[Nafsiyah] Takut Kepada Allah Melahirkan Pejuang Berjiwa Perkasa, dan Berwibawa (Bahagian 2/2)
Sebelum ini telah disampaikan dua sifat manusia: pertama, manusia yang baik hati dan bersih, sentiasa takut dan bertakwa kepada Allah. Kedua, manusia dengan hati yang sakit dan rosak, yang sentiasa takut kepada makhluk.
Oleh yang demikian, perasaan takut kepada Allah SWT Yang Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa adalah salah satu tanda di antara tanda-tanda ketakwaan dan sifat soleh. Ia juga adalah warna yang sama yang menjadikan jiwa dan raganya ikhlas hanya kepada Allah SWT, Tuhan semesta alam. Warna inilah yang menjaga dan menyelamatkan pemiliknya daripada terjerumus ke dalam perangkap taghut serta menyelamatkannya daripada cenderung kepada kekasih syaitan.
Pemilik warna ini tidak akan pernah dipengaruh pelbagai kekerasan dan tidak akan berpaling daripada melaksanakan kewajipan yang dibebankan kepadanya—seperti melakukan amal soleh, berkorban di jalan Allah, menyelamatkan dan membebaskan umat dari belenggu kolonialisme—serta tidak pernah terpengaruh dengan pelbagai alat penyeksaan dan cambuk para algojo (orang yang bengis yang menjalankan hukuman mati).Mereka adalah orang-orang yang tidak takut dengan penjara, serta tidak gentar menghadapi pelbagai bahaya dan ancaman peluru. Perkara-perkara seumpama ini dalam pandangannya merupakan sesuatu yang remeh demi meraih keredhaan Allah SWT.
Al-Quran dan kitab-kitab sejarah telah memberikan contoh mengenai kehidupan mereka yang begitu hebat, iaitu mereka yang begitu gagah berani menghadapi para taghut.
Allah SWT berfirman, “Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dia lah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya. Mereka menjawab: “(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami. Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini)”. [TMQ asy-Syu’ara (26): 49-51]
Sementara Allah SWT juga berfirman, “Mereka menjawab: “Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.”Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat dalam keadaan berdosa, maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.” [TMQ Taha (20): 72-74]
Dari sini jelaslah bahawa pujukan dan rayuan Fir’aun tidak memberi kesan kepada keimanan mereka. Pelbagai ugutannya juga tidak membuatkan mereka takut untuk menentangnya, malah mereka bertekad untuk mengikuti Musa bila mana kebenaran sudah jelas di hadapan mata mereka.
Fir’aun pada zaman dahulu dan pelbagai jenis Fir’aun pada hari ini, walau sehebat mana pun kekuatan dan peralatan canggih yang mereka miliki, tidak akan pernah mampu memalingkan tekad mereka untuk terus melangkah di atas jalan kebenaran (Islam) yang telah mereka yakini.
Fir’aun tersebut malah cuba meningkatkan lagi perbuatan zalim dan kekejaman mereka. Namun, di mata orang-orang yang takut dan bertakwa kepada Allah SWT, mereka hanyalah tikus-tikus kurus yang berselindung di sebalik dinding pagarnya yang dijaga siang dan malam.
Keistimewaan sifat takut kepada Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Kuasa, akan menjernihkan hati, menghilangkan karat-karat yang melekat, dan mengisinya dengan kegagahan, keberanian, dan kekuatan. Inilah contoh orang-orang yang terbaik iaitu Sufyan ats-Tsauri, Abu Hanifah, Imam an-Nawawi, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, Ibnu Taimiyah, Syeikh Abdul Aziz al-Badri, Syeikhul Islam Mustafa Shabri, Sayyid Quthub, Abdul Qadir Awdah dan terdapat ramai lagi. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati mereka semua serta orang-orang yang seperti mereka dalam aktiviti dan keberanian mereka.
Mereka dan orang-orang yang sepertinya merupakan cermin kehormatan, kebanggaan, dan keperkasaan umat. Mereka semua enggan hidup sebagai pengecut. Mereka lebih memilih kematian, dipenjarakan, atau pergi daripada hidup dalam kehinaan dalam kalangan para penguasa zalim. Atas dasar ini, kita wajib memahami ‘rasa takut’ dan menggunakannya dengan benar.
Sesungguhnya, perasaan takut kepada Allah SWT merupakan satu-satunya jalan untuk menyelamatkan diri dari perhambaan dan penindasan, kerana takut kepada Allah SWT menyimpan kekuatan untuk membebaskan manusia dari keburukan dirinya dan dari orang lain.
Berbeza dengan rasa takut kepada makhluk, di mana dia akan membelenggu manusia dan menjadikannya hamba atas dirinya dan orang lain, iaitu dia akan menjadi tawanan dirinya sendiri dan tawanan dalam penjara orang lain.
Oleh kerana itu, perasaan takut kepada Allah SWT akan memberikan perlawanan terhadap godaan dunia dan hawa nafsu, meyakini bahawa dunia hanya sementara, serta tidak tertipu oleh kemewahan dan perhiasan dunia kerana dunia bukanlah cita-cita dan tujuan akhir hidupnya. Dia hanya memandang dunia dengan pandangan yang remeh. Dunia baginya tidak lebih dari sebuah jambatan yang menghubungkannya dengan akhirat.
Allah SWT berfirman: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “. [TMQ al-Qasas (28): 77]
Dengan demikian, seseorang akan terbebas dari beban berat kebergantungan dan ketundukan kepada makhluk, lalu beralih kepada kebergantungan dan ketundukan hanya kepada syariat Allah SWT dan kedaulatan-Nya.
Sebaliknya, orang-orang yang takut kepada makhluk akan kehilangan potensi-potensi kewibawaan, keperkasaan, dan kemuliaannya. Sehinggakan dengan ini semua, dia tetap menjadi tawanan di mana hidupnya senantiasa diselimuti kehinaan.
Persoalannya, bagaimana mereka akan menjadi sebahagian dari manusia mulia dan perkasa, sedangkan mereka menjadi ‘alat’ para penguasa zalim di dunia. Mereka melaksanakan setiap perintahnya dan sedikit pun tiada keberanian untuk menolaknya. Mereka bahkan mengusir para pengemban dakwah Islam, menangkap, dan menyiksa mereka.
Dengan demikian, perasaan takut kepada Allah SWT dan mencari keredhaanNya akan mengangkat seseorang ke puncak kemuliaan dan menjadikannya berada pada kedudukan yang tinggi. Sebaliknya, takut kepada makhluk akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT serta menurunkannya pada taraf kehidupan paling rendah dan hina. “Mereka bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka.” [TMQ Muhammad (47): 12]
Semoga Allah SWT menjadikan kita sebahagian dari orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya takwa dan orang-orang yang tidak takut terhadap celaan para pencela. Semoga dengan ini, kita akan mendapatkan kemenangan, sepertimana kemenangan yang telah diraih oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya, semoga Allah SWT senantiasa meredhai mereka semua. “Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.” [TMQ at-Taubah (9): 112]
[Nafsiyah] Takut kepada Allah Melahirkan Jiwa Kesatria, Perkasa, dan Berwibawa (Bagian 2/2)