[Nafsiyah] Takut Kepada Allah Melahirkan Pejuang Berjiwa Perkasa, dan Berwibawa (Bahagian 1/2)
Adanya rasa takut dalam diri manusia adalah fitrah, kerana rasa takut merupakan petunjuk dari naluri untuk mempertahankan hidup (gharîzah al-baqâ‘) yang ada pada manusia. Apabila petunjuk ini digerakkan oleh apa-apa sahaja, maka manusia akan menanganinya dengan dorongan iman dan bertindak mengikut kefahaman mereka. Jika salah faham, ia akan melahirkan tindakan yang salah. Sebaliknya, jika pemahamannya betul, ia akan melahirkan tingkah laku yang betul.
Justeru, rasa takut akan mewujudkan rasa pengecut dan rendah diri sekiranya ia berpunca daripada rasa takut kepada manusia; dia mendekatkan diri kepada manusia untuk mencari keredhaannya dan untuk mendapatkan kesenangan duniawi. Takut juga dapat melahirkan kekuatan dan kemuliaan jika ia terhasil daripada rasa takut kepada Allah SWT dengan mencari keredhaanNya dan keredhaan syurgaNya.
Amat penting bagi umat Islam yang menginginkan kebangkitan agar tidak takut kecuali kepada Allah Taala, agar mereka menjadi orang yang perkasa dalam ibadahnya dan paling mulia dalam hidup dan mati.
Allah SWT berfirman, “Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi MMuhammad SAW). “Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang yang soleh”. Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan. [TMQ al-Maidah (5): 83-85]
Allah SWT juga berfirman, “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan pelbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. [TMQ az-Zumar (39): 23]
Sebagaimana firman Allah SWT yang lain, “Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan hitungan amal (pada hari kiamat). Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat. [TMQ ar-Ra’d (13): 21-22]
Dan begitu juga dengan ayat-ayat lain yang sentiasa memuji mereka yang di dalam hati mereka begitu besar rasa takut akan kemurkaan dan seksaan Allah SWT, sehingga mereka berusaha untuk meraih redhaNya dan berharap pahala dariNya.
Apabila warna seperti ini telah terbentuk dalam hati manusia, maka ia akan menjadi seseorang di antara mereka yang Allah sebutkan di dalam al-Quran. Allah SWT berfirman, “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” [TMQ al-Ahzaab (33): 23]
Dan firmanNya, “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.” [TMQ an-Nuur (24):37-38]
Jika benih yang bersih dan baik ini telah ditanam dan mengakar dalam hati seorang mukmin, maka ia akan berbuah dan memberikan banyak kebaikan. Sebaliknya, jika benih yang bersih ini ditanam dalam hati yang sakit, maka ia akan mati dan menjadi keji dan kotor.
Oleh sebab itu, hati ada dua jenis: Pertama, hati yang baik dan bersih, yang takut kepada Allah ketika sendirian mahupun bersama orang ramai, takut akan rosaknya hubungan antara dirinya dengan Allah, hingga ia berusaha sekuat tenaga untuk mendapatkan redhaNya, sekalipun ianya mengundang murka manusia.
Kedua, hati yang sakit dan rosak, yang tidak takut kepada Allah, secara terang-terangan melakukan kemaksiatan, dan tidak memikirkan tentang hisab (perhitungan) apa pun, sehingga dia dilihat menebus kesenangan manusia dengan kemurkaan Allah kepadanya.
Berdasarkan jenis hati ini, manusia dikelaskan dan pelbagai aktiviti dilakukan.
Contohnya, ada seseorang yang datang kepada penguasa yang zalim dan menasihatinya, lalu dia ditangkap dan dibunuh oleh pemerintah itu. Ada seorang lagi yang diberi ilmu hukum Islam oleh Allah, kemudian dia duduk di lantai penguasa yang zalim dan mengeluarkan fatwa menghalalkan pelbagai aktiviti dan dasar yang dijalankan oleh pemerintah. Beginilah kebanyakan mereka sekarang.
Orang pertama ialah orang yang bersih hatinya. Apabila dia dibunuh oleh penguasa yang zalim ketika menyampaikan nasihat, dia layak mendapat pahala dan mati syahid. Manakala orang kedua ialah orang yang hatinya kotor. Dia mengada-adakan pembohongan atas nama Allah dan memutar belitkan nas-nas Syarak untuk memutarbelitkan isi kandungannya dan menyesuaikannya mengikut kehendaknya untuk menggembirakan penguasa yang zalim. Inilah firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” [TMQ al-Baqarah (2):174]
Dan dalam firmanNya yang lain, “Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” [TMQ al-Imran (3):78]
Dan begitulah, hati yang kotor tidak ada ketaqwaan dan rasa takut kepada Allah. Sebaliknya, ia dipenuhi dengan rasa ketakutan terhadap syaitan. Pahala dan azab akhirat pun dilihat remeh baginya dan menukarnya dengan kesenangan dunia yang fana dan murah.
Jadi jangan terkejut dengan adanya fatwa-fatwa pelik; fatwa yang boleh berbaik dengan yahudi, bolehnya meminta tolong orang kafir untuk memerangi orang Islam, boleh membunuh (bughat, pemberontak) yang menderhaka kepada pihak berkuasa yang melakukan kekufuran yang nyata, dan boleh menumpahkan darah, merampas harta dan kehormatan mereka yang ikhlas diantara umat ini, iaitu mereka yang melakukan amar makruf nahi mungkar, kerana mereka didakwa sebagai ‘pengganas, pelampau, dan menderhaka kepada pihak berkuasa’. Fatwa ini dan lain-lain, dibuat oleh mereka yang telah menjual diri kepada penguasa yang jahat.
Bersambung ke bahagian 2