[Fikrul Islam] Bergabung dengan Sistem Pemerintahan Kufur (Bahagian 2/2)
Penulis: Ahmad Mahmud
Cara berfikir yang dipengaruhi Barat telah mengakibatkan sebahagian teks-teks syarak yang bersifat qath’ie ditinggalkan dan menempatkan masalah dalam keadaan dipaksakan untuk memiliki dalil yang dapat menjelaskannya dengan alasan situasi dan keadaan menuntutnya atau kerana adanya maslahat dan perlindungan. Hukum riba misalnya, diharamkan secara qathie dengan lafaz yang jelas, tidak mengandungi maksud lain dan tidak boleh ditakwilkan. Namun, ketika bersentuhan dengan realiti, situasi, dan keadaan, apatah lagi mendatangkan manfaat dan boleh menolak mafsadat yang sangat berpengaruh pada kehidupan mereka, maka mereka mengeluarkan hukum lain, yang membolehkan bermuamalah dengan cara riba.
Ada beberapa jemaah yang menggunakan cara berfikir seperti ini dan mengeluarkan hukum-hukum yang tidak ada sandarannya dalam syarak, bahkan bertentangan dengan syarak sama sekali. Contoh yang sama adalah tatkala jemaah menyerukan bahawa demokrasi berasal dari Islam, padahal demokrasi hakikatnya bertentangan dengan Islam, seperti yang telah kami terangkan sebelumnya.
Mereka juga menyerukan bolehnya bergabung dengan sistem pemerintahan jahiliyah dan mereka menyebutkan bahawa hal itu merupakan satu-satunya cara yang sesuai, aman, dan cepat pada masa sekarang dalam rangka usaha untuk mencapai pemerintahan yang menerapkan apa yang diturunkan Allah. Padahal, itu bertentangan dengan ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW secara langsung.
Kami telah menjelaskan rosaknya idea tadarruj dalam penerapan (hukum) Islam, termasuk mempropagandakannya. Kami juga telah menjelaskan pada waktu yang sama rosaknya segala perkara yang berhubungan dengan tadarruj, pemikiran bahawa bolehnya bergabung dengan sistem pemerintahan kufur. Dalam pembahasan ini kami terpaksa berhenti sejenak untuk merenungkan idea ini, untuk menolak berbagai syubhat yang ditempelkan kepadanya, dan supaya tidak ada Iagi halangan bagi orang yang mencari-cari alasan untuk menerima perkara itu.
Kami juga telah menyampaikan bahawa selagi cara berfikir jemaah-jemaah itu belum benar dalam memahami syarak, maka tidak akan berguna nasihat apa pun bagi mereka. Jika kita mampu meyakinkan mereka tentang rosaknya idea bergabung dengan penguasa kufur, manakala mereka masih memilki cara berfikir seperti ini, maka kita akan melihat bahawa mereka akan mencari-cari alternatif hukum pengganti lain dengan cara berfikir yang sama. Jadi, kita hendaklah benar-benar waspada terhadap pola fikir seperti ini yang tidak diakui oleh syarak dan menjadi tempat lahirnya berbagai pemikiran yang menyimpang.
Apa sebenarnya yang dimaksud dengan musyarakah (bergabung) dengan penguasa kufur? Apa alasan-alasan orang yang membolehkannya?
Musyarakah bererti kaum muslim turut serta di dalam pemerintahan yang berdiri bukan dengan asas Islam dan memerintah dengan selain hukum-hukum Islam. Musyarakah dilakukan dengan mengikuti permainan demokrasi dan masuk ke dalam parlimen dengan tujuan untuk menyampaikan pendapat dan mengembannya kepada penguasa. Seterusnya dengan berlalunya waktu akan sampai pada tampuk kekuasaan. Hal itu dilakukan dengan cara tadarruj atau bertahap, yang menurut mereka, diakui oleh Islam.
Adapun alasan-alasan orang yang membolehkan bergabung dengan penguasa yang menerapkan sistem kufur, ada alasan yang secara aqliyah. Namun ada juga secara syar’iyah.
Alasan-alasan aqliyah dapat disimpulkan dalam poin-poin berikut ini:
- Adanya gambaran sejarah bahawa untuk menyampaikan Islam hingga tahap kekuasaan pada masa sekarang ini sangat tidak mungkin dilaksanakan. Sebab, wilayah negeri-negeri lslam seluruhnya tunduk di bawah pusat kekuasaan yang amat kuat, yang didukung oleh kekuatan internasional yang bermacam-macam, serta mempunyai kekuatan fizikal (ekonomi, politik, dan tentera) dan maknawi (ideologi) yang dahsyat. Kekuatan ini mengawasi setiap gerakan yang mendakwahkan Islam, mengepung mereka, dan menghalang-halang usaha dan kejayaan mereka.
- Sementara itu, analogi terhadap kenyataan seperti ini pada masa lalu tidak ada. Dakwah Islam pada masa lalu merupakan aktiviti terstruktur yang melibatkan seluruh kaum muslim. Ketika itu ada jama’atul muslimin (iaitu Daulah lslamiyah). Sementara itu, jemaah pada masa sekarang ini hanya berupa komuniti kaum muslim. Inilah yang menyebabkan jemaah-jemaah sekarang mengalami kesulitan disebabkan terdapat sekelompok besar kaum muslim yang tidak tunduk pada kepemimpinan jemaah-jemaah tersebut. Dalam keadaan seperti ini, jemaah-jemaah tersebut memperoleh manfaat yang sangat banyak dari sistem jahiliyah. Gerakan Islam moden telah menetapkan dirinya sebagai parti yang mengikuti jalan parti-parti moden, jika ingin ia mencapai tampuk kekuasaan.
Parti-parti politik moden melakukan berbagai cara untuk sampai pada tampuk kekuasaan. Cara-cara itu boleh jadi berupa terlibat dengan permainan demokrasi atau dengan jalan revolusi ketenteraan atau dengan pemberontakan bersenjata dari rakyat.
Usaha untuk membangkitkan kekuatan tentera dalam angkatan bersenjata sehingga mereka mampu melakukan kudeta telah ditutup pintu-pintunya bagi gerakan Islam moden. Begitu juga pemberontakan bersenjata yang dilakukan rakyat telah dikunci rapat-rapat oleh pemerintahan diktator yang ada. Maka tidak ada alternatif lain bagi gerakan Islam moden kecuali melakukan pilihan terakhir iaitu melalui aktiviti parti politik yang memerlukan mereka untuk bergabung dengan sistem pemerintahan yang tidak menerapkan Islam.
Mereka menambahkan bahawa di hadapan tujuan besar yang ingin dicapai oleh gerakan Islam, tidak mungkin berhujah dengan menggunakan perkara-perkara cabang yang bertentangan dengan perkara pokok. Jika terjadi kontradiksi antara perkara yang bersifat cabang dengan yang bersifat pokok, maka yang dimenangkan adalah yang bersifat pokok. Syariat Islam bersifat elastik. Namun, keelastikannya tidak mungkin menjadi penghalang bagi tujuan-tujuan besar hanya kerana adanya pertentangan yang bersifat sebahagian.
Tambahan pula, tidak mungkin syariat Islam yang elastik itu berdiri menjerumuskan kaum muslim dalam situasi yang sukar dan membataskan mereka hanya pada satu cara untuk sampai ke tampuk kekuasaan, meskipun dalam beberapa keadaan dan keadaan ia mustahil dilakukan. Jadi, jika cara yang pertama terhalang, maka dapat digunakan cara yang kedua, atau ketiga, atau keempat, dan seterusnya. Bahkan boleh jadi merupakan suatu kemaslahatan dalam langkah (tahap) yang sesuai, yang pada akhirnya akan menunjukkan cara mana yang layak dilaksanakan.
Sumber: Ahmad Mahmud, Dakwah Islam
#fikrulislam #dakwah #partipolitik #demokrasi #demokrasisistemgagal #tadarruj