Seandainya Allah Tidak Perlu Dibela
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Ada yang mengatakan, “Allah tidak memerlukan pembelaan kita kerana Allah Maha Segalanya.” Ada juga yang mengatakan tidak perlu membela Al-Quran yang dinista, “Sejak dulu al-Quran telah dihina dan dinista, tetapi semua penghinaan dan penistaan itu tidak mampu menjatuhkan kemuliaannya.” Persoalannya, benarkah Allah tidak perlu dibela?
Pertama, pandangan atau pemikiran seperti ini, pada pandangan saya bukanlah pemikiran tetapi lebih tepat dipanggil fantasi intelektual, sesiapa pun yang mengatakannya. Fantasi seperti ini nampak seperti logik dan masuk akal, padahal tidak. Mengapa? Kerana menggabungkan dua perkara yang harus dipisahkan walaupun konteksnya berbeza.
Konteks “Allah Maha Segalanya” dan “Al-Quran kalam Allah yang mulia” adalah konteks yang berkaitan dengan Allah dan kalam-Nya. Sedangkan membela dan menjaga kesuciannya adalah konteks kita sebagai manusia. Memang benar, “Allah Maha Segalanya” dan “Al-Quran kalam Allah yang mulia”, ini adalah konteks yang berkaitan dengan-Nya. Namun, menjadi salah apabila konteks yang berkaitan dengan-Nya dikaitkan dengan konteks kita sebagai manusia. Seolah-olah ketika ke-Maha-an dan kemuliaan-Nya itu tetap akan sempurna meskipun dinista sehingga kita tidak perlu membela.
Saya tegaskan, pandangan seperti ini hanyalah fantasi intelektual, bukan pemikiran kerana bertentangan dengan fakta. Cara berfikir seperti ini merupakan cara berfikir kaum Fatalis (Jabariah) yang sering kali digunakan oleh rejim yang berkuasa untuk menidurkan rakyat agar mereka menerima penindasan yang dilakukan oleh rejim dengan alasan takdir.
Oleh itu, mesti dipisahkan antara “Allah Maha Segalanya” dan “Al-Quran kalam Allah yang mulia” sebagai wilayah-Nya dengan wilayah kita sebagai manusia untuk menjaga dan melindungi kemuliaan-Nya. Wilayah yang pertama adalah wilayah akidah sedangkan wilayah yang kedua adalah wilayah (hukum) syariat.
Kedua, seandainya Allah, al-Quran, dan agama-Nya tidak perlu dibela sudah pasti Allah tidak memerintahkan kita menjadi pembela-Nya,
ياَأَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا، كُوْنُوْا أَنْصَارَ اللهِ
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kalian sebagai penolong-penolong Allah.” [TMQ As-Saff (61): 14]
Apabila kita membela-Nya, membela kalam-Nya, membela agama-Nya, memperjuangkan syariat-Nya dan membantu para pejuang yang memperjuangkan agama-Nya, maka Dia akan menolong kita. Allah SWT. berfirman,
ياَ أَيُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا إِنْ تَنْصُرُوْا اللهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong Allah, maka Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47): 7]
Imam ar-Razi menjelaskan maksudnya, “In tanshuru-Llah (jika kalian menolong Allah)” adalah menolong agama-Nya, memperjuangkan tegaknya syariat-Nya dan membantu para pejuang yang memperjuangkannya. Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya menjelaskan tentang ayat ini dengan ungkapan, “al-Jaza’ jinsu al-‘amal (balasan itu sesuai dengan jenis amal yang diberikan)”. Ertinya, ketika kita menolong Allah, Allah pasti akan menolong kita.
Ketiga, seandainya Allah tidak perlu dibela, maka tidak akan pernah disebutkan dalam al-Quran kata auliya’llah (penolong/kekasih Allah). Apabila seorang muslim menjadi auliya’llah, maka Allah juga menjadi Walinya (penolong/kekasihnya). Apabila Allah menjadi Wali mereka (lihat: QS al-Baqarah: 257 dan an-Nisa’: 45), maka mereka tidak ada lagi rasa takut dan sedih sedikit pun. Inilah yang Allah tegaskan,
أَلآ إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللهِ لاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُوْنَ
“Ingatlah, sesungguhnya para pelindung/kekasih Allah itu tidak ada rasa takut sedikit pun pada diri mereka dan mereka pun tidak bersedih.” [TMQ Muhammad (47): 62]
Allah juga menegaskan,
وَاللهُ أَعْلَمُ بِأَعْدَائِكُمْ وَكَفَى بِاللهِ وَلِيًّا، وَكَفَى بِاللهِ نَصِيْرًا
“Allah Maha Tahu akan musuh-musuh kalian. Cukuplah Allah menjadi pelindung dan cukuplah Allah menjadi penolong.” [TMQ an-Nisa’ (4): 45]
Para ulama seperti Imam Abu Nu’aim dalam kitabnya Hilyatu al-Auliya’ dan al-Hafidz Ibn al-Jauzi dalam kitabnya Shifatu as-Shafwah menyenaraikan para penolong dan pembela Allah itu; bermula dari Nabi Muhammad SAW., para sahabat, tabiin, atba’ tabiin dan generasi setelah mereka yang berjuang membela agama-Nya. Mereka yang membela agama Allah itulah yang disebut para auliya’llah.
Keempat, seandainya Allah dan agama-Nya tidak perlu dibela, maka Nabi Muhammad SAW. tidak perlu bersusah payah berdakwah di Mekah sehingga berdarah dan tidak perlu berperang bersama para sahabatnya melawan kaum kafir lebih dari 79 kali, 27 kali daripadanya secara langsung dipimpin oleh Baginda.
Begitu juga sejarah dakwah, perjuangan dan jihad yang dilakukan oleh generasi berikutnya, sama ada di bawah kepimpinan Khalifah mahupun bukan, adalah bukti bahawa para auliya’llah itu selalu ada. Mereka berjuang untuk membela Allah, agama, dan kehormatan mereka.
Oleh itu, ketika seorang muslimah dihina oleh Yahudi Bani Qainuqa’, Nabi SAW. yang mulia mengumumkan perang kepada mereka. Ketika kehormatan seorang muslimah dihina oleh kaum Kristian Rom, dia menjerit, “Wa Mu’tashimah (Wahai Mu’tashim, tolonglah!)”, pasukan Khalifah al-Mu’tashim pun menghancurkan mereka sehingga Amuriah berjaya ditakluki. Apabila kehormatan Nabi Muhammad SAW. dinista, Sultan ‘Abdul Hamid II, segera memberi amaran kepada British supaya menghentikan pementasan drama yang menghina kemuliaan Nabi-Nya dan jika tidak Khilafah Uthmaniyyah akan menghancurkan British.
Semuanya itu bukti bahawa auliya’llah selalu ada untuk membela, menjaga dan memperjuangkan kemuliaan Islam.
Namun apa yang harus diperhatikan, al-Quran juga mencatatkan bahawa selain auliya’llah, ada juga auliya’syaithan (kekasih/pembela syaitan). Mereka itulah orang yang menghalang, merosakkan, memerangi, dan menghancurkan agama dan orang-orang yang berjuang menegakkan agama-Nya (lihat: QS an-Nisa’: 67).
Jelas sekali. Allah, kalam-Nya, agama dan kesuciannya wajib dipertahankan, dijaga dan dilindungi kerana ini merupakan kewajipan kita. Apabila kita menunaikan kewajipan ini, kita layak mendapat gelaran daripada Allah sebagai auliya’llah. Sebaliknya, sesiapa yang membiarkan agama ini dihina, bahkan membela penghinanya maka sesungguhnya dia telah menjadi auliya’syaithan. Mana yang akan kita pilih?
Sumber :
https://muslimahnews.net/2022/12/20/15725/
#Nafsiyah
#MenolongAgamaAllah
#JagaKehormatanIslam
#PerjuangkanTegakkanSyariat