[Nafsiyah] Berumur, tetapi Belum Berkahwin?
Antara kerisauan anak muda yang sudah bersedia untuk berumah tangga ialah mereka masih belum menemui jodoh. Benarlah orang yang belum berkahwin dikatakan orang yang memiliki separuh agamanya. Ini kerana separuh lagi agamanya boleh dilaksanakan selepas dia berkahwin.
Namun demikian, hal ini tidak sepatutnya membuatkan dia berasa putus asa, risau, dan sedih berpanjangan sehingga terlupa melakukan banyak kebaikan. Allah SWT telah berjanji kepada hambaNya yang tidak bertemu jodoh di dunia, Allah SWT akan menjodohkan mereka dengan seseorang di syurga, kerana penghuni syurga itu berpasang-pasangan.
Pada masa ini, bagi mereka yang masih belum menemui jodoh setelah melakukan ikhtiar yang terbaik, hendaklah mereka berusaha meningkatkan kualiti amal ibadah mereka. Ini agar Allah SWT melayakkan mereka mendapat syurga. Maknanya jika belum berkahwin dengan seseorang di dunia, Allah SWT akan menjodohkan mereka di syurga dengan seseorang yang soleh atau solehah.
Saudaraku, ingatlah perkahwinan itu bukan soal masa yang kita sendiri tentukan, tetapi soal keimanan kita kepada takdir Allah SWT. Perkahwinan bukanlah sebuah persaingan, tetapi merupakan sebahagian daripada keimanan kepadaNya.
Setiap orang memiliki penetapan masa dan waktu bertemu jodoh yang berbeza-beza. Ada yang dipercepatkan dan ada pula yang dilambatkan.
Bersabarlah semasa menunggu di ruang menunggu. Jangan bersedih jika seorang demi seorang sahabat kita berkahwin, sedangkan kita belum berkahwin. Salah besar jika keinginan kita untuk berkahwin hanya kerana takut kertinggalan dari kawan-kawan yang lain.
Percayalah, Allah SWT tidak pernah salah menentukan masanya. Semuanya berjalan dengan harmoni selari dengan penciptaanNya.
Sesungguhnya keadaan seseorang yang belum berumah tangga akan membuatkan fikirannya disibukkan dengan perkara itu sahaja. Oleh itu, ia boleh membuatkan hati kecewa malah mencapai tahap kerisauan yang berlebihan.
Keadaan sedemikian boleh mengancam kesihatan mental dan agama seseorang. Imam Nawawi Rahimahullah pernah berkata, “Seseorang diberi mengikut kualiti niatnya.” [Kitab At-Tibyan fii Adabi Hamalaatil Quran].
Sebaiknya kita menjernihkan semula niat untuk berkahwin. Bukan kerana risau ketinggalan dari kawan-kawan yang sudah berkahwin. Bukan juga kerana diburu waktu memandangkan sudah berumur (semakin tua). Kita hendaklah sentiasa memerhatikan hukum-hukum syariat bagi merealisasikan kita mendapat keredhaan dari Allah SWT.
Jika sudah berusaha dan berikhtiar, tetapi terus menerus gagal dalam menemukan jodoh, cuba renungkan, betapa banyak lagi nikmat Allah SWT yang lain yang masih dapat kita rasai. Ini bermakna perkahwinan yang tertangguh bukanlah sesuatu yang patut kita tangisi atau bersedih berpanjangan.
Sabda Rasulullah SAW, “Lihatlah orang yang lebih rendah dari kalian dan jangan melihat orang di atas kalian. Maka itu lebih layak untuk kalian agar tidak memandang hina nikmat yang Allah anugerahkan kepada kalian.” [HR Muslim]
Kalau saat ini kita termasuk dari kalangan mereka yang merasakan pahitnya kegagalan di ambang pintu pernikahan, bukankah kita masih merasakan Allah SWT membukakan banyak pintu-pintu kebaikan lainnya? Janganlah berputus asa dari rahmatNya. Terus langitkan doa anda dan berikhtiar dengan sebaik-baiknya sehingga Allah SWT menjodohkan anda dengan pasangan hidup yang soleh/solehah.
Namun, urusan mencari jodoh tidak sepatutnya melalaikan kita daripada melaksanakan pelbagai kewajipan yang telah Allah SWT tetapkan. Contohnya, kewajipan berbakti kepada ibu bapa, menuntut ilmu, berdakwah, dan lain-lain.
Wahai generasi muda, usirlah kerisauan disebabkan anda belum berkahwin. Seorang muslim sepatutnya risau jika amalannya tidak diterima oleh Allah SWT. Dia seharusnya risau jika belum menunaikan pelbagai kewajipan yang Allah SWT perintahkan. Dia juga risau dan gelisah jika melakukan maksiat kepadaNya.
Apa yang boleh dilakukan oleh seseorang yang berusaha mencari jodohnya? Pertama, meluruskan niat untuk berkahwin, semata-mata kerana Allah SWT dan bukan kerana sebab yang lain. Kedua, berikhtiar dengan meminta bantuan ibu bapa, keluarga, guru, atau rakan-rakan yang sudah berkahwin. Mintalah pada mereka agar memilih calon yang terbaik terutamanya yang baik dari segi agamanya.
Ketiga, berdoa dan bersabar. Firman Allah SWT “Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala dia menyeru kepad Tuhannya, ‘Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkanku hidup seorang diri dan Engkaulah ahli waris yang paling baik.’” [TMQ Anbiya (21): 89]
Tidak lupa juga kita pun hendaklah senantiasa berdoa pada Allah SWT agar diberikan pasangan yang baik. FirmanNya, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang bertakwa.” [TMQ al-Furqan (25): 74]
Soal belum berumahtangga bukanlah perkara yang sangat pelik jika kita memahami ilmu agama. Hal ini kerana ia merupaka sebahagian daripada keimanan kita kepada Allah SWT. Teruskan bersangka baik terhadap Allah SWT, penuhi segala syarat dan ketentuan syariat sehingga Allah SWT mempertemukan anda dengan seseorang yang turut taat kepadaNya. Wallahul musta’an.
Sumber: muslimahnews.id