[Nafsiyah] Perasaan Malu Mencerminkan Darjat Keimanan
Penulis: H. Luthfi H.
Dalam Kitab Fathul Baari, Syarah Sahih Bukhari, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaniy dalam Bab Perkara Keimanan menuturkan,
حدثنا عبدُ الله بن محمد الجعفي قال: حدثنا أبو عامر العقدي قال: حدثنا سليمان بن بلال عن عبد الله بن دينار عن أبي صالح عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “الإيمانُ بِضْعٌ وسِتون شعبةً والحياءُ شعبة من الإيمان”.
Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Muhammad al-Ju’fi, dia berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Amir al-‘Aqadi yang berkata, bahawa telah menceritakan kepada kami Sulaiman bin Bilal dari Abdullah bin Dinar dari Abu Shalih dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, bahawa baginda bersabda: “Iman itu memiliki lebih dari enam puluh cabang dan malu adalah sebahagian dari iman”. [HR Bukhari]
Perasaan malu adalah sebahagian dari keimanan. Oleh itu, siapa saja yang ingin menguji dan melihat ukuran keimanannya, hendaklah dia memperhatikan dengan saksama rasa malu pada dirinya sendiri, rasa malu di hadapan Tuhannya, dan rasa malu terhadap manusia lainnya.
Jika dia mendapati rasa malu itu ada pada dirinya, maka hendaklah dia memuji kepada Allah SWT kerana sesungguhnya keimanannya dalam keadaan baik. Namun jika tidak, maka hendaklah dia memuhasabah diri terhadap keimanannya kepada Allah SWT kerana ini bermakna keimanannya sedang kurang baik.
Rasulullah SAW pernah melewati seorang lelaki yang sedang menasihati saudaranya tentang perkara malu, iaitu dia ingin memperbaiki saudaranya itu (kerana dirasakan kurang memiliki perasaan malu). Lantas Rasul SAW bersabda,
(دعه، فإن الحياء من الإيمان)
“Biarkanlah (dia). Sesungguhnya malu itu sebhaagian dari iman.” [HR Abu Daud]
Wahai kaum muslim, jika kita perhatikan di negeri-negeri Islam sekarang ini, kita tidak akan pernah melihat- dan sayang sekali perkara ini- berkenaan akhlak mulia ini, iaitu adanya perasaan malu dalam diri, kecuali hanya sedikit dari kaum muslim yang dirahmati oleh Allah SWT.
Di mana rasa malu seorang muslimah yang keluar dari rumah dengan memperlihatkan perhiasannya (auratnya)? Atas nama kemodenan dan kebebasan bersuara, para muslimah dengan bangga mempamerkan auratnya.
Di mana rasa malu pemuda-pemuda umat ini? Mereka bangga memakai pakaian yang disajikan dan direka oleh Barat. Di mana pula rasa malu yang tercermin dari ucapan dan perbuatan mereka?
Di mana rasa malu dari kalangan ahli perniagaan yang menjadikan penipuan dan riba sebagai asas dalam jual beli dan transaksi mereka? Di mana pula rasa malu dari para pengkhianat dan para perantara asing yang terus melakukan kezaliman kepada masyarakat atas nama politik?
Di mana pula rasa malu sekelompok jemaah yang mengatasnamakan perjuangan Islam, sementara menjerumuskan diri dalam sistem kotor demokrasi? Sungguh, rasa malu telah hilang di pelbagai sudut kehidupan ini.
Memang benar bahawa hilangnya akhlak yang mulia, hilangnya rasa malu, dan buruknya akhlak umat ini, terjadi kerana sistem kapitalisme yang telah diterima pakai dan diterapkan ke atas kaum muslim. Hukum-hukum Islam pun mulai hilang dalam kehidupan dan saat itulah aurat mereka tersingkap di mana-mana.
Sungguh, tidak akan pernah kembali wujudnya perasaan malu itu, iaitu rasa malu yang sesuai dengan syariat, kecuali bila mana kita kembali berada dalam sistem Islam. Oleh kerana itu, saat sistem Islam itu kembali, saat itulah rasa malu akan terwujud kembali dan akhlak yang mulia ini akan kembali bersemi.
اللهمَّ عاجلنا بخلافة راشدة على منهاج النبوة تلم فيها شعث المسلمين، ترفع عنهم ما هم فيه من البلاء،
Ya Allah, kami memohon disegerakan tegaknya Daulah Islamiah ‘ala Minhaj Nubuwwah. Yang dengannya akan terurai benang kusut persoalan kaum muslim. Dengannya pula terangkat pelbagai kedukaan dan bala yang menimpa umat ini.
اللهمَّ أنرِ الأرض بنور وجهك الكريم. اللهمَّ آمين آمين.
Ya Allah, berilah cahaya di muka bumi ini dengan Cahaya Wajah-Mu yang Maha Mulia. Amin Amin Amin ya Rabbal Alamiin.