[Nafsiyah] MENDAKWAHI PEMUDA
Hijrah dalam kalangan pemuda-pemudi kini terus meningkat dan seakan menjadi trend. Tidak dinafikan, ini merupakan petanda yang baik untuk kemuliaan Islam. Nabi Muhammad SAW juga pernah menyampaikan kepada para ulama supaya memberi perhatian yang khusus dalam mendidik dan mendakwahi para pemuda.
Para pemuda juga memerlukan perhatian yang istimewa dari para ustaz dan ulama. Di sisi lain, ibu bapa serta pendidik juga perlu menjadikan mereka sebagai seorang yang mencintai kebaikan dan menjauhkan mereka dari perkara yang dapat menjebakkan diri ke dalam kemaksiatan.
Abu Sa’id Al-Khudri RA ketika melihat beberapa orang pemuda datang ke kuliahnya, beliau menyambut lalu berkata, “Selamat datang anak-anakku yang menjadi “wasiat” Rasulullah SAW. Sungguh Rasulullah SAW telah berpesan kepada kami untuk melapangkan majlis pada kalian dan memahamkan hadis. Ini kerana sesungguhnya kalian merupakan penerus ahli hadis setelah kami.”
Ketika Abdullah bin Mas’ud RA melihat seorang pemuda yang sedang tekun belajar dan menuntut ilmu, beliau berkata, “Selamat datang wahai mata air hikmah dan pelita kegelapan yang berpakaian sederhana apa adanya. Namun, bersih hatinya menerangi rumah-rumah dan kebanggaan setiap bangsanya.”
Pemuda merupakan aset bagi peradaban Islam. Oleh sebab itu, perlu kesungguhan untuk berdakwah kepada mereka iaitu mengajak dan memeluk mereka untuk bergabung dengan jemaah kaum muslim. Jemaah yang ikhlas berjuang hanya demi ‘izzatul Islam wal muslimin.
Jemaah yang berjuang sesuai dengan dakwah Rasulullah SAW dalam membina umat hingga syariat diterapkan secara kaffah. Jemaah yang memberikan persekitaran yang sihat untuk generasi muda berproses menjadi umat yang terbaik. Jemaah yang memiliki pegangan yang teguh serta pemikiran yang mendalam terhadap ajaran Islam.
Hal ini kerana, dengan pemahaman yang kuat dan keteguhan iman para pemuda akan membentuk kekuatan dalam melaksanankan tanggungjawab dakwah. Para pemuda akan bersuara pada setiap kesempatan untuk menyampaikan pemikiran-pemikiran Islam, menyebarluaskan konsep-konsep Islam, dan membongkar naratif yang rosak.
Akidah dan pemahaman mendalam pada diri pemuda juga menjadi peluang untuk menentang dan menjelaskan kebatilan segala idea dan pandangan kufur. Juga untuk melepas pemikiran yang menyesatkan dan merosak di tengah umat Islam seperti kapitalisme, sekularisme, pluralisme, hedonisme dan lain-lain.
Apabila dakwah di kalangan pemuda berjaya, mereka bersedia menghadapi pelbagai strategi kufur melalui hujah yang benar dan kuat. Langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendekati pemuda adalah:
Pertama, membina komunikasi yang baik. Komunikasi dalam kalangan pemuda biasanya dilakukan melalui media sosial yang terkini seperti facebook, twitter, instagram, YouTube, podcast, tiktok, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana, anak muda memiliki kreativiti yang tinggi dan mempunyai pelbagai cara untuk berkarya. Penyampaian dakwah disusun melalui reka bentuk grafik, video pendek atau bercerita dalam bentuk penulisan.
Dakwah hendaknya disampaikan dengan bahasa yang dekat dengan dunia pemuda agar tidak susah untuk difahami oleh mereka. Sabda Rasulullah SAW, “Bicaralah kepada orang lain sesuai dengan apa yang mereka fahami” [HR Bukhari]
Kedua, dekatkan pemuda dengan komuniti Islam. Para pemuda yang sedang dalam proses berhijrah tidak dibiarkan sendiri. Bantu mereka supaya mengenal komuniti Islam yang akan menjadi tempat untuk mendapatkan ilmu agama serta berjuang untuk Islam.
Ketiga, menyiapkan pemuda menjadi pembela agama. Usahakan agar mereka berada dalam pembinaan komuniti Islam sehingga mereka dibentuk untuk menjadi generasi izzah yang memiliki prinsip serta taat pada syariat. Bukan menjadi generasi ima’ah iaitu generasi yang hanya ikut-ikut saja atau pembawa budaya dan pemahaman asing.
Semoga Allah SWT menolong kita dalam mendakwahi pemuda. Tidak ada kata menyerah bagi para pejuang Islam dalam perjuangan hingga sampai tahap kemenangan. Ketika kemenangan telah tiba, maka kita akan tersenyum dan bahagia kerana telah mengambil bahagian dalam menyelamatkan generasi Islam dan membantu mereka menjadi pemimpin umat. Masyaallah. Allahuakbar.
Sumber: muslimahnewsid