، وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ شَهْرُ مُضَرّ الَّذِيْ بَيْنَ جُمَادِى وَشَعْبَانَ [رواه مسلم]
“Sesungguhnya waktu itu telah diputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya terdapat empat bulan haram [suci]. Tiga berurutan, iaitu Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab bulan Mudharr yang terdapat di antara Jumadi dan Sya’ban.” [HR. Muslim]
Allah SWT memilih bulan-bulan tertentu sebagai bulan haram [suci], bukan tanpa maksud. Sebab, jika tanpa maksud, sudah tentu pemilihan empat bulan tersebut sia-sia. Hal ini kerana, tidak ada lagi bezanya dengan bulan-bulan halal [tidak disucikan] yang lain. Disebut bulan haram [suci], kerana kemuliaan yang ada di dalamnya. Kerana itu, dalam khutbah Haji Wada’-nya Nabi SAW bersabda:
إنَّ أَمْوَالَكُمْ وَدِمَاءَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ حَرَامٌ عَلَيْكُمْ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا وَفِي بَلَدِكُمْ هَذَا [رواه مسلم]
“Sesungguhnya harta kalian, darah kalian dan kehormatan kalian adalah haram [merupakan kemuliaan] bagi kalian, sebagaimana kemuliaan hari kalian ini, di bulan kalian ini, dan di negeri kalian ini.” [HR. Muslim]
Oleh sebab itu, maksud bulan haram di sini adalah bulan yang disucikan, dimuliakan dan dihormati, yang wajib dijaga. Maka, dalam surah at-Taubah ayat 36 di atas, Allah dengan tegas melarang kita melakukan kezaliman terhadap diri kita di bulan-bulan tersebut. Jika melakukan kezaliman di bulan-bulan lain dilarang, maka penegasan Allah atas larangan melakukan kezaliman di bulan haram ini menunjukkan larangan tersebut dosanya sangat besar. Begitu juga, kita dilarang menzalimi diri sendiri, maka larangan menzalimi orang lain sudah pasti dosanya lebih besar lagi.
Oleh itu, Imam al-Baihaqi dalam kitabnya, Sya’b al-Iman, menyatakan bahawa Allah SWT telah menjadikan dosa yang dilakukan di bulan-bulan [haram] tersebut lebih besar. Begitu juga amal soleh dan pahalanya [yang dilakukan di bulan-bulan haram tersebut] juga sangat besar [al-Baihaqi, Sya’b al-Iman, Juz III/370].
Dalam hadis Muslim di atas, Nabi SAW juga menyebut bulan dan tanah haram, kerana kedua-duanya merupakan bulan dan tanah suci, yang berbeza dengan bulan dan tanah yang lain. Dalam hadis riwayat al-Hakim dinyatakan, bahawa ketaatan yang dilakukan di tanah haram, pahalanya dilipatgandakan 100,000 kali. Begitu juga kemaksiatan yang dilakukan di dalamnya.
Dahulu, kaum Muslim juga menolak untuk menjatuhkan hukuman qisas di bulan haram ini. Telah disampaikan dari ‘Atha’, bahawa ada seorang lelaki telah terluka di bulan halal, lalu Uthman bin Muhammad, yang saat itu menjadi Amir, hendak mengikatnya di bulan haram. Maka, ‘Ubaid bin ‘Umair menulis surat kepadanya, “Janganlah kamu mengikatnya hingga masuk bulan halal.” [‘Abd ar-Razzaq, al-Mushannaf, Juz IX/303].
Bahkan, Imam As-Syafie –rahimahullah– telah melipatgandakan diyat [wang tebusan] untuk orang yang dibunuh kerana salah yang dilakukan di bulan haram, kerana bersandar pada riwayat dari Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas. Inilah kemuliaan bulan haram, termasuk di dalam bulan Rejab.
Sungguh mengagumkan, apa yang telah dilakukan oleh bangsa Arab Jahiliyah. Sebelum Nabi SAW diutus kepada mereka, mereka sudah mengenal kesucian dan kemuliaan bulan Rejab. Ummul Mukminin, ‘Aisyah RA telah menuturkan, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِنَّ رَجَبَ شَهْرُ اللهِ، وَيُدْعَى الأصَمُّ، وَكَانَ أَهْلُ الْجَاهِلِيَّةِ إِذَا دَخَلَ رَجَبُ يُعَطِّلُوْنَ أَسْلِحَتَهُمْ وَيَضَعُوْنَهَا، وَكَانَ النَّاسُ يَنَامُوْنَ، وَتَأْمَنُ السُّبُلُ، وَلاَ يَخَافُوْنَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَنْقَضِيَ
“Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah. Ia disebut al-Asham [si tuli]. Orang Jahiliyah, ketika telah memasuki bulan Rejab, mereka meninggalkan senjata mereka dan meletakkannya. Orang-orang pun dapat tidur dan jalan-jalan dengan aman. Mereka tidak takut satu dengan yang lain, hingga bulan tersebut berakhir.” [HR. al-Baihaqi, Sya’b al-Iman, Juz VIII/320].
Imam al-Arzaqi, dalam kitabnya, Akhbar Mekah, menuturkan, “Mereka [bangsa Arab] mengharapkan kemuliaan dari bulan-bulan haram. Mereka juga saling berjanji satu dengan yang lain di bulan-bulan haram dan di tanah haram.” [al-Arzaqi, Akhbar Mekah, Juz I/232].
Imam Mahdi bin Maimun berkata, “Saya mendengar Abu Raja’ al-‘Atharidi berkata, “Di masa Jahiliyah, ketika kami memasuki bulan Rejab, kami mengatakan, “Telah datang peluntur gigi. Maka, jangan kita biarkan besi tetap di busur dan tombaknya, kecuali kita mesti mencabutnya. Kemudian kita membuangnya.”
Begitu luar biasanya bulan Rejab di mata orang Jahiliyah. Meski mereka belum mengenal Islam, tetapi mereka menghormati kemuliaan dan kesucian bulan ini. Kemuliaan, kesucian dan kehormatan yang tetap dijaga oleh Islam hingga Hari Kiamat. Namun, sayangnya banyak kaum Muslim yang tidak faham kemuliaan, kesucian dan kehormatan bulan Rejab ini, sehingga menyia-nyiakannya, bahkan menodai kemuliaan, kesucian dan kehormatannya.
Selain Allah telah menetapkan Rejab sebagai bulan suci, Allah SWT juga memilihnya sebagai peristiwa hijrahnya kaum Muslim yang pertama ke Habsyah, tahun ke-5 kenabian. Bukan hanya itu, Allah juga menjadikannya sebagai peristiwa untuk mengisrak mikrajkan hamba-Nya tahun ke-10 kenabian. Israk dan Mikraj adalah peristiwa istimewa, di mana bukan sahaja saat Nabi menerima titah kewajipan solat, tetapi juga peristiwa pengukuhan Nabi sebagai pemimpin bagi seluruh umat manusia. Ketika baginda SAW dititahkan menjadi imam para Nabi dan Rasul sebelumnya di Baitul Maqdis.
Rejab juga telah ditetapkan oleh Allah sebagai peristiwa pertemuan pertama kali Nabi SAW dengan kaum Ansar, yang mempunyai kemuliaan, dimana melalui tangan merekalah Negara Islam pertama tegak di Madinah. Dengannya, kesucian darah, harta dan jiwa juga dapat terjaga. Dalam kitab al-Mustadrak, karya Imam al-Hakim an-Naisaburi, dari Jabir bin ‘Abdillah, beliau menuturkan:
“Rasulullah SAW pernah menawarkan dakwah kepada khalayak..” Baginda mengatakan, “Apakah ada seseorang yang boleh membawaku kepada kaumnya, kerana kaum Quraisy telah menghalangiku untuk menyampaikan firman Tuhanku?” Berkata [Jabir], “Seorang lelaki dari Bani Hamdan lalu mendatangi baginda. Dia berkata, “Saya.” Baginda bertanya, “Adakah kamu mempunyai kekuatan [yang boleh melindungi] dari kaummu?” Dia menjawab, “Ya.” Lalu, baginda bertanya kepadanya, dari mana asalnya?” Dia menjawab, “Dari Bani Hamdan.” Setelah itu, seorang lelaki dari Bani Hamdan ini pun takut akan diserang kaumnya. Dia pun mendatangi Rasulullah SAW seraya berkata, “Saya telah mendatangi kaumku, aku beritahukan kepada mereka. Kemudian saya akan menemuimu tahun depan.” Baginda menjawab, “Baik.” Dia pun pergi. Lalu, delegasi Ansar pun tiba pada bulan Rejab.” [HR al-Hakim, al-Mustadrak, Juz IX/497]
Rejab juga telah dijadikan oleh Allah SWT peristiwa istimewa peralihan kiblat kaum Muslim, dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Menurut Imam Ahmad dari Ibn ‘Abbas, peralihan kiblat ini terjadi setelah enam belas atau tujuh belas bulan Nabi SAW hijrah ke Madinah. Itu terjadi di bulan Rejab [Ibn Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, Juz III/252-253].
Rasulullah SAW juga menjadikan Rejab sebagai peristiwa pengiriman pasukan tentera ‘Abdullah bin Jahsy, yang kemudian menjadi pemicu terjadinya Perang Badar [Ibn Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, Juz III/248-249]. Bahkan, peperangan yang sangat sukar, sehingga tenteranya disebut Jaisy ‘Usyrah pun dilakukan di bulan Rejab, tahun 9 H [Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, Juz V/195].
Rejab juga telah dijadikan peristiwa penting bagi generasi setelahnya. Abu ‘Ubaidah al-Jarrah dan Khalid bin al-Walid –radhiya-Llahu ‘anhuma—telah mengepung kota Damaskus sejak bulan Rabiul Akhir, hingga kota itu ditakluk pada bulan Rejab tahun 14 H/635 M.
Setelah itu, Perang Yarmuk, yang dipimpin oleh Khalid bin al-Walid menghadapi Romawi juga terjadi pada hari Isnin, bulan Rejab, tahun 15 H/636 M [Ibn Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, Juz VII/4]. Khalid bin al-Walid kemudian menaklukkan Hirah, Irak juga terjadi di bulan Rejab [Ibn Katsir, al-Bidayah wa an-Nihayah, Juz VI/343]. Setelah menaklukkan Irak ini, Khalid kemudian melakukan solat Fath.
Baitul Maqdis juga berjaya ditakluk kembali oleh kaum Muslim di bulan Rejab, tepatnya pada 28 Rejab 583 H/2 Oktober 1187 M di bawah kepemimpinan Shalahuddin al-Ayyubi. Azan dan solat Jumaat kembali dikumandangkan, dan dilaksanakan di masjid bersejarah itu, setelah 88 tahun diduduki tentera Salib. Ini berlaku selepas kemenangan Shalahuddin dalam Perang Hittin.
Rejab juga merupakan bulan dimana peristiwa Khalifah Muhammad IV mengepung Wina-Austria untuk kedua kalinya, pada 28 Rejab 1094 H/14 Jun 1683 M, selepas 154 hari pengepungan pertama yang dilakukan oleh Khalifah Sulaiman al-Qanuni. Pengepungan tersebut berlangsung selama 59 hari, tetapi tidak membuahkan hasil, menaklukkan Wina, Austria.
Begitulah kemuliaan Rejab di mata Islam dan kaum Muslim, dari dulu, kini hingga Hari Kiamat. Namun, kemuliaan Rejab yang begitu luar biasa itu telah hilang, seiring dengan hilangnya pemahaman dan kesedaran umat akan kemuliaan bulan ini, terutama setelah Islam telah dibuang dari kehidupan, sejak Khilafah ‘Uthmani dihancurkan oleh Kamal Attaturk, bersama British dan Perancis, 28 Rejab 1351 H/1924 M.
Namun, dengan izin dan pertolongan Allah, ada jemaah di antara umat Nabi-Nya yang terus-menerus berjuang siang dan malam untuk menghidupkan kemuliaan Rejab. Berjuang dan melipatgandakan perjuangannya untuk mengembalikan tegaknya kembali Khilafah, terutama di bulan haram ini. Semuanya itu dilakukan kerana kesedaran akan keadaan umat ini, bagaimana penderitaan yang dialaminya, serta solusi apa yang sepatutnya mereka ambil.
Meski untuk itu, berbagai cabaran, hambatan dan rintangan terus-menerus dihadapi. Cabaran, hambatan dan rintangan yang bahkan, kadang datang dari sesama saudara sendiri. Bahkan, lebih menyedihkan lagi, ketika mereka yang mengaku Muslim itu sanggup menistakan dan menodai kemuliaan warisan Nabi, dan dilakukan di bulan suci yang sepatutnya dijaga dan dihormati.
Tetapi, semuanya itu tak membuatnya surut, apalagi patah arang dan menyerah. kerana, keyakinan di dalam hati, bahawa urusan ini adalah urusan Allah. Maka, pasti Allah akan mengurusnya. Menyampaikan urusan-Nya dan memenangkannya. Begitulah keyakinan mereka, dan begitulah keyakinan kita.
Semoga kita sentiasa dapat mengisi kemuliaan Rejab, menjaga kesucian dan kehormatannya, serta menjauhi sejauh-jauhnya kemaksiatan dan dosa yang dapat menistakan dan menodai kesucian dan kehormatannya. Amin.
#Rejab #kemuliaanrejab #peristiwarejab
#KhilafahBringsRealChange
#بالخلافة_يحصل_التغيير_الحقيقي
#KhilafahMembawaPerubahanHakiki