Jangan Menjejaskan Kebahagiaan Kita Disebabkan Sikap Orang Lain
Oleh: Ustaz Abu Zaid Rembang
Seringkali kita merasa terganggu malah tertekan kerana sikap orang lain kepada kita. Boleh jadi orang lain itu adalah rakan sekerja, rakan kuliah malah rakan usrah. Boleh jadi juga orang lain itu adalah isteri, anak atau ibu bapa sekalipun.
Apabila orang lain tidak berkelakuan seperti yang diharapkan, kita sering menjadi marah, tersinggung, malah tertekan. Ini boleh menjelma dalam kata-kata yang tidak baik atau tindakan yang tidak menyenangkan, iaitu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh rakan sekerja, atau rakan kuliah. Contohnya, rakan sekerja kita telah mencurigai kita dengan komen negatif tentang situasi kita. Kemudian, kita menjadi marah dan tertekan disebabkan hal tersebut.
Jadi bagaimana kita patut bersikap terhadap perkara ini? Berikut adalah beberapa perkara penting:
- Setiap orang akan dipertanggungjawabkan atas tindakan masing-masing. Kita tidak akan dipertanggungjawabkan atas tindakan orang lain, walaupun mereka adalah keluarga kita sendiri. Oleh itu, jika orang lain melayan kita dengan buruk, mereka yang akan menanggung akibatnya. Jika ya, mengapa kita perlu merasa terganggu atau tertekan? Jadi, biarkan mereka, mereka yang akan dipertanggungjawabkan atas sikap dan perbuatan mereka.
- Kita hanya boleh mengawal hati, kata-kata, dan tindakan kita sendiri. Kita tidak boleh memaksa atau mengawal sesiapa untuk mengatakan atau melakukan apa yang kita mahu. Jadi, biarkan orang lain mengatakan apa yang mereka mahu.
- Kita hanya wajib memberi nasihat kepada orang lain yang telah menzalimi kita. Contohnya, jika rakan kolej, rakan seusrah atau sehalaqah, atau rakan sekerja, maka sebatas nasihat sudah memadai. Walau bagaimanapun, jika terhadap keluarga, anak-anak, isteri, atau ibu bapa, selain memberikan nasihat, kita juga boleh memperlakukan mereka sebatas sesuai denga napa yang diperuntukkan oleh hukum syarak. Contohnya, jika seorang isteri enggan mentaati suaminya, yang menyebabkan interaksi mereka menjadi ladang dosa, maka perceraian boleh menjadi jalan keluarnya.
- Bahagia itu adalah dengan tercapainya redha Allah. Jadi, selagi kita beriman dan taat, apa sahaja yang orang lain katakan atau lakukan tidak akan memberi kesan kepada kebahagiaan kita, bukan?
Selagi kita ada Allah dalam kehidupan kita seharian, maka kita akan berbahagia walau apapun keadaan dunia ini.
- Jangan biarkan hati kita menjadi kotor dan gelap kerana buruk sangka kepada orang lain. Buruk sangka ibarat kotoran bahkan racun yang memakan hati kita sehingga menjadi hati yang gelisah dan takut atas perbuatan orang lain.
Allah Taala berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah daripada berprasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mencari kesalahan orang dan janganlah ada di antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang menyukai memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (TMQ Al-Hujuraat [49]: 12)
- Salah satu bentuk ketaatan itu adalah melakukan dakwah untuk merubah masyarakat jahiliyah kepada masyarakat Islam. Yakni dengan menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam bingkai khilafah. Kita hendaklah berusaha untuk fokus pada aktiviti utama ini, maka urusan orang-orang yang suka mencela tidak ada lagi nilainya sedikit pun dalam pandangan kita.
Begitulah lebih kurang beberapa perkara yang perlu kita perhatikan.
Maka janganlah kita biarkan orang lain merosakkan hidup kita hanya disebabkan oleh keburukan mereka. Kita hendaklah tetap berusaha untuk merasa bahagia yakni dengan tetap beriman dan taat kepada Allah. Itulah fokus kita. Jom berbahagia!
#nafsiyah #bahagia #jombahagia #memburumardhatillah