[Keluarga] Jangan Libatkan Anak dalam Konflik Antara Ibu Bapa
Penulis: Naila Zayyan
Dalam berinteraksi dengan orang lain, ada kalanya tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan. Timbulnya masalah ibu bapa dengan jiran, rakan, rakan sekerja, atau yang lain sangat mungkin berlaku. Masalah tersebut boleh disebabkan oleh pelbagai punca, boleh jadi kerana salah faham, salah komunikasi atau kerana faktor-faktor lain.
Sekiranya terdapat masalah antara ibu bapa, mereka tidak sepatutnya melibatkan anak-anak dalam masalah tersebut. Anak-anak tidak memahami apa-apa. Mereka juga tidak perlu diberitahu secara terperinci tentang masalah ibu bapa mereka. Biarkan anak-anak menikmati masa bermain dan belajar tanpa perlu memikirkan sesuatu yang belum sampai masanya untuk mereka tahu.
Anak-anak adalah makhluk Allah SWT yang kemampuan berfikirnya belum sempurna. Pengetahuan ibu bapa tentang sesuatu sangat mempengaruhi pola fikir anak-anak. Jangan biarkan anak ikut membenci orang lain, tidak suka kepada orang lain, atau memiliki pemikiran negatif terhadap orang lain. Hal ini boleh menjadi kebiasaan anak.
Lalu, bagaimana pula sikap ibu bapa sekiranya mereka menghadapi masalah dengan ibu bapa yang lain?
Pertama, biasakan diri dengan tabayyun. Ertinya, ketika ada masalah dengan orang lain sebaiknya segera menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
Berusaha saling memahami antara satu sama lain bagaimana masalahnya. Tujuannya agar tidak ada prasangka buruk atau dakwaan negatif yang belum tentu benar, bahkan membawa kepada dosa. Allah SWT berfirman,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka buruk (kecurigaan) kerana sebahagian daripada prasangka buruk itu adalah dosa. Dan janganlah sebahagian kalian mencari-cari keburukan orang dan menggunjing satu sama lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka, tentulah kalian merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” [TMQ Al-Hujurat (49): 12]
Kedua, manusia tidak lari dari kesalahan. Jadi, jika kita merasa kita yang salah, kita mesti belajar mengakui kesalahan meminta maaf kepada orang lain agar masalah tidak berlarutan. Insya-Allah dengan meminta maaf, hati kita akan menjadi tenang.
Ketiga, jangan melibatkan ahli keluarga yang lain dalam masalah kita terutama anak-anak. Jangan biarkan konflik antara ibu bapa sudah selesai tetapi anak masih memikirkan sesuatu yang buruk yang boleh mempengaruhi kebiasaan berfikirnya. Jangan biarkan anak-anak terbiasa dengan berburuk sangka (suuzan) kepada orang lain.
Keempat, ibu bapa adalah contoh teladan kepada anak. Tanggungjawab ini sebenarnya bukan mudah. Ibu bapa seharusnya boleh menjadi rujukan tingkah laku bagi anak. Jangan biarkan apabila ada masalah dengan orang lain, ibu bapa menunjukkan kemarahan, mudah emosi, berkelakuan buruk malah melakukan sesuatu yang tidak baik kepada orang lain. Berhati-hatilah kerana akan ditiru oleh anak-anak kita dan membentuk tabiat (habit) buruk dalam diri mereka.
Kelima, seboleh-bolehnya kita mengajarkan keharmonian dan saling menghormati kepada anak. Semoga anak-anak kita tidak menjadi peribadi yang suka bermusuhan dengan orang lain malah mencela orang lain.
Keenam, kita mesti ingat sekali lagi bahawa apabila ada dua pihak yang sedang bermusuhan, tidak ada yang lebih menguntungkan daripada syaitan. Sebenarnya musuh manusia bukanlah orang lain tetapi syaitan. Allah SWT berfirman,
إِنَّالشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُواحِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu, maka jadikanlah ia musuh(mu) kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” [TMQ Fathir (35): 6]
Syaitan sangat gembira melihat dua orang yang bermusuhan. Tidak ada faedah sikit pun daripada permusuhan. Ia hanya membuang masa dan tenaga yang sebenarnya boleh kita gunakan untuk belajar tentang ilmu-ilmu Islam dan kehidupan.
Dari Anas bin Malik RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kalian saling memutuskan hubungan, jangan saling membelakangi, jangan saling bermusuhan, jangan saling menghasut. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih dari tiga hari.” (HR Muttafaq ‘alaihi)
Ketujuh, ingatlah akan hadis bahawa keampunan Allah SWT dikecualikan kepada orang-orang yang sedang bermusuhan.
Rasulullah SAW telah bersabda, “Pintu-pintu syurga dibuka setiap Isnin dan hari Khamis. Maka, ampunilah setiap hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, kecuali orang yang mempunyai permusuhan dengan saudaranya. Kemudian dikatakan, “Tundalah kedua orang ini sehingga mereka saling berdamai. Tundalah kedua orang ini sehingga mereka saling berdamai. Tundalah kedua orang ini sehingga mereka saling berdamai.” (HR Muslim)
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua di dunia dan akhirat dari segala bentuk fitnah, permusuhan dan dari keburukan orang-orang yang suka mencela. Wallahualam.
#Keluarga #Anak #IbuBapa #pendidikananak #parenting